Berita :
Pendidikan Jiwa Benteng Generasi Hadapi Cabaran Era Digital
Pendidikan Jiwa Benteng Generasi Hadapi Cabaran Era Digital
Muhammad Afiq Fahmi Ahmad Faris
1 hari yang lepas
153

DUNGUN, 28 Jun– Pendidikan kerohanian dan pembangunan jiwa perlu diperkasakan sebagai benteng utama bagi menangani peningkatan masalah tekanan emosi, ketagihan gajet serta kemerosotan nilai dalam kalangan generasi muda.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, sistem pendidikan hari ini tidak boleh hanya memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya perlu membentuk insan yang seimbang dari aspek rohani, jasmani, akhlak dan sahsiah.

Menurut beliau, antara punca tekanan atau stress yang semakin membimbangkan ialah ketagihan terhadap telefon bimbit sehingga ada yang sukar berpisah dengannya, sekali gus menjejaskan kesejahteraan mental serta hubungan sosial.

"Generasi hari ini memerlukan pendidikan kejiwaan dan kerohanian supaya mereka mampu mengurus emosi, membina jati diri serta menghadapi cabaran kehidupan moden dengan lebih matang," katanya.



Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Program Gen Z Briskwalk di Padang Astaka, Dungun, hari ini.

Katanya, program tersebut bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi medium memupuk budaya hidup sihat menerusi amalan berjalan santai yang mampu meningkatkan kesihatan fizikal masyarakat.

Beliau berkata, pembangunan modal insan yang holistik perlu merangkumi pendidikan jasmani, keimanan, akhlak dan politik agar lahir generasi yang berilmu, berintegriti serta bertanggungjawab terhadap agama, masyarakat dan negara.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, perlu dijadikan asas pembentukan sahsiah dengan menghayati ajaran agama masing-masing sebagai panduan kehidupan.

"Nilai akhlak dan moral juga mesti terus diperkukuhkan bagi melahirkan masyarakat yang berdisiplin, berintegriti serta saling menghormati," katanya.

Beliau turut menyeru Generasi Z agar tidak bersikap pasif terhadap perkembangan semasa, sebaliknya melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman politik supaya mampu menyumbang secara positif kepada pembangunan negara.

Menurutnya, apabila pendidikan jasmani, kejiwaan, kerohanian, keimanan, akhlak dan politik bergerak seiring, negara akan mampu melahirkan generasi berkualiti yang bukan sahaja cemerlang, malah bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan