Berita :
Pendekatan Turun Padang Perkasa Bantuan Kepada Usahawan
Pendekatan Turun Padang Perkasa Bantuan Kepada Usahawan
Mastura Jamal Din
7 jam yang lepas
94

KUALA TERENGGANU, 14 April – Kerajaan negeri terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi di peringkat negeri dan Persekutuan bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, langkah itu termasuk mengadakan mesyuarat bersama agensi-agensi di bawah portfolio bagi memastikan bantuan kepada golongan sasar dapat dipertingkatkan.

Menurutnya, situasi ekonomi semasa yang tidak menentu memerlukan tindakan lebih proaktif, khususnya dalam memastikan kebajikan peniaga terus terbela.

“Kita telah mengadakan mesyuarat bersama semua agensi terlibat bagi memastikan bantuan dapat dipertingkatkan, khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Peminjam Kali Ke 1/2026 di Dewan YPU, di sini hari ini.

Tambah Ariffin, kenaikan kos operasi termasuk harga minyak memberi tekanan besar kepada peniaga sehingga menjejaskan keuntungan dan kelangsungan perniagaan mereka.

Sehubungan itu, katanya, pendekatan turun padang akan terus dilaksanakan bagi memahami situasi sebenar yang dihadapi usahawan di peringkat akar umbi.

“Kita akan turun ke daerah dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertemu peniaga. Apa sahaja bentuk bantuan yang boleh disalurkan, kita akan cuba laksanakan walaupun berdepan kekangan kewangan,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri komited memastikan golongan usahawan tidak terpinggir, sebaliknya terus dibantu agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan