lightning-solid
Berita :
PEMADAM Daerah Terima RM5,000 Perkasa Program Cegah Dadah
PEMADAM Daerah Terima RM5,000 Perkasa Program Cegah Dadah
Rohayati Ripin
7 jam yang lepas
96

KUALA TERENGGANU, 21 Julai – Setiap Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) daerah di Terengganu menerima dana sebanyak RM5,000 bagi melaksanakan program pencegahan penyalahgunaan dadah dilaksanakan di peringkat akar umbi.

Pengerusi PEMADAM Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, peruntukan itu memberi ruang kepada setiap daerah merancang program berdasarkan keperluan dan cabaran setempat.

“Hari ini kita mengadakan program ramah mesra bersama agensi dan jabatan yang terlibat dalam PEMADAM.

“Kita juga menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada setiap PEMADAM daerah bagi membolehkan mereka merancang dan melaksanakan program pencegahan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra PEMADAM Terengganu bersama agensi dan jabatan berkaitan di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Muhammad Khalil, pendekatan pencegahan secara menyeluruh perlu diperkukuh berikutan penyalahgunaan dadah masih menjadi antara cabaran sosial paling serius di negeri ini.

Katanya, tanggungjawab membanteras dadah tidak boleh diletakkan kepada agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak.

“Ia termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), masjid, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik serta komuniti setempat.

“PEMADAM berpegang kepada prinsip mencegah lebih baik daripada merawat. Sebab itu program kesedaran perlu diperbanyakkan di peringkat masyarakat,” katanya.

Mengulas kes penyalahgunaan dadah yang direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Terengganu, beliau berkata, usaha pencegahan akan terus dipergiat melalui program komuniti secara berterusan.

Muhammad Khalil berkata, walaupun terdapat kekangan untuk melaksanakan program secara langsung di sekolah, PEMADAM masih mempunyai pelbagai ruang untuk menyampaikan mesej mengenai bahaya dadah.

“Antaranya melalui karnival anjuran kerajaan negeri, pameran bersama AADK, sesi penerangan, program libat urus dan bantuan kebajikan kepada keluarga yang terkesan,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri turut mengendalikan Pusat Pemulihan Dadah Darul Barakah yang kini menempatkan lebih 100 pelatih.

Menurutnya, pengurusan pusat berkenaan sedang diperkemas dan dalam proses didaftarkan di bawah AADK bagi membolehkannya menerima geran tahunan.

Langkah itu dijangka membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak program pemulihan dan pencegahan pada masa hadapan.

Menyentuh ancaman dadah sintetik dalam kalangan Generasi Z, Muhammad Khalil berkata, kempen kesedaran melalui media sosial dan program komuniti akan terus dipertingkatkan.

Beliau berkata, sokongan terhadap keluarga yang terkesan juga perlu diperkasakan kerana mereka memainkan peranan penting dalam membantu proses pencegahan dan pemulihan penagih dadah.


Tag :

Artikel Berkaitan