lightning-solid
Berita :
Sampah Drawbridge: MBKT Tegur Sikap Pengunjung
Sampah Drawbridge: MBKT Tegur Sikap Pengunjung
Rohayati Ripin
19 jam yang lepas
689

KUALA TERENGGANU, 20 Julai – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menegur sikap segelintir pengunjung yang meninggalkan sampah selepas berkumpul pada waktu malam di sekitar Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge).

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, menjaga kebersihan bukan tanggungjawab kontraktor atau pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kesedaran dan sikap bertanggungjawab setiap individu.

“Kebersihan adalah sebahagian daripada iman dan ia bermula daripada hati yang bersih.

“Jangan cemari kebersihan bandar kita dengan membuang sampah merata-rata,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Beliau berkata demikian susulan penularan gambar yang memaparkan longgokan sampah di sekitar Drawbridge.

Menurut Lizan, gambar berkenaan dipercayai dirakam sebelum kerja pembersihan dilakukan. 

Jelasnya, kawasan itu dibersihkan setiap hari oleh kontraktor bermula jam 7 pagi dan lazimnya selesai sekitar jam 8.30 pagi.

Katanya, sebahagian besar sampah di lokasi berkenaan ditinggalkan oleh pengunjung yang berkumpul pada waktu malam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuang sampah di tempat yang disediakan dan tidak meninggalkan sisa makanan, bekas minuman atau barangan lain di kawasan awam.

“Usaha membersihkan bandar akan menjadi sia-sia jika masih ada pihak yang memilih untuk membuang sampah sesuka hati.

“Datanglah menikmati keindahan Drawbridge, tetapi tinggalkan kawasan itu dalam keadaan bersih. Jangan serahkan kepada orang lain untuk membersihkan sampah yang kita hasilkan,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan