lightning-solid
Berita :
Jalan Baharu Kampung Kuala Kubang–Batu Balai Jadi Laluan Utama
Jalan Baharu Kampung Kuala Kubang–Batu Balai Jadi Laluan Utama
Hidayah Azlin
14 jam yang lepas
151

SETIU, 21 Julai – Projek penurapan semula jalan baharu yang menghubungkan Kampung Kuala Kubang ke Kampung Batu Balai di sini kini menjadi laluan perhubungan utama yang amat penting buat komuniti setempat.

Laluan berkenaan yang sebelum ini sudah bertar telah mengalami kerosakan akibat struktur lama terjejas, sekali gus memerlukan kerja penurapan semula demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim menegaskan, kewujudan sesebuah jalan raya tidak seharusnya disukat berdasarkan kepadatan kediaman di sepanjang laluan tersebut, sebaliknya perlu dilihat dari sudut nilai gunanya kepada masyarakat.

Menurut beliau, biarpun sebahagian jajaran jalan berkenaan tidak dikelilingi perumahan penduduk, ia tetap memainkan peranan penting dalam melancarkan pergerakan harian orang ramai.

"Tidak semestinya tepi jalan mesti ada rumah orang. Yang pentingnya jalan baru Kampung Kuala Kubang ke Kampung Batu Balai Jabi adalah laluan penting orang kampung," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Laluan baharu yang diperelok itu bukan sahaja mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua kampung, malah mengatasi masalah jalan rosak yang sebelum ini menyukarkan akses penduduk.

Selain memudahkan urusan harian, infrastruktur baharu ini juga dijangka memberi limpahan manfaat kepada aktiviti sosioekonomi setempat, khususnya dalam memudahkan mobiliti pengangkutan hasil pertanian kawasan sekitar.

Usaha penambahbaikan infrastruktur asas seperti ini membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan liputan kemudahan luar bandar di kawasan DUN Jabi sentiasa diperkasakan demi kesejahteraan rakyat.


Tag :

Artikel Berkaitan