lightning-solid
Berita :
Pasukan Penyelidik UPM Kaji Masalah SARA Babitkan 30 Ladang Kambing Tenusu di Terengganu
Pasukan Penyelidik UPM Kaji Masalah SARA Babitkan 30 Ladang Kambing Tenusu di Terengganu
Hidayah Azlin
6 jam yang lepas
84

KUALA TERENGGANU, 31 Julai– Satu kajian menyeluruh mengenai penyakit SARA (Subacute Ruminal Acidosis)  kini sedang dijalankan di Terengganu bagi mengenal pasti kesannya terhadap hasil pengeluaran susu ternakan dan mencari penyelesaian terbaik buat para penternak tempatan.

Penyelidikan yang diketuai oleh pakar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Faez Firdaus Jesse Abdullah itu melibatkan kerja-kerja pengambilan sampel di 30 buah ladang kambing tenusu di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, fokus utama kajian tersebut adalah untuk menilai sejauh mana isu gangguan pencernaan SARA ini menjejaskan kualiti dan kuantiti susu yang dihasilkan.

"Proses pengumpulan data ini melibatkan pengambilan sampel penting daripada ternakan seperti sampel susu, darah, serta cecair perut (*stomach fluid*) bagi membolehkan analisis lanjut dilakukan secara terperinci," katanya menerusi satu kenyataan. 

Menurut beliau, usaha pengumpulan sampel cecair perut bagi kajian berkenaan bukanlah satu tugas yang mudah kerana memerlukan kepakaran dan ketabahan yang tinggi daripada pasukan penyelidik.

Proses berkenaan perlu dilakukan secara manual menggunakan tiub khas yang dimasukkan terus ke dalam perut kambing untuk menyedut cecair tersebut.

"Risiko cecair perut ternakan memasuki mulut petugas semasa proses menyedut adalah perkara biasa dalam cabaran lapangan ini.

" Hanya mereka yang benar-benar kental dan berjiwa kental sahaja sanggup berdepan dengan situasi sebegini demi ilmu serta kemajuan industri," ujarnya lagi.

Dato’ Dr Azman turut menyatakan sokongan dan penghargaan terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan penyelidik UPM dalam membantu memajukan sektor penternakan ruminan, khususnya industri susu kambing di Terengganu.

Hasil penyelidikan ini dijangka dapat memberikan jawapan ilmiah serta formula penyelesaian praktikal untuk membantu penternak menguruskan pemakanan ternakan dengan lebih cekap, sekali gus meningkatkan prestasi pengeluaran susu negeri pada masa hadapan.


Tag :

Artikel Berkaitan