BESUT, 14 Mei – Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) KETARA di Besut kini muncul sebagai antara penyumbang utama sekuriti makanan negara apabila merekodkan purata pengeluaran padi kedua tertinggi di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, berdasarkan data daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), IADA KETARA mencatatkan purata hasil sebanyak 5.2 metrik tan bagi setiap hektar.
Menurutnya, kedudukan pertama bagi kategori kawasan jelapang padi dengan hasil tertinggi diterajui oleh IADA Pulau Pinang yang mencatatkan purata 5.6 metrik tan sehektar.
"Pencapaian ini menunjukkan potensi besar Terengganu dalam menyumbang kepada hasil padi negara menerusi pengurusan kawasan jelapang yang cekap," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook miliknya.
Mengulas lanjut mengenai statistik keluasan sawah di Terengganu, Dr. Azman menjelaskan bahawa terdapat perbezaan ketara antara kawasan di dalam dan di luar skim jelapang padi.
Beliau mendedahkan, daripada kira-kira 12,000 hektar jumlah keseluruhan keluasan sawah padi di Terengganu, hanya sekitar 5,000 hektar yang berada di bawah pengurusan kawasan jelapang.

“Umumnya, kawasan sawah di luar jelapang padi di seluruh negara menghasilkan jumlah pengeluaran yang lebih rendah.
“Disebabkan faktor tersebut, purata pengeluaran padi negara secara keseluruhannya, merangkumi kawasan dalam dan luar jelapang, adalah sekitar 3.5 metrik tan sehektar," jelas beliau lagi.
Pencapaian IADA KETARA ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan produktiviti hasil tanaman padi di kawasan lain, sekali gus memperkukuhkan rantaian bekalan makanan khususnya di peringkat negeri Terengganu dan nasional.
Tag :