Berita :
Orang Ramai Diingatkan Jangan Terperdaya Pihak Ketiga Urus RMR
Orang Ramai Diingatkan Jangan Terperdaya Pihak Ketiga Urus RMR
Mastura Jamal Din
15 jam yang lepas
124

KUALA NERUS, 3 Mac- Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga atau ejen untuk menguruskan permohonan Rumah Mesra Rakyat ( RMR). 

 Pengerusi SPNB, Datuk Prof. Dr. Azmi  Mohd Lila, berkata semua urusan permohonan mestilah dilakukan melalui saluran rasmi di laman web www.spnb.com.my atau hadir terus ke pejabat SPNB negeri.

 “Setiap permohonan perlu melalui beberapa peringkat termasuk mendapat pengesahan penghulu sebelum boleh diproses.

 “SPNB sendiri yang melantik kontraktor, bukannya pihak luar yang mendakwa boleh menguruskan semuanya.

 “Jadi, nasihat saya kepada orang ramai supaya tidak terpedaya dengan pihak ketiga ini,” ujarnya.

 Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2026 bagi Negeri Terengganu. Majlis yang berlangsung di Dewan Ehsan, Pejabat FELDA Wilayah Terengganu di sini hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri,  Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.

 Dalam majlis tersebut, seramai 240 pemohon daripada lapan parlimen menerima surat tawaran bagi membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri yang selesa dan berkualiti.

Menurutnya, di  Terengganu, sebanyak 680 unit telah diperuntukkan bagi tahun ini, di mana 104 unit daripadanya kini sedang dalam proses pelaksanaan. 

 “Bagi Parlimen Kuala Terengganu bermula 2002, sebanyak 707 unit rumah telah siap dibina, manakala 12 unit lagi sedang giat dibina bagi tahun 2026.

“Manakaka di Parlimen Kuala Nerus, sebanyak 814 unit rumah telah diserahkan sejak 2002, dengan 11 unit tambahan sedang dalam pembinaan tahun ini,”ujar beliau.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan