Jalur Gemilang
Berita :
MP Besut Cabar PM Isytihar Jika Enggan Tunai Janji Peruntukan Sama Rata
MP Besut Cabar PM Isytihar Jika Enggan Tunai Janji Peruntukan Sama Rata
Mohd Hafiz Azrin Abdul Razak
7 jam yang lepas
141

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) supaya mengisytiharkan secara terbuka sekiranya Kerajaan Madani enggan menggubal Akta Peruntukan Sama Rata serta tidak mahu menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan (PH).  

Beliau berkata demikian ketika membangkitkan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini, susulan tindakan Perdana Menteri yang mengelak daripada menjawab persoalan pokok mengenai formula agihan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) kepada kawasan parlimen.  

Terdahulu, menerusi soalan asal, Che Mohamad Zulkifly meminta Perdana Menteri menyatakan formula dan kriteria yang diambil kira oleh kerajaan dalam menentukan jumlah agihan CDF bagi memastikan keperluan asas rakyat setempat terus terjamin.  

Walau bagaimanapun, Anwar ketika menjawab soalan tersebut tidak memperincikan formula CDF, sebaliknya menyenaraikan projek pembangunan fizikal kementerian di Besut bernilai RM123 juta melibatkan 197 projek, termasuk naik taraf Pangkalan Udara Gong Kedak, MRSM, sekolah serta pembinaan Klinik Kesihatan bernilai RM37 juta.  

Tegas Che Mohamad Zulkifly, senarai projek yang dibacakan oleh PMX itu adalah perbelanjaan pembangunan keseluruhan kerajaan, bukannya dana khas CDF yang menjadi fokus pertanyaannya.  

“Yang Amat Berhormat Tambun, saya rasa yang diceritakan itu secara keseluruhan pembangunan. Maksud saya yang CDF tadi.  

“Merujuk kepada jawapan kepada soalan saya pada 22 Jun 2026, kerajaan ada menyebut bahawa Peruntukan Pembangunan Kawasan Parlimen kerajaan dan bukan kerajaan adalah sebanyak RM2 juta setahun. Itu sahaja sebenarnya, yang lain-lain disebut lain-lainlah,” tegas beliau.  

Menurut beliau, tindakan kerajaan mengendalikan secara langsung peruntukan RM2 juta bagi kawasan bukan kerajaan melalui pejabat daerah memperlihatkan layanan dwistandard (double standard), sekali gus bercanggah dengan janji manifesto PH sendiri yang menawarkan agihan sama rata tanpa mengira parti.  

“Jadi soalan saya sebenarnya, adakah Kerajaan Madani berhasrat untuk menggubal Akta Peruntukan Sama Rata dan menunaikan manifesto PH sendiri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, atau tidak? Itu pun kalau Yang Berhormat Tambun masih adalah.  

“Jadi baik kerajaan isytiharkan sahaja tak akan bagi peruntukan dan juga tak akan penuhi janji manifesto tersebut supaya kami ahli-ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak, kerajaan dan bukan kerajaan, tidak perlu tanya dan tuntut lagi pada masa akan datang,” ujarnya.  

Beliau turut menarik perhatian dewan bahawa tuntutan itu dibuat memandangkan Menteri Komunikasi sendiri sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan.  

“Dia sebut Kabinet akan membincangkan peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen dipilih rakyat pada masa akan datang. Menteri Komunikasi sendiri yang cakap macam itu,” katanya ketika mempertahankan penjelasan tersebut di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.  

Menjawab soalan tambahan berkenaan, Anwar sekali lagi tidak menyentuh mengenai kesediaan menggubal akta mahupun janji manifesto PH, sebaliknya mengulangi syarat supaya pembangkang berunding dengan Timbalan Perdana Menteri II.  

Pada masa sama, Anwar turut mendakwa kerajaan pimpinannya tidak menganaktirikan negeri pembangkang dengan memetik peningkatan peruntukan persekutuan kepada Terengganu daripada RM6 bilion semasa pentadbiran terdahulu kepada RM8.2 bilion pada tahun 2027.  

Dakwaan angka RM6 bilion oleh PMX itu bagaimanapun segera disanggah oleh Che Mohamad Zulkifly di penghujung sesi dengan merujuk kepada laporan rasmi agensi berita nasional.  

“Ini saya betulkan, sebenarnya bukan RM6 bilion, sebenarnya RM2.1 bilion sahaja. Ini laporan Bernama ini!,” celah beliau sebelum diminta duduk oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan