KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan gabungan empat negeri menerusi SG4 berpotensi muncul sebagai kuasa ekonomi baharu sekiranya kekuatan dan sumber yang dimiliki dapat digembleng secara bersama.
Menurutnya, gabungan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang merangkumi 5.7 juta penduduk serta keluasan lebih 38,000 kilometer persegi merupakan sebuah ‘gergasi’ ekonomi yang potensinya masih belum diteroka sepenuhnya.
Beliau berkata, kerjasama antara empat negeri itu mampu membentuk sebuah wilayah ekonomi dan perniagaan yang produktif melalui penyelarasan perancangan, perkongsian sumber serta pemanfaatan kelebihan masing-masing.
“Sejak awal lagi, saya merasakan bahawa SG4, sebagai sebuah entiti kolektif yang terdiri daripada empat negeri di utara Semenanjung Malaysia, sememangnya merupakan sebuah gergasi yang masih belum dibangunkan sepenuhnya potensinya.
“Sekiranya negeri-negeri ini dapat menyelaraskan usaha, menggembleng sumber dan saling melengkapi antara satu sama lain, ungkapan bahawa tiada had kepada potensi yang boleh dicapai bukan lagi sekadar kata-kata klise,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, pada SG4 Business Economic Forum 2026 bertemakan Four States, One Economic Vision di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Mahathir berkata, sejak gagasan SG4 diwujudkan, pemimpin empat negeri terbabit semakin menyedari kekuatan aset, sumber dan peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan untuk memacu pembangunan wilayah berkenaan.
Menurutnya, kesedaran itu penting bagi membolehkan setiap negeri mengenal pasti kelebihan masing-masing, di samping meneroka peluang ekonomi baharu melalui kerjasama yang lebih tersusun.
Katanya, SG4 memiliki kelebihan dari segi keluasan tanah, jumlah penduduk dan kemudahan infrastruktur yang berpotensi dimanfaatkan untuk membangunkan sektor ekonomi baharu serta memperkukuh kegiatan ekonomi sedia ada.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa penyatuan kekuatan empat negeri berkenaan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan pembangunan yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
Mahathir turut menegaskan bahawa matlamat SG4 tidak seharusnya terbatas kepada pembangunan ekonomi negeri masing-masing, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan penduduk.
Beliau berkata, kejayaan kerjasama itu akhirnya diharap dapat memberi manfaat melangkaui sempadan empat negeri terbabit, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.