Jalur Gemilang
Berita :
'Diplomat EU Tanya Kemungkinan Pertukaran Kerajaan Selepas PRU16'
'Diplomat EU Tanya Kemungkinan Pertukaran Kerajaan Selepas PRU16'
Husaif Mamat
4 jam yang lepas
79

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Beberapa diplomat Kesatuan Eropah (EU) telah mendapatkan pandangan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai kemungkinan berlaku pertukaran kerajaan di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Ahmad Samsuri berkata, perkara itu dibangkitkan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa diplomat EU baru-baru ini, susulan rundingan perjanjian yang sedang berlangsung antara Malaysia dan blok berkenaan.

Menurut beliau, diplomat terbabit mengemukakan pertanyaan khusus mengenai keadaan politik negara selepas PRU16, termasuk sekiranya berlaku perubahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

“Ketika bertemu beberapa diplomat EU baru-baru ini, mereka mengemukakan soalan yang sangat khusus mengenai keadaan selepas PRU16.

“Ini kerana EU dan Malaysia kini sedang merundingkan satu perjanjian. Mereka mahu mengetahui pandangan kami mengenai apa yang akan berlaku selepas PRU16 sekiranya terdapat perubahan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program SG4: Powering Malaysia’s Next Economic Frontier, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, beliau menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama dengan EU, namun menegaskan bahawa sebarang perjanjian perlu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Menurutnya, kepentingan syarikat dan perusahaan tempatan tidak boleh diketepikan dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi serta perdagangan antarabangsa.

“Sudah tentu kita mahu bekerjasama dan memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat, bukan hanya syarikat EU, tetapi juga Malaysia serta perusahaan dan perniagaan tempatan.

“Tidak ada gunanya kita mengadakan sebarang perjanjian sekiranya perusahaan dan perniagaan tempatan akhirnya dipinggirkan dalam susunan baharu itu,” tegasnya.

Ahmad Samsuri berkata, kerjasama ekonomi sedemikian perlu membuka ruang kepada perusahaan tempatan untuk berkembang dan meningkatkan keupayaan bersaing di peringkat global.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi negara.

Jelasnya, angka pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan tidak membawa makna sekiranya manfaatnya gagal dinikmati rakyat serta perusahaan kecil tempatan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan