Jalur Gemilang
Berita :
Lebih 50 Peserta Meriahkan Terengganu WaterSport Festival 2026
Lebih 50 Peserta Meriahkan Terengganu WaterSport Festival 2026
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 9 November – Lebih 50 peserta dari seluruh negeri termasuk Thailand menyertai Terengganu WaterSport Festival 2026 yang berlangsung selama tiga hari berakhir semalam di pesisir Sungai Taman Tamadun Islam (TTI).

Pengurus Besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, festival edisi ketiga itu dianjurkan TTI Management Sdn Bhd dengan kerjasama TRG Watersport Services (TWS) sekali gus memperlihatkan potensi sukan air sebagai produk pelancongan yang mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat. 

 “Sambutan terhadap festival berkenaan amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 50 peserta dalam sembilan kategori pertandingan jet ski serta 10 pasukan bagi pertandingan perahu naga.

“Penganjuran festival itu bukan sekadar bertujuan memeriahkan kalendar acara pelancongan negeri, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha strategik TTI untuk mempelbagaikan produk pelancongan dan mengoptimumkan penggunaan aset serta kemudahan sedia ada,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya. penganjuran festival itu turut bertujuan menyediakan platform untuk mengetengahkan bakat serta potensi peserta di samping memupuk semangat kesukanan dalam kalangan komuniti setempat.

“Penyertaan golongan muda khususnya bukan sahaja memberi pendedahan awal terhadap sukan air malah berpotensi menyemai minat dan melahirkan bakat baharu dalam sukan jetski.

 “Pemilihan TTI sebagai lokasi penganjuran dilihat bersesuaian berikutan kedudukannya di pesisir sungai, selain mempunyai keluasan dan keadaan perairan yang sesuai untuk aktiviti sukan air khususnya perlumbaan jetski.

“Malah, lokasi berkenaan turut menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar Terengganu, sekali gus memberi nilai tambah kepada usaha mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan air,” ujarnya.

Sementara itu katanya, TWS turut mengoperasikan Club House di TTI sebagai pusat aktiviti pasukan jetski termasuk latihan, taklimat dan bengkel berkaitan sukan berkenaan sejak 2024.

“Kemudahan itu juga membuka ruang kepada pengembangan aktiviti sukan air di TTI termasuk perancangan menawarkan perkhidmatan sewaan jetski kepada orang ramai pada masa akan datang,” ujarnya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan