Jalur Gemilang
Berita :
Kualiti Udara Terengganu Merosot, Tiga Kawasan Catat IPU Melebihi 150
Kualiti Udara Terengganu Merosot, Tiga Kawasan Catat IPU Melebihi 150
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 30 September – Kualiti udara di Terengganu semakin membimbangkan apabila tiga kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 setakat pukul 10 pagi ini.

Berdasarkan bacaan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Kuala Terengganu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 157, diikuti Kemaman dengan 152 dan Paka (151).

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan berpotensi memberi kesan kepada golongan sensitif, khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 33 kawasan di beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Terengganu, Perak dan Sarawak turut merekodkan bacaan IPU dalam kategori Tidak Sihat setakat pagi ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar bangunan, terutama aktiviti yang melibatkan penggunaan tenaga fizikal secara berlebihan.

Mereka yang perlu berada di kawasan terbuka pula disaran memakai pelitup muka yang bersesuaian serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.

Golongan berisiko turut dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perubatan sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sesak nafas atau ketidakselesaan berkaitan pernafasan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status kualiti udara dan bacaan IPU semasa menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sebelum melakukan sebarang aktiviti luar.

Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kualiti udara semasa dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah sewajarnya demi kesihatan dan keselamatan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan