KUALA TERENGGANU, 30 September – Sebanyak 20 sekolah membabitkan lebih 220 peserta menyertai Pertandingan Gamelan Melayu Tradisional (Tari/Muzik) Piala Tengku Seri Bijaya 2026 yang menjadi platform mencungkil bakat baharu selain memelihara warisan seni muzik dan tarian tradisional Melayu bermula 2hb hingga 3hb Oktober 2026 di Dewan Kenanga Terengganu Equestrian Resort (TER).
Menurut dalam satu kenyataan, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), pertandingan itu membabitkan 12 sekolah menengah dalam kategori Muzik Gamelan dan lapan sekolah rendah bagi kategori Tarian Gamelan.
“Pertandingan tahun ini turut menerima penyertaan sekolah dari luar Terengganu membabitkan Kelantan, Pahang dan Selangor.
“Penyertaan berkenaan memperlihatkan perkembangan serta sambutan terhadap seni gamelan Melayu tradisional yang semakin meluas dan merentasi sempadan negeri,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Kemuncak acara menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Penaung Program, merangkap Ahli Pangkuan DiRaja,Tengku Seri Bijaya Raja yang akan berlangsung pada 3hb Oktober jam 3.00 petang.
Antara sekolah rendah yang mengambil bahagian ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Tapai, SK Sultan Sulaiman 1, SK Padang Midin, SK Gong Pasir, SK Tok Jembal, SK Kuala Telemong, SK Kubang Ikan dan SK Tanjung Gelam.
Bagi kategori sekolah menengah pula, penyertaan membabitkan SMK Bukit Rangin, Pahang; SMK Tengku Mahmud; SMK Kompleks Gong Badak; SMK Tengku Lela Segara; SMK Ibrahim Fikri; SMK Mak Lagam, Kemaman; SMK Pulau Serai; SMK Agama Sheikh Abdul Malik; Kolej Islam Sultan Alam Shah, Selangor; Maktab Rendah Sains MARA Kuala Terengganu; Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tanah Merah.
Pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM10,000 bagi setiap kategori sebagai penghargaan kepada para peserta serta menggalakkan penglibatan generasi muda dalam seni warisan berkenaan.
Juara bakal menerima wang tunai RM3,000 berserta piala pusingan dan piala iringan, manakala naib johan membawa pulang RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.
Hadiah saguhati sebanyak RM500 turut disediakan.
Program berkenaan akan dirasmikan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.
Penganjuran pertandingan turut menjadi wadah meningkatkan penguasaan seni persembahan tradisional dalam kalangan pelajar serta memastikan warisan gamelan Melayu terus dipelihara dan diwarisi generasi muda.
Dalam masa sama, program berkenaan dilihat berpotensi memperkukuhkan produk pelancongan Terengganu berasaskan kluster seni, warisan dan budaya sekali gus menarik minat masyarakat tempatan serta pengunjung luar negeri.
Pertandingan itu dianjurkan bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu, manakala dokumentasi lengkap disediakan Jabatan Warisan Negara.