Jalur Gemilang
Berita :
KPM, KKM Digesa Nilai Semula Sistem Kesihatan Mental Pelajar
KPM, KKM Digesa Nilai Semula Sistem Kesihatan Mental Pelajar
Rohayati Ripin
8 jam yang lepas
128

KUALA TERENGGANU, 15 September – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menilai semula mekanisme pengesanan awal, rujukan serta intervensi kesihatan mental dalam kalangan pelajar susulan tragedi kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Oktober tahun lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, penilaian bersama itu perlu bagi memastikan tanda gangguan mental serius dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih buruk sehingga boleh menjejaskan keselamatan.

“Saya menyeru KPM dan KKM supaya menjalankan penilaian bersama terhadap mekanisme pengesanan awal, saluran rujukan dan intervensi kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

“Guru dan kaunselor juga perlu mempunyai saluran rujukan yang jelas dan pantas kepada perkhidmatan psikologi serta psikiatri kanak-kanak dan remaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Amzad, langkah itu bukan bertujuan mencari pihak untuk dipersalahkan, sebaliknya bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam sistem supaya pengajaran daripada tragedi berkenaan dapat diterjemahkan kepada langkah pencegahan yang lebih berkesan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kes berkenaan perlu dihormati dan proses kehakiman tidak seharusnya dicampuri.

Katanya, meskipun remaja lelaki berusia 15 tahun berkenaan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh selepas mahkamah mendapati dia berada dalam keadaan tidak sempurna akal ketika kejadian serta diperintahkan menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, nasib keluarga mangsa tidak boleh diketepikan.

“Seorang pelajar telah kehilangan nyawa dan sebuah keluarga kehilangan anak yang mereka kasihi.

“Hakikat bahawa remaja berkenaan didapati tidak sempurna akal tidak mengurangkan besarnya tragedi yang ditanggung keluarga mangsa,” katanya.

Ahmad Amzad turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan post-incident review yang bebas dan menyeluruh bagi menilai kemungkinan wujud kelemahan sistemik berkaitan pengesanan awal, rujukan kesihatan mental dan keselamatan sekolah.

Menurutnya, penilaian itu tidak seharusnya dilihat sebagai usaha mengadili semula kes yang telah diputuskan mahkamah, sebaliknya sebagai langkah memastikan setiap kelemahan yang dikenal pasti dapat diperbaiki bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Beliau pada masa sama mengingatkan supaya tragedi itu tidak membawa kepada stigma terhadap individu yang berdepan masalah kesihatan mental kerana keadaan tersebut tidak semestinya menjadikan seseorang ganas.

“Apa yang diperlukan ialah rawatan yang tepat, sokongan keluarga dan sistem intervensi yang berkesan.

“Kita tidak boleh menunggu tragedi seterusnya untuk memperbaiki sistem. Sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk anak-anak kita belajar, membesar dan membina masa depan,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan