KEMAMAN, 15 September – Sebanyak 500 anak penyu agar berusia sehari dilepaskan ke laut di Pusat Santuari Penyu Ma’Daerah hari ini sebagai sebahagian usaha pemuliharaan menerusi Program Lestari Alam 2026.
Anak penyu berukuran kira-kira 2.5 sentimeter setiap seekor itu sebelum ini dieram di pusat santuari berkenaan sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melepaskan beberapa ekor anak penyu berkenaan kira-kira jam 6.30 petang.
Turut berangkat adinda baginda, Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.
Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Pang Nyukang.

Dalam titahnya, Tengku Muhammad Ismail mengingatkan bahawa pencemaran, pembuangan sampah serta aktiviti manusia yang tidak terkawal semakin memberi tekanan kepada alam sekitar dan hidupan marin.
Baginda bertitah, kesannya bukan sahaja terhadap penyu, malah turut melibatkan sumber perikanan dan terumbu karang.
Menurut baginda, masyarakat boleh memainkan peranan dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, menjaga kebersihan sungai, pantai dan laut serta melindungi habitat semula jadi termasuk hutan bakau dan terumbu karang.
Baginda turut menyeru masyarakat menyokong amalan perikanan lestari bagi memastikan sumber laut tidak dieksploitasi secara berlebihan.
“Menjaga alam sekitar bukanlah tanggungjawab kerajaan atau badan-badan tertentu sahaja. Ia adalah tanggungjawab kita bersama.
“Walaupun tindakan kita kelihatan kecil, apabila dilakukan oleh jutaan manusia, kesannya boleh menjadi sangat besar,” titah baginda.
