KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Kerajaan perlu memperincikan hasil konkrit kerjasama ASEAN dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan yang berulang setiap tahun sehingga menjejaskan kualiti udara, kesihatan rakyat dan kesejahteraan masyarakat.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, isu jerebu tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah meningkatkan risiko penyakit pernafasan dan menambah beban terhadap sistem kesihatan negara.
Menurut beliau, pada Oktober 2026, sebanyak 33 kawasan di Malaysia merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan bacaan tertinggi mencecah 195 di Batu Pahat, Johor.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan, kes jangkitan saluran pernafasan meningkat sebanyak 167 peratus kepada 7,065 kes, manakala kes asma meningkat sebanyak 127 peratus kepada 1,117 kes.
“Angka ini memperlihatkan bahawa pencemaran alam sekitar bukan sekadar isu kualiti udara, tetapi turut memberi kesan langsung kepada kesihatan rakyat dan meningkatkan beban terhadap sistem kesihatan negara,” ujarnya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Katanya, Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN, namun kejayaan menganjurkan persidangan antarabangsa tidak seharusnya menjadi ukuran tunggal keberhasilan diplomasi serantau.
“Janganlah kita hanya berbangga dengan kejayaan menganjurkan persidangan antarabangsa, sedangkan rakyat masih terpaksa menghirup udara tercemar akibat masalah jerebu dari negara jiran yang berulang saban tahun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan sejauh mana keberkesanan kerjasama ASEAN dalam menangani isu berkenaan, khususnya berkaitan mekanisme pemantauan, penguatkuasaan serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran.
Menurutnya, pendekatan lebih tegas dan berkesan perlu dilaksanakan bagi memastikan masalah jerebu rentas sempadan tidak terus berulang tanpa penyelesaian tuntas.
“Keberhasilan diplomasi tidak seharusnya diukur melalui deklarasi dan persidangan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan keberkesanan tindakan serta sejauh mana ia mampu melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu jerebu rentas sempadan memerlukan komitmen berterusan semua negara ASEAN supaya hak rakyat untuk menikmati persekitaran yang bersih dan udara yang sihat dapat dipelihara.