Berita :
Kerajaan Negeri Perkasa Pendigitalan Melalui Integrasi Teknologi D-RAN dan Intelligent Pole
Kerajaan Negeri Perkasa Pendigitalan Melalui Integrasi Teknologi D-RAN dan Intelligent Pole
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 13 Mac — Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memperkukuh agenda pendigitalan negeri menerusi usaha memperkasa pembangunan infrastruktur komunikasi pintar selaras aspirasi Smart Terengganu 2040.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata,
komitmen itu dizahirkan melalui penganjuran Bengkel Penyelarasan Pembangunan Struktur Intelligent Pole Negeri Terengganu yang diadakan susulan pelancaran teknologi Intelligent Pole (IP) baru-baru ini.

Menurutnya, bengkel berkenaan memberi tumpuan kepada adaptasi teknologi Distributed Radio Access Network (D-RAN) yang sebelum ini telah berjaya dilaksanakan di Putrajaya untuk diintegrasikan dalam struktur Intelligent Pole di negeri ini.

"Inisiatif itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan infrastruktur komunikasi bagi menyediakan liputan rangkaian yang lebih stabil serta berkelajuan tinggi kepada rakyat dan sektor industri.

"Selain itu, bengkel tersebut turut menjadi platform kepada agensi dan pihak berkepentingan untuk meneliti dasar serta polisi sedia ada bagi memastikan pelaksanaan teknologi baharu itu dapat dilaksanakan secara lebih terancang, mampan serta mematuhi piawaian pembangunan negeri," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri menegaskan komitmennya untuk terus membangunkan ekosistem digital yang inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat serta industri, selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 dan aspirasi Smart Terengganu 2040.

Katanya, pada masa sama, kerjasama strategik antara kerajaan negeri, agensi berkaitan serta pemain industri dilihat sebagai pemangkin penting dalam merealisasikan transformasi digital negeri.

Antara rakan strategik yang terlibat termasuk TM Global dan Colla Connecting Edge, yang memainkan peranan dalam menjayakan pembangunan teknologi serta infrastruktur digital di Terengganu.

Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Naib Presiden Eksekutif TM Global, Khairul Riza Ibrahim, serta Pengarah Urusan Colla Connecting Edge,  Abdul Rakhib Khan, selain wakil-wakil agensi yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan bengkel penyelarasan tersebut.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan