Berita :
Kenaikan Harga Minyak: Rakyat Terhimpit, Kerajaan Dipersoal
Kenaikan Harga Minyak: Rakyat Terhimpit, Kerajaan Dipersoal
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
34

BESUT, 10 April – Kenaikan harga minyak yang berterusan menimbulkan persoalan serius dalam kalangan rakyat, khususnya apabila tiada justifikasi jelas diberikan oleh pihak kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Marang berhubung isu tersebut, sambil mempersoalkan rasional kenaikan harga minyak walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak.

Menurutnya, pengeluaran minyak yang mencecah kira-kira 360,000 tong sehari di Terengganu membuktikan bahawa negara tidak berdepan kekurangan bekalan, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap alasan kenaikan harga.

"Kalaulah kita tidak ada satu pengurusan untuk mendahulukan rakyat, apa guna pemimpin macam itu?. 

"Yang kedua, yang disebut sebagai halangan di Teluk Hormuz. Sebenarnya pihak tuan rumah sendiri mengatakan bahawa untuk kapal Malaysia tidak ada caj.

"Kenapa itu dijadikan alasan," soalnya ketika ditemui pihak media dalam satu program Majlis Hari Raya Aidilfitri di Dewan Gong Kemuntong, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Nurkhuzaini membandingkan situasi Malaysia dengan Thailand tidak mempunyai sumber minyak tetapi mampu menurunkan harga bahan api, berbeza dengan kenaikan sebanyak 70 sen bagi diesel dan 40 sen bagi petrol yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, keadaan itu memberi tekanan besar kepada rakyat sehingga memaksa mereka melakukan catuan perbelanjaan harian, malah ada yang terpaksa mengurangkan keperluan asas.

“Keadaan harga minyak sekarang bukan sahaja menghimpit rakyat hingga ke pintu rumah, malah sampai ke dinding rumah mereka sendiri,” ujarnya lagi 

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan agar kembali mengutamakan kebajikan rakyat serta lebih telus dalam membuat keputusan berkaitan harga minyak.

Pada masa sama, Mohd Nurkhuzaini turut menyeru rakyat supaya meningkatkan kesedaran dan menilai kepimpinan sedia ada bagi memastikan negara diterajui oleh pemimpin yang lebih berintegriti dan berjiwa rakyat.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan