Berita :
Daripada Bakal Kepada Realiti, Solar Terapung Kenyir Masuk Fasa Besar
Daripada Bakal Kepada Realiti, Solar Terapung Kenyir Masuk Fasa Besar
Husaif Mamat
9 jam yang lepas
211

KUALA TERENGGANU, 9 April - Projek solar terapung di Tasik Kenyir kini memasuki tahap yang lebih serius selepas siri perancangan awal dan kajian kebolehlaksanaan oleh syarikat kerajaan Terengganu yang digerakkan sebelum ini mula diterjemahkan kepada pembangunan berskala besar.

Langkah terbaharu itu menyusul selepas TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) menganugerahkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM1.962 bilion kepada konsortium yang diterajui Cypark Renewable Energy Sdn Bhd bersama Fabulous Sunview Sdn Bhd bagi membangunkan loji hidro hibrid solar terapung di Tasik Kenyir pada awal bulan ini.

Menurut laporan DagangNews, projek tersebut mempunyai kapasiti 595 megawatt arus ulang-alik (MWac), dilengkapi dengan sistem penyimpanan tenaga bateri, dan dijangka disiapkan sepenuhnya pada 2028.

Perkembangan itu menunjukkan projek berkenaan sudah bergerak melangkaui peringkat cadangan dan penilaian awal, sekali gus memasuki fasa pelaksanaan yang lebih nyata.

Untuk rekod, usaha ke arah pembangunan tenaga solar di Terengganu sebenarnya telah disebut lebih awal. 

Pada 27 Januari 2022, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan komitmen untuk membawa lebih banyak projek loji jana kuasa solar berskala besar ke negeri ini kerana sektor berkenaan dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta menambah hasil negeri.

Daripada hala tuju itu, langkah susulan kemudian diperkukuh melalui Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), syarikat pelaburan strategik milik kerajaan negeri, yang memeterai memorandum persefahaman dengan TNB Genco pada 12 Jun 2023.

Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada kajian kebolehlaksanaan bagi pembangunan loji tenaga solar fotovoltaik terapung di Tasik Kenyir, termasuk menilai beberapa keperluan penting sebelum projek berskala besar itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Ketika mengumumkan MoU berkenaan, Ahmad Samsuri berkata projek itu dirancang di Tasik Kenyir kerana kawasan tersebut mempunyai keluasan dan potensi yang sesuai untuk pembangunan tenaga hijau.

“Ia adalah ladang solar terapung. Jadi satu-satunya ‘water body’ yang kita ada hanyalah di situ,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, TNB Genco turut memetik Presiden Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, yang menjelaskan projek loji tenaga solar terapung itu dicadangkan dibangunkan di kawasan seluas 2,000 hektar di Tasik Kenyir.

Menurut beliau, kajian pembangunan tersebut dijalankan bersama TNB Genco yang bertindak sebagai rakan strategik berdasarkan kepakarannya dalam bidang penjanaan tenaga.

Negeri Terengganu dijangka memperoleh hasil daripada projek ini melalui beberapa saluran utama, iaitu caj penggunaan permukaan air kepada Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), permit penggunaan tanah, cukai tanah, permit dan lesen kepada agensi berkaitan, selain potensi dividen kepada Terengganu Inc. 

Bagi fasa awal, hasil langsung yang disebut ialah sekitar RM40 juta setahun, termasuk RM37 juta kepada LAUT, manakala dalam jangka panjang nilainya berpotensi meningkat lebih besar apabila kapasiti keseluruhan projek dilaksanakan.

Laporan DagangNews turut menyebut pembangunan projek itu dilaksanakan menerusi kerjasama konsortium antara Terengganu Inc dan TNB Genco, memperlihatkan bahawa penglibatan pihak tempatan telah bermula sejak fasa awal perancangan lagi.

Sekiranya disiapkan seperti dijadualkan, projek di Tasik Kenyir itu dijangka muncul sebagai antara pembangunan tenaga boleh baharu terbesar di negara ini, di samping mengukuhkan peranan Kenyir sebagai lokasi strategik bagi pembangunan tenaga hijau berskala besar.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan