lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Aktiviti Korek Pasir Lebih 10 Tahun Di Sungai Terengganu Mungkin Ditamatkan
Aktiviti Korek Pasir Lebih 10 Tahun Di Sungai Terengganu Mungkin Ditamatkan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri menyuarakan penegasan untuk menamatkan aktiviti mengorek pasir di Sungai Terengganu yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu kerana dipercayai mengakibatkan hakisan di kawasan paip utama pecah bulan lalu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh berkata, buat masa ini, aktiviti perusahaan pasir ditangguhkan serta-merta sehingga siasatan selesai dan kemungkinan tidak akan diteruskan sekiranya ia mengakibatkan krisis serta menyebabkan kesusahan orang ramai, Katanya, perkara tersebut akan dibincangkan dengan lebih teliti melibatkan pelbagai pihak sebelum dimuktamadkan. "Secara dasarnya, hakisan sepanjang lebih kurang 80 meter itu menjadi punca paip utama Syarikat Air Terengganu (SATU) pecah sehingga mengakibatkan krisis air yang berlaku baru-baru ini. "Namun, kita tidak menyalahkan mana-mana pengusaha kerana kita tidak ada bukti yang kuat disebabkan ia melibatkan masa yang lama dan banyak pengusaha-pengusaha pasir sebelum ini. "Kita juga telah mengarahkan kajian melalui jawatankuasa yang diketuai Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN) untuk menyiasat apa yang berlaku," katanya kepada media dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang itu, sebanyak 12 pengusaha pasir telah beroperasi dalam tempoh 10 tahun terakhir di kawasan tersebut dan kini hanya tujuh yang masih aktif.        
14 Sep 21
3622
Sidang DUN : Kerjasama Pelbagai Pihak Tangani Kenaikan Harga Makanan Ternakan
Sidang DUN : Kerjasama Pelbagai Pihak Tangani Kenaikan Harga Makanan Ternakan
KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri telah bekerjasama dengan beberapa agensi dan persatuan bagi menangani isu kenaikan harga makanan ternakan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha kilang makanan ternakan (pellet), Koperasi Peserta-peserta Felcra Malaysia Berhad (KPFB) di Gong Badak dan wakil persatuan Ternakan Ruminan negeri. "Kerjasama ini diadakan bagi memastikan harga makanan ternakan dalam negeri terkawal dan harga yang lebih berpatutan berbanding sumber dari luar negeri. "Kita juga telah meminta agar persatuan tersebut memainkan peranan dalam mempromosikan makanan keluaran tempatan dengan harga yang lebih berpatutan kepada ahli-ahlinya dan penternak yang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rantau Abang, Alias Harun di Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini. Tambah Dr Azman lagi, penternak-penternak juga digalakkan menumpukan kepada penggunaan makanan hijau sebagai makanan utama ternakan bagi mengurangkan kos makanan melalui pembangunan tanah Rizab Padang Ragut.  
14 Sep 21
497
Sidang DUN : Jawatankuasa Khas Kurangkan Kadar Pengangguran
Sidang DUN : Jawatankuasa Khas Kurangkan Kadar Pengangguran
KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri melalui Urus Setia Pekerjaan negeri terus giat mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan di negeri ini bagi mengurangkan kadar pengangguran yang berlaku terutamanya dalam tempoh dua tahun ini ekoran pandemik Covid-19. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, berkata jawatankuasa khas itu telah ditubuhkan secara khusus bagi menangani permasalahan berkenaan. "Jadi ini adalah salah satu cara bagaimana kita mengatasi masalah ini di Terengganu, yang mana terdapat 30 jabatan dan agensi yang bernaung di bawah Urus Setia Pekerjaan Negeri Terengganu ini yang juga di bawahnya ada Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) yang telah dapat menempatkan perkejaan pada tahun 2019 sebanyak 10,122 orang. "Pada 2020 sebanyak 3,487 dan sehingga 31 Julai (pula) berjaya menempatkan 4,811 orang melalui Karnival Kerjaya yang diadakan pada 3 sehingga 4 April 2021 baru-baru ini yang pertama diadakan secara fizikal memandangkan kadar pengangguran semakin meningkat. "Terutamanya di kalangan belia, serta usaha terbaharu adalah melalui sebuah syarikat dari negeri Selangor yang memerlukan 800 pekerja dengan kadar segera." ujarnya ketika ditemui pihak media pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, hari ini. Beliau berkata, pandemik yang berlaku juga telah menyebabkan usaha-usaha kerajaan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan mengalami sedikit kesulitan. Dalam memulihkan kembali kehidupan rakyat katanya, kerajaan juga akan turut membantu kalangan mereka yang kehilangan pekerjaan. "Kita (akan) gerakkan semula ekonomi negeri, di mana pembangunan perlu dipastikan terus berjalan melalui pembikinan kerja-kerja kecil, kerja-kerja menyelenggara itu akan kita gerakkan semula dan mereka ada peluang untuk mendapatkan pekerjaan daripada sumber yang ada. "Sekarang ini sememangnya kerajaan memberi peruntukkan kepada semua Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mereka laksanakan projek-projek kecil dan saya harapkan ia memberikan peluang untuk mereka mendapatkan sedikit pendapatan daripada projek tersebut khususnya daripada pejabat-pejabat daerah," ujarnya.  
14 Sep 21
212
Sultan Terengganu Titah Kerajaan Rangka Strategi Pulihkan Ekonomi Negeri
Sultan Terengganu Titah Kerajaan Rangka Strategi Pulihkan Ekonomi Negeri
KUALA TERENGGANU, 13 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kerajaan negeri merangka dan bersedia melaksanakan pelbagai strategi pemulihan yang berkesan serta komprehensif bagi memulihkan ekonomi negeri. Baginda bertitah, sejumlah peruntukkan RM2.01 bilion pada tahun 2021 telah dibelanjakan untuk pembangunan pengurusan negeri yang mana sebanyak RM 635.32 juta bagi membiayai projek-projek pembangunan, manakala RM1.35 bilion adalah untuk mengurus. "Beta berharap dalam belanjawan tahun-tahun yang akan datang, kerajaan negeri memberikan fokus kepada perbelanjaan untuk pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negeri. "Projek-projek pembangunan perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi dan keperluan jangka masa panjang," titah baginda. Baginda bertitah demikian melalui perutusan yang dibaca Menteri Besar, Dato'' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Dalam pada itu, Baginda menyambut baik usaha dilakukan kerajaan negeri dalam menangani permasalah bekalan air dengan meningkatkan fasiliti pengeluaran air bersih agar gangguan bekalan berkenaan terutama di musim perayaan dapat dielakkan. Sultan Mizan turut bertitah supaya setiap Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) bertanggungjawab untuk mencorakkan Terengganu ke arah sebuah negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera sebagaimana yang dihasratkan selama ini. "Oleh yang demikian, sepanjang sidang ini berlangsung, berbahas dan berhujahlah secara rasional dan ilmiah atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama. "Beta juga ingin mengingatkan supaya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri terus dipatuhi dan dipertahankan. "Beta yakin negeri dan rakyat akan terus menikmati keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup, sekiranya sikap hormat menghormati dan mematuhi undang-undang dijadikan dasar utama. "Akhirnya, Beta berdoa kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar bersama Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan, serta kerjasama padu daripada jentera pentadbiran awam, akan mendapat petunjuk dan bimbingan ilahi bagi menyempurnakan tanggungjawab dan amanah, secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, amanah lagi berintegriti," titah Baginda lagi.
13 Sep 21
481
Sultan Mizan Sambut Baik Setiu Sebagai Gedung Makanan Terengganu
Sultan Mizan Sambut Baik Setiu Sebagai Gedung Makanan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyambut baik usaha kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri. Titah Sultan Mizan, melihat kepada kepentingan menyediakan sumber makanan yang mencukupi kini, baginda menyeru supaya kerajaan negeri memberi perhatian yang serius dalam usaha membangunkan sektor pertanian ke satu tahap lebih tinggi.  “Ini memandangkan sektor pertanian menjanjikan pulangan ekonomi yang berbaloi jika dilaksanakan dengan kaedah yang tepat.  “Beta dimaklumkan Tahun Pertanian 2021 sedang berjalan lancar, sejumlah RM25.3 juta iaitu peningkatan empat kali ganda telah diperuntukkan berbanding tahun 2020 yang melibatkan pelaksanaan 72 program dan 33 projek pertanian.  “Antara program utama yang telah dilaksanakan adalah insentif pengeluaran beras MyGAP, penanaman Melon Manis Terengganu di Rantau Abang dan Projek Melabuh Unjam Dan Tukun di Perairan Terengganu,” titah Baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 hari ini. Sebelum ini, kerajaan negeri mengisytiharkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Jun lalu. Katanya, pemilihan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu adalah disebabkan beberapa faktor antaranya daerah ini masih lagi mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan di dalam sesuatu kawasan. Dalam, perkembangan sama, Sultan Mizan turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana berjaya memperolehi peruntukan sebanyak RM30 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi memperkasa sektor pertanian Negeri Terengganu. “Beta juga menyambut baik usaha kerajaan Negeri meningkatkan fasiliti pengeluaran air bersih supaya gangguan bekalan air terutama di musim perayaan dapat dielakkan,” titah Sultan Terengganu  
13 Sep 21
591
Sidang DUN : Sultan Mizan Seru Rakyat Terengganu Ambil Vaksin
Sidang DUN : Sultan Mizan Seru Rakyat Terengganu Ambil Vaksin
KUALA TERENGGANU, 13 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh rakyat negeri ini supaya segera mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. Melalui perutusan yang dibaca Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu, Baginda bertitah, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang diperkenalkan kerajaan merupakan salah satu kaedah untuk mengawal pandemik.  “Pada ketika ini, Program Vaksinisasi merupakan kaedah terbaik untuk melindungi rakyat daripada COVID-19. “Ia diberikan secara percuma kepada semua warganegara dan bukan warganegara yang disalurkan melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri dan Persekutuan,” titah Baginda Sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 hari ini. Titah Baginda lagi, di negeri Terengganu lebih 80.2 peratus daripada masyarakat telah mendaftar untuk menerima vaksin dan 15 buah PPV telah dibuka di seluruh negeri serta pelbagai program Outreach telah dilaksanakan. “Walau bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa CITF Persekutuan juga menghadapi kekangan sumber vaksin diperingkat global, menyebabkan kadar penerimaan stok vaksin di Negeri Terengganu sedikit terganggu.  “Beta berharap perkara ini dapat diselaraskan sebaik mungkin supaya  usaha ini akan dapat membantu Negeri Terengganu mencapai  ‘Herd Imunity’ atau imuniti berkelompok dihujung tahun ini atau sebelum Monsun Timur Laut melanda.  “Diharapkan kadar pendaftaran untuk mendapatkan vaksin dan kadar vaksinisasi dapat dipertingkatkan secepat mungkin bagi mengawal penularan wabak COVID-19 ini,” titah Sultan Mizan.
13 Sep 21
433
DUN Terengganu Bersidang 13 September
DUN Terengganu Bersidang 13 September
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan negeri hari ini memaklumkan bahawa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu akan diadakan pada 13 hingga 15 September depan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu disahkan selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan pembukaan sidang DUN Terengganu pada tarikh terbabit. “Makluman akan dihantar kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas ini. “Insya-Allah ia akan berlangsung dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan dan mendapat kelulusan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujar beliau ketika dihubungi UPDI hari ini. Untuk rekod, beberapa negeri sudah mengesahkan tarikh persidangan DUN masing-masing pada Ogos hingga September depan antaranya Selangor, Johor dan Perak.
15 Jul 21
999
Sidang DUN : 40 Ekar Untuk Penternak Ikan
Sidang DUN : 40 Ekar Untuk Penternak Ikan
KUALA TERENGGANU, 25 November – Terengganu menyediakan kawasan kira-kira 40 ekar di Bukit Keluang, Besut dan Laguna, Setiu bagi menyelesaikan isu pembinaan kolam dan sangkar ternakan ikan tasik secara haram dalam kawasan tanah milik kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri mahu menyelesaikan hal ini dalam keadaan harmoni dan bukannya untuk menghukum rakyat. “Kepada pegusaha dan penternak yang terlibat boleh memohon Lesen Menduduki Sementara (LMS), manfaat wang yang ada dalam dasar ini, syarat-syarat tertakluk kepada pandangan jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soal lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet), hari ini. Dr Azman turut memberitahu, berdasarkan rekod terdapat 1,037 sangkar di Terengganu. "Yang ada kelulusan LMS 180 sangkar, 48 sangkar LMS tamat tempoh dan sebanyak 674 sangkar masih dalam proses kelulusan," jelasnya. Katanya, kerajaan terpaksa bertindak tegas sekiranya berlaku lagi percebohan tanah milik kerajaan bagi menjaga kepentingan bersama. “Mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM400,000 dan penjara kurang dari  5 tahun,” katanya  
25 Nov 20
2081
AKPK Sambut Baik Inisiatif Pelan Literasi Kewangan Terengganu
AKPK Sambut Baik Inisiatif Pelan Literasi Kewangan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 November - Inisiatif kerajaan negeri mewujudkan literasi kewangan Terengganu bagi membantu rakyat menguruskan kewangan secara berhemah disambut baik Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) Terengganu. Ketua Cawangan AKPK Terengganu, Junainah Ahmad Esa menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai batu loncatan ataupun kesinambungan atas usaha untuk meluaskan lagi rangkuman pendidikan kewangan di kalangan rakyat Terengganu. "Dengan sokongan kerajaan melalui inisiatif ini, kita yakin bahawa literasi kewangan akan berkembang di seluruh negeri. Usaha ini diperkenalkan tepat pada masanya sebab suasana pasca COVID-19 ini memperlihatkan masyarakat memang menghadapi cabaran kewangan yang besar terutama ketika berdepan keadaan ketidaktentuan ini. "AKPK sebagai agensi utama yang diberi mandat untuk melaksanakan program membudayakan pengurusan kewangan berhemat di kalangan masyarakat amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat murni ini," katanya ketika di temui Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam. Jelasnya, dengan adanya usaha yang mampan dan bersepadu daripada kerajaan negeri, AKPK secara tidak langsung akan dapat memperluaskan pembudayaan pengurusan kewangan baik dengan sokongan yang kukuh. "Maknanya, kita akan mendapat kerjasama daripada lebih banyak agensi-agensi dengan sokongan kerajaan negeri.  “Peningkatan literasi kewangan di kalangan masyarakat juga memerlukan penglibatan daripada agensi-agensi lain yang kita lihat mampu untuk memberi nilai tambah kepada pelaksanaan program ini demi mencapai hasil seperti yang diharapkan," katanya. Tambah Junainah, rakyat Terengganu perlu mengambil peluang melibatkan diri dalam menjayakan inisiatif tersebut. "Rakyat Terengganu amat beruntung dengan inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dan perlu mengambil peluang sepenuhnya dengan melibatkan diri dalam program-program literasi kewangan yang bakal dilaksanakan kelak. "Ilmu itu sangat penting dan menjadi 'game changer' dalam hidup kerana dengan ilmu baru kita boleh merubah nasib. Ilmu literasi kewangan akan membekalkan masyarakat dengan kesedaran, ilmu, kemahiran, sikap dan tabiat yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak. Keputusan kewangan yang kita ambil hari ini boleh memberi impak kepada kesejahteraan kehidupan hari esok,” katanya.      
25 Nov 20
1033
Sidang DUN : Ganding Bahu Bantu Rakyat Tanpa Kira Sempadan Politik
Sidang DUN : Ganding Bahu Bantu Rakyat Tanpa Kira Sempadan Politik
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 25 November - Seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu diingatkan agar bersama berganding bahu membantu rakyat di negeri ini tanpa mengira sempadan politik. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, ia adalah untuk meringankan beban yang ditanggung masyarakat yang terjejas akibat Covid-19 yang melanda di seluruh negara. "Pepatah Melayu (mengatakan) 'yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing' wajar diambil iktibar oleh semua Ahli Yang Berhormat sebagai pemimpin untuk bersatu bagi menggerakkan rakyat menghadapi pandemik ini. "Terutama dalam membantu 'frontliners' menghadapi isu global yang mengancam nyawa ini," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pembukaan Persidangan Mesyuarat Kali Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 14 di U2, Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua 'frontliners' samada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia Polis, Tentera bertungkus lumus berkorban nyawa demi menyelamatkan nyawa. "Sepanjang persidangan ini, saya berharap semua Yang Berhormat dapat mematuhi SOP seperti biasa walau pun kita telah melepasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersepadu (PKPB). "YB mesti sentiasa membuat penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan membersihkan tangan sebagai langkah keselamatan serta bilik persidangan di DUN kita, telah melalui proses sanitasi sebelum persidangan bermula," tambah Yahaya.
25 Nov 20
345