lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

SG4 Sedia Terima Pandangan Pelbagai Pihak
SG4 Sedia Terima Pandangan Pelbagai Pihak
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - State Government 4 atau SG4 sedia menerima sebarang pandangan pelbagai pihak termasuk daripada individu yang menerima gelaran Tan Sri baru-baru ini, demi kebaikan rakyat. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama SG4 adalah untuk memberi nilai tambah dan elemen baharu yang boleh diusahakan. Katanya, banyak manfaat boleh dihasilkan apabila semua pihak melihat sisi pandangan yang berlainan dengan matlamat untuk membantu sesama negeri. “Saya ingin menjelaskan SG4 adalah pendekatan 'non-partisan', bahawa kita sangat terbuka untuk menerima siapa juga yang ingin membantu. “Termasuklah daripada individu yang baru mendapat pingat Tan Sri baru-baru ini, jika beliau nak membantu, kami dengan hati terbuka akan mendengar pandangan dan saranannya, walau parti politik berbeza,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Ketika ditanya tentang peranan Tun Dr Mahathir secara probono dalam SG4, Ahmad Samsuri berkata Mantan Perdana Menteri itu mempunyai keistimewaan tersendiri. "Penglibatan beberapa tokoh, yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam bidang-bidang tertentu juga akan digunakan sebaiknya, bagi meraih manfaat yang sebanyaknya kepada SG4," katanya. Tambah Ahmad Samsuri, kerjasama strategik berkenaan adalah untuk meningkatkan Daya Saing (Competitiveness) dan Daya tahan (Resilient) negeri-negeri anggota SG4. “Perlu diingat, kesenjangan (disparity) yang ada di negeri-negeri ini perlu di rapatkan, dan saling bantu membantu dalam aspek yang menjadi kekuatan sebuah negeri, mungkin kelemahan di negeri yang lain,” jelasnya.
05 Oct 23
297
Terengganu Terus Bertatakrama Julang Semangat Federalisme
Terengganu Terus Bertatakrama Julang Semangat Federalisme
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kerajaan Terengganu akan terus bertatakrama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semangat federalisme sentiasa subur walaupun ada halangan-halangan tertentu. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan semangat itu akan digarap bersama Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bagi membolehkan negara bergerak ke depan. "Pada penggal yang lepas, kita menerapkan pendekatan BPMS ini di peringkat negeri, antaranya dengan memastikan semua rakyat yang layak mendapat bantuan, menerima bantuan tanpa mengira warna politik, kerana mereka semua rakyat di bawah naungan Negeri Terengganu.  "Pandang ke depan, kita akan terus melaksanakan dan mempromosikan pendekatan ini, dalam apa jua urusan di peringkat negeri sehinggalah di peringkat persekutuan. "Bak kata orang lama-lama esa hilang, dua terbilang (ertinya ; terus berusaha dengan keazaman hingga tercapai cita-cita)," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini Menurut Ahmad Samsuri, semangat federalisme yang termaktub jika disandingkan dengan BPMS, sudah pasti akan memberikan suatu harapan baharu dalam budaya pentadbiran dan politik negara.  "Kita akan terus bertatakrama dan bersikap professional, serta saling hormat-menghormati bidang kuasa yang telah digariskan dalam perlembagaan.  "Kita juga perlu menanamkan dalam diri kita bahawa semua yang kita buat ini adalah untuk kebaikan rakyat, negeri dan negara," tambah beliau. Sebelum ini, ada pihak tidak bertanggungjawab mahu peruntukan atau bantuan tertentu tidak disalur ke negeri yang berbeza aliran dengan kerajaan Persekutuan.
04 Oct 23
219
Kuasa Bukan Lesen Anak Tirikan Pengundi Lawan
Kuasa Bukan Lesen Anak Tirikan Pengundi Lawan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kemenangan dan kuasa bukan lesen untuk semua pihak menganaktirikan dan berlaku zalim terhadap penyokong parti lawan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebaliknya pihak yang berkuasa perlu adil kepada semua rakyat tanpa mengira sokongan politik mereka. "Keadilan kita kepada semua rakyat, kita berlaku adil sama ada yang bersama dengan kita atau yang membangkang kita, kerana mereka adalah rakyat yang kita perlu jaga dan uruskan. "Keadilan wajar diberikan pada yang selayaknya, tanpa mengira pendirian politik kepartian mereka," katanya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini Mengulas lanjut beliau berkata, berdendam terhadap pihak lawan sehingga mengakibatkan pembangunan hanya dilaksana kawasan penyokong sendiri bakal menyeksa rakyat sekali gus merugikan negara dan negeri. "Sikap tidak adil dalam tindakan akan hanya membawa negeri dan negara kita ke belakang dan akan terus tertinggal di kalangan negeri membangun, jauh sekali mencapai status negeri dan negara berpendapatan tinggi. "Inilah masalah yang menghantui parti politik yang menyertai sistem politik demokrasi dalam negara kita sejak sekian lama.  "Sistem sudah baik, tetapi dicemarkan oleh tindakan ahli politik yang hanya mementingkan tindakan populis dan 'political survival', berbanding tanggungjawab mengurus tadbir seluruh rakyat dalam negeri atau negara, berbeza dengan negara-negara maju di dunia ini," katanya. Jelas Naib Presiden PAS itu, perbezaan politik telah menjadi duri yang menyebabkan kesejahteraan rakyat terjejas, rantaian ekonomi terganggu dan merencatkan keharmonian dicapai.  "Suasana ini perlu berubah, dengan pemimpin yang diberi amanah menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dan berkhidmat dengan penuh ikhlas dan professional," tambah beliau. Semalam, Ahmad Samsuri memaklumkan Terengganu hanya menerima RM405 juta dana khas (Petroleum) berbanding RM1.54 bilion yang sepatutnya menjadi milik rakyat negeri ini. Katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu RM1.374 bilion (2018), RM1.497 bilion (2019), RM1.226 bilion (2020), RM1.287 bilion (2021) dan RM1.394 bilion (2022).
04 Oct 23
257
Peningkatan Pelaburan Perlu Lonjak Pendapatan Negeri
Peningkatan Pelaburan Perlu Lonjak Pendapatan Negeri
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Peningkatan pelaburan di Terengganu diharap dapat memberi pulangan serta hasil yang baik bagi meningkatkan pendapatan negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, keadaan demikian sewajarnya menjadi faktor bertambahnya pendapatan di negeri ini. "Kita sebenarnya sangat mengalu-alukan pelaburan dari luar untuk tujuan penambahan hasil bagi kerajaan negeri. "Walau bagaimanapun kita melihat ia tidak besar sebagaimana pelaburan yang berlaku, mungkin hasil diperolehi hanya daripada premium tanah dan hasil-hasil cukai yang tidak besar. "Oleh itu kita mengharapkan kontrak-kontrak yang dijalankan dengan pelabur asing ini memberi pulangan yang lebih besar kepada negeri kita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sesi Perbahasan Ke Atas Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Mizan di Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, dengan meningkatnya pelabur ke negeri ini kerajaan negeri perlu mengambil kesempatan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. "Apabila bertemu dengan mereka yang menyatakan minat untuk melabur antara perkara yang dibangkitkan ialah adakah kerajaan Terengganu boleh menyediakan tenaga kerja untuk keperluan industri mereka," katanya. Dalam pada itu katanya, DUN Telemong yang selama ini merupakan tempat yang paling kecil berlaku pelaburan berupaya untuk dijadikan sebahagian 'free trade zone' "Kerana itu kita mengharapkan agar berlakunya sambungan lebuhraya antara Kuala Telemong dengan Jeneris supaya memberi suatu nilai impak yang lebih besar kepada industri di Hulu Terengganu agar ia selari dengan keperluan pertanian bagi membolehkan rakyat mengecapi kemajuan ini, insya-Allah," ujar beliau.
03 Oct 23
190
Kerajaan Perlu Fokus Majukan 'Lidah Terengganu'
Kerajaan Perlu Fokus Majukan 'Lidah Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Pulau Duyong yang dikenali sebagai 'Lidah Terengganu' perlu diberikan tumpuan untuk dimajukan serta diterokai sepenuhnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid berkata dengan keistimewaan yang dimiliki di Pulau Duyong itu ia mampu menjadikannya sebagai destinasi pilihan popular bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini. "Diharap kerajaan negeri dapat meneliti dan melihat kembali Pulau Duyong ini dengan keunikan serta kepelbagaian aset yang telah ada seperti menjadi tempat pembuatan replika bot serta Kota Lama Duyong. "Saya difahamkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) satu masa dahulu dengan kerjasama Taman Tamadun Islam pernah mejadikannya sebagai salah satu tempat persinggahan 'river cruise'. "Adalah menjadi harapan agar lokasi ini, juga kampung Seberang Bukit Tumbuh dan Jeti Lama Seberang Takir dapat dijadikan semula sebagai suatu destinasi persinggahan 'river cruise'," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa sesi Perbahasan Titah Diraja pada Mesyuarat Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, pihaknya kini juga sedang berusaha bagi menarik pengunjung ke Pulau Duyong itu dengan mewujudkan pelbagai aktiviti sukan air termasuk kayak. "Semua perancangan ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak, justeru amat diharpakan agar mendapat kerjasama pihak pelancongan dan juga agensi terlibat untuk memajukan Pulau Duyong ini sekali gus membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat," ujarnya.
03 Oct 23
684
ADUN Terengganu Harap PM Lunas Bayaran Petroleum
ADUN Terengganu Harap PM Lunas Bayaran Petroleum
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berharap agar Perdana Menteri dilembutkan hati untuk melunaskan baki bayaran Dana Khas Petroleum (wang ehsan) yang belum diterima kerajaan Terengganu. Katanya, beliau berdoa agar baki RM1.096 bilion dapat dilunaskan pembayarannya sebagaimana tahun-tahun terdahulu. "Berbanding tahun lepas, ini merupakan yang terendah kerana jumlah terimaan belum sampai satu per tiga daripada jumlah sebenar. "Sesuatu yang berat untuk Terengganu menguruskan negeri dalam keadaan ini, dengan harga minyak sekarang Terengganu patut dapat banyak. "Kita sedia maklum, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang yang berkata akan berlaku adil dengan hak-hak negeri dan memberi peruntukan sama kepada pembangkang, itu kata-kata beliau sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri dahulu, dan kita harap ia dikotakan," katanya.  Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Dalam pada itu, sebagai langkah ke hadapan, Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata kerajaan Terengganu akan berusaha mengurangkan kebergantungan kepada Dana Khas Petroleum. Ujarnya ia bagi memastikan perancangan dan pembangunan negeri dapat berjalan lancar pada masa depan. "Ketika ini kerajaan negeri perlu lebih berhati-hati dengan berjimat-cermat dalam menguruskan negeri.  "Apabila kita dapat jumlah yang kurang, ia memang agak membantutkan perancangan dan pembangunan, tetapi Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi perkembangan positif supaya kita tidak panik dengan perkara ini dan berdoa mudah-mudahan ia dapat diselesaikan segera. "Beberapa sektor disebut beliau untuk mendapatkan pendapatan antaranya cukai pelancongan, cukai-cukai melalui pihak berkuasa tempatan dan tanah yang tidak menjejaskan rakyat, tetapi dikenakan kepada pihak-pihak yang membuat keuntungan untuk meningkatkan sedikit pendapatan negeri. "Dr. Samsuri juga berpesan supaya kenaikan yang dilaksanakan bukan melibatkan umum iaitu rakyat," jelas ADUN Kota Putera itu ketika mengulas terimaan Dana Khas Petroleum tahun ini yang merupakan jumlah terendah diterima sejak 2018. Menurut Nurkhuzaini, pengertian yang didefinisi oleh Menteri Besar dalam pendapatan baharu ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan dan ia membawa maksud yang besar. "Ini portfolio yang agak mencabar bagi saya kerana untuk mengurangkan kebergantungan bermaksud, kita perlu mencapai sekurang-kurangnya separuh pengurangan kebergantungan. "Ia agak baru dan saya kena sinergikan. Jadi, sekarang saya sedang mengadakan beberapa sesi 'brainstorming' dengan pakar-pakar untuk kita optimumkan pendapatan kita dalam pelbagai sektor. "Hendak kata terlalu bercita-cita tidak juga, tetapi ia agak beratlah kerana asaran kita untuk 2024 ini ialah untuk meningkatkan lebih kurang RM500 juta, sekitar satu per tiga daripada nilai Dana Khas Petroleum yang patut diterima tahun ini," katanya. Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa penambahbaikan akan diwujudkan dalam portfolio Teknologi Hijau dan Ekonomi Digital disamping meneruskan pelaksanaan sedia ada sebelum ini. "Kita akan wujudkan beberapa dasar baru seiring dengan matlamat negeri dan pada awal tahun depan kita akan umumkan beberapa langkah khususnya bagi ekonomi digital dan teknologi hijau ini," ujarnya.
03 Oct 23
287
Terengganu Sedia RM4 Juta Bantu Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Berdaftar
Terengganu Sedia RM4 Juta Bantu Maahad Tahfiz, Madrasah dan Pondok Berdaftar
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM4 juta bagi bantuan per kapita sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, inisiatif tersebut bertujuan membangunkan prasarana infrastruktur pusat tahfiz yang kini kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.  "Bantuan ini juga membantu kos pengurusan dalam meringankan beban kepada pengusaha tahfiz. "Antara keberkesanan inisiatif adalah membangunkan prasarana dan infrastruktur pondok supaya lebih selesa digunakan disamping membantu pengurusan tahfiz membeli bahan bantu mengajar yang diperlukan," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Tambahnya, bantuan inisiatif itu juga membantu menambahbaik tempat-tempat riadah dan menyelesaikan bil-bil utiliti yang berkaitan pengurusan pondok," ujarnya.  
03 Oct 23
186
Darul Barakah Jadi Pilihan Utama Pemulihan Dadah
Darul Barakah Jadi Pilihan Utama Pemulihan Dadah
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Pusat Pemulihan Dadah Holistik yang dilaksanakan kerajaan negeri semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat untuk memulihkan penagih-penagih dadah di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, Perkampungan Darul Barakah buat masa ini menerima terlalu banyak permintaan dari masyarakat untuk mendapatkan rawatan bagi ahli keluarga mereka. Menurut beliau, sepanjang hampir dua tahun pembukaan pusat pemulihan yang dikenali sebagai Perkampungan Darul Barakah itu, kini dihuni oleh seramai 96 pelatih. "Ini merupakan janji manifesto kerajaan negeri dalam usaha membantu penagih dadah kembali ke pangkal jalan dan mengurangkan masalah ketagihan dalam masyarakat. "Setakat ini, kita dapat lihat impaknya membantu dalam menyelesaikan segala permasalahan bagi memenuhi agenda rawatan penagih yang menjadi usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). "Kita juga dapat merawat pelatih dengan pengajian Islam, akhlak dan kemahiran hidup," katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14, hari ini. Jelasnya, pembukaan pusat pemulihan tersebut juga sedikit sebanyak membantu keluarga dalam menyelesaikan masalah ahli terlibat dadah. Mohd Nor menambah, ia juga membuka kesedaran rakyat bahawa permasalahan dadah dapat diselesaikan dengan kerjasama dari semua pihak. "Konsep pusat ini ialah pemulihan secara berterusan, dalam erti kata ada pemulihan dapat dilakukan dalam tempoh berasaskan modul ditetapkan dan ada juga pemulihan yang dilakukan sehingga mereka mati. "Ini kerana, ada di kalangan mereka apabila kembali (ke kampung), terjebak semula dalam masalah penagihan dadah. "Namun, hasil pemulihan yang dilaksanakan, sebahagian besar pelatih-pelatih ini memberi respon dengan positif kepada usaha-usaha dilakukan," katanya yang berharap proses pengambilan pelatih dari masa ke masa dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.                
16 Mar 23
789
KTSB Jana Pendapatan Baharu Terengganu
KTSB Jana Pendapatan Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Kerajaan negeri bakal menjana pendapatan tambahan baharu bernilai puluhan juta ringgit termasuk RM6 juta setahun daripada Kuala Terengganu Support Base (KTSB). Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, KTSB telah ditubuhkan bagi mengelakkan Terengganu hanya bergantung kepada royalti petroleum. Katanya, KTSB yang diwujudkan melalui anak syarikat kerajaan negeri, Epic Berhad dijangka beroperasi pada April ini. “KTSB berfungsi sebagai satu hub pertukaran anak kapal untuk industri minyak dan gas di kawasan Kuala Terengganu. “Pihak Epic juga sedang menilai beberapa pasaran berpotensi untuk memanfaatkan sepenuhnya kegunaan KTSB sebagai balai pelepasan dan ketibaan penumpang untuk kegunaan industry minyak dan gas serta pelancongan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, hari ini. Menurut Tengku Hassan, selain itu pada 2022 Epic berjaya mendapatkan kontrak menyediakan perkhidmatan bot tunda. “Ia diserahkan kepada Syarikat Petra Energy Development di kawasan pelantar minyak Banang, daripada itu kita jangka hasil sebanyak RM6.6 juta akan diperolehi dalam setahun,” jelasnya. Tambah beliau, satu lagi anak syarikat EPIC, Epic OG Sdn Bhd sedang aktif membida projek minyak dan gas yang berpotensi bagi tahun 2023, pulangan hasil yang disasarkan adalah sebanyak RM70 juta setahun. “EPIC juga turut memberi perhatian kepada beberapa projek baharu, salah satunya ialah perkhidmatan kemudahan limbungan pelupusan kapal dan struktur pelantar minyak (onshore deconstruction facility) di Pangkalan Bekalan Kemaman. “Projek ini akan diterajui oleh salah satu anak syarikat EPIC, iaitu EPIC Marine Service Sdn. Bhd. (EPMS) dan mensasarkan pendapatan tahunan sebanyak RM15 hingga RM30 juta,” jelasnya.          
15 Mar 23
2416
RM9.46 Juta Peruntukan Bantuan Pakaian Sekolah Tahun Ini
RM9.46 Juta Peruntukan Bantuan Pakaian Sekolah Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Sebanyak RM9.46 juta diperuntukan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) untuk bantuan pakaian sekolah yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 86,000 pelajar tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan baju sekolah itu telah mula diagihkan awal Februari lalu. "Daerah pertama yang memulakan agihan adalah daerah Marang iaitu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat dan agihan terakhir ialah pada 15 Mac iaitu di DUN Permaisuri bagi daerah Setiu. "Kaedah pembahagian bermula dengan proses pengumpulan data saiz dan kemaskini data oleh pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKM) dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS). "Kemudian data tersebut disalurkan kepada YPKT untuk proses penyediaan pakaian itu dan agihan dijalankan bersama PKM serta i-MITS di tempat yang telah ditetapkan oleh ADUN masing-masing," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zuraida Md Noor (Adun Wanita) yang mengemukakan soalan berkaitan perkembangan bantuan baju sekolah yang diuruskan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga dan apakah kaedah pembahagiannya. Hanafiah berkata, mengenai permasalahan yang timbul selepas proses agihan iaitu berkaitan saiz yang tidak sesuai, ianya akan diuruskan oleh YPKT. "Proses penukaran saiz ini akan dibuat selama sebulan bermula 14 Mac sehingga 14 April depan bertempat di PKM/i-MITS masing-masing.  "Sebarang perubahan tempat penukaran boleh dibincangkan dan ditetapkan kemudian," katanya menjawab soalan tambahan Zuraida. Sementara itu, bagi menjawab pertikaian Datuk Rozi Mamat (BN-Telemong) bahawa kaedah bantuan menggunakan saiz pakaian adalah kurang sesuai kerana hanya menguntungkan pihak pembekal sahaja, Hanafiah berkata itu kaedah terbaik mengambil kira keselesaan semua pihak ketika ini. "Kalau nak bagi duit, kita tak pasti adakah ia akan digunakan untuk membeli pakaian sekolah atau sebaliknya. Kita menyambut baik sebarang cadangan atau saranan untuk menambah baik program ini pada masa akan datang," katanya.  
15 Mar 23
487