Artikel "Sidang DUN" Terkini
Yayasan Darul Iman Bakal Miliki Aset Sendiri
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Proses menaik taraf Tabung Darul Iman kepada Yayasan Darul Iman akan membolehkan tabung kebajikan untuk golongan B40 itu mempunyai pemilikan aset tersendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, setakat ini penubuhan Yayasan Darul Iman masih lagi dalam peringkat penubuhan dan ia akan melalui beberapa proses.
“Antaranya penetapan penjawatan pegawai dan kakitangan, penyelarasan dari segi kos pengurusan tahunan dan juga beberapa item yang memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada agensi serta jabatan yang berkaitan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Sulaiman Sulong (PAS-Pengkalan Berangan) mengenai status terkini penubuhan Yayasan Darul Iman pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Hanafiah berkata, selain membolehkan pemilikan aset sendiri, mengikut undang-undang sesebuah yayasan boleh membuat penawaran bagi mengalakkan penderma untuk menderma ke tabung yayasan seperti penawaran ‘return back’ dan rebat.
Tambah beliau, pengagihan dana bantuan Tabung Darul Iman tidak mempunyai wang segera, bantuan yang disalurkan buat masa sekarang tertakluk kepada tatacara kewangan kerajaan negeri, dengan tertubuhnya Yayasan Darul Iman bantuan akan dapat disalurkan dengan segera dengan adanya bantuan segera prihatin.
“Fungsi yang dijalankan oleh Tabung Darul Iman sekarang hanya tertumpu kepada dua jenis bantuan iaitu bantuan kepada rakyat yang ditimpa bencana dan musibah dan bantuan perubatan kepada pesakit kronik.
“Dengan tertubuhnya Yayasan Darul Iman, fungsinya dapat diperluaskan dengan lebih berfokus,” ujarnya bagi menjawab soalan tambahan Sulaiman mengenai rasional dan kelebihan naik taraf tabung berkenaan.
Tambah beliau, penubuhan Yayasan Darul Iman juga dapat mengurangkan karenah birokrasi tatacara kewangan, sekali gus bantuan dapat disalurkan dnegan lebih cepat kerana tidak tertakluk dengan tatacara kewangan kerajaan negeri.
15 Mar 23
692
Aktivis Kemanusiaan Dilantik Ahli Dewan Negara
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14 pada hari ini sebulat suara bersetuju melantik aktivis kemanusiaan yang juga Tokoh Maal Hijrah Terengganu 2020, Hussin Ismail sebagai Ahli Dewan Negara.
Pelantikan itu dicadangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas diumumkan Speaker DUN, Dato’ Yahaya Ali semasa persidangan berkenaan.
Ahmad Samsuri berkata, pelantikan pengasas rangkaian sekolah tahfiz, Akademi Al-Quran Amalillah dan Pengerusi Tetap Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) itu berkuat kuasa pada Rabu bagi menggantikan Nuridah Salleh yang melepaskan jawatan.
“Presiden Yayasan Amal Malaysia itu mendapat pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu selama tiga tahun (1968-1970).
“Selepas itu beliau melanjutkan persekolahan ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Alam Shah, Cheras sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
“Beliau memulakan kerjaya awal sebagai guru sains di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, Hulu Terengganu, kemudian meneruskan kerjayanya dalam bidang korporat,” jelas Ahmad Samsuri.
15 Mar 23
664
DUN Terengganu Lulus Belanjawan 2023
KUALA TERENGGANU, 1 Disember –Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Belanjawan Negeri 2023 dengan tema ‘Memacu Terengganu Berdaya Tahan’ sebagai Enakmen Perbekalan 2023.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan penghargaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengambil bahagian berbahas melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.991 bilion.
“Segala pandangan, cadangan baharu dan cadangan penambahbaikan, malah kritikan yang baik untuk rakyat dan negeri akan dipertimbangkan dengan hati yang terbuka.
“Apa yang pasti, pendekatan meneliti keutamaan iaitu menentukan mana yang perlu didahulukan akan didahulukan, dan mana yang boleh dikemudiankan ajan dikemudiankan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (Bajet) 2023 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Kerajaan turut menyatakan bahawa sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pembangunan dan RM30 juta untuk Perbelanjaan Bekalan Air.
Enakmen Perbekalan 2023 mendapat sokongan undian dengan majoriti terbesar apabila semua ADUN dari Barisan Nasional (BN) bertindak sebagai berkecuali ketika proses undian.
Sidang DUN ditangguhkan Yang Dipertua Dewan DUN Terengganu, Dato’ Yahaya Ali sehingga dimaklumkan kemudian.
01 Dec 22
651
Salur Maklumat Kesalahan Maksiat Kepada Pihak Berkuasa
KUALA TERENGGANU, 1 Disember - Orang ramai digesa menyalurkan maklumat kesalahan jenayah syariah kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, langkah itu sangat digalakkan dan merupakan jalan terbaik untuk membendung kemungkaran.
"Mencegah kemungkaran merupakan suatu yang sukar oleh kerana itu menjadi kewajipan semua pihak untuk saling peka dan menyampaikan maklumat kepada penguatkuasa syariah yang telah dilantik.
"Di peringkat kampung, imam boleh mainkan peranan untuk melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan syariah supaya boleh menjaga kampung masing-masing semua kena mainkan peranan untuk saling tegur menegur.
"Jangan hanya ambil gambar kemudian menularkan di media tanpa sebarang maklumat lanjut, ini boleh menimbulkan suasana tidak harmoni," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pengulunggan, Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (BAJET), di Wisma Darul Iman, semalam.
Tambah Satiful, pihak kerajaan negeri bercadang untuk meluaskan Kempen Pembudayaan Syariah yang telah dimulakan di Seberang Takir ke setiap daerah.
"Bagi memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa pelaksanaan sayariah ini merupakan satu ibadah dan bukan sebagai hukuman ataupun denda semata-mata agar menjamin kesejahteraan hidup setiap muslim di Terengganu ini," katanya.
01 Dec 22
299
Pelajar Tercicir Perlu Dibantu
KUALA TERENGGANU, 30 November - Pelajar yang keciciran dalam bidang pendidikan perlu diberi perhatian dan dibantu dengan bersungguh-sungguh.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, berdasarkan dapatan data dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, faktor utama berlakunya keciciran ini adalah disebabkan isu kemiskinan keluarga.
"Pelajar mencari pekerjaan untuk menyara diri sendiri dan keluarga, selain murid hilang minat untuk belajar.
"Ada juga dibuang sekolah disebabkan masalah disiplin serta ketidakhadiran ke sekolah dalam tempoh yang panjang.
"Secara peribadi, sejak kebelakangan ini saya juga kerap menerima aduan tentang anak-anak pelajar kita yang tercicir dalam pelajaran dan membuat keputusan untuk berhenti sekolah di usia yang sangat muda," katanya.
Zuraida mengulas perkara tersebut dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. semalam.
Beliau berharap agar pelajar yang tercicir ini dibantu sehingga dapat menyambung kembali pelajarannya yang tergendala, bukan sekadar selesai hanya dengan membuat laporan semata-mata.
Antara lainnya, pemantauan yang berterusan perlu dilakukan kepada para pelajar tersebut.
"Sentiasa bertanya khabar dan mengetahui keadaan semasanya, kita tidak mahu segala usaha ini berakhir dengan sia-sia.
"Permasalahan ini tidak seharusnya dibebankan kepada guru dan pihak sekolah semata-mata.
"Saya cukup yakin, dengan kerjasama yang erat antara pihak JPKK, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), NGO-NGO Kebajikan dan masyarakat setempat insyaAllah mampu menyelesaikan isu ini dengan baik," akhirinya.
30 Nov 22
294
'Terima Kasih Kerajaan Negeri Kerana Cakna Wanita'
KUALA TERENGGANU, 30 November - Wakil wanita Terengganu merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu kerana telah menunjukkan kecaknaan terhadap wanita Terengganu melalui Belanjawan Terengganu 2023.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor mewakili seluruh wanita Terengganu menyatakan kesyukuran dan penghargaan atas pelbagai isentif dan peruntukkan khusus buat kaum wanita.
"Pihak kerajaan negeri menunjukkan kecaknaan terhadap kesihatan wanita dengan pemberian baucer pakej berpantang dengan nilaian RM200 kepada 5,000 orang wanita yang layak.
"Selain menyediakan peruntukan RM300 ribu bagi menjayakan program pemeriksaan mammogram dan pap smear kepada wanita Terengganu yang berumur 35 tahun ke atas," ujarnya
Beliau turut menyentuh mengenai kegagalan pesakit wanita membuat rawatan awal sehingga akhirnya penyakit tersebut berada di tahap serius.
Zuraida berpendapat bahawa antara faktor yang menyumbang kepada perkara tersebut adalah, wanita tidak berani untuk mendapatkan rawatan awal di hospital sebaliknya lebih memilih rawatan alternatif seperti bomoh, dukun dan sebagainya.
"Hal ini menyukarkan proses rawatan dan tidak kurang juga akhirnya menelan belanja rawatan yang lebih besar. Paling tragis, ianya berakhir dengan kematian.
"Suka untuk saya tegaskan bahawa wanita perlu bersuara dan mengambil peluang melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala agar risiko masalah kesihatan dapat dikurangkan, " ulasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Belanjawan Terengganu 2023 di U2, Dewan Undangan Negeri Terengganu, semalam.
Zuraida berharap agar para suami, wali, ahli keluarga, pihak majikan dan komuniti mengambil tanggungjawab untuk memenuhi dan menyokong keperluan serta penjagaan kesihatan wanita sepanjang hayat.
30 Nov 22
310
Penguatkuasaan Undang-undang Mampu Jayakan GEG
KUALA TERENGGANU, 30 November - Generasi Baru Bebas Asap Rokok atau Generational End Game (GEG) merujuk kepada penurunan peratusan merokok dalam kalangan penduduk sesebuah negara sehingga mencapai kurang daripada lima peratus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor menggesa agar penguatkuasaan yang tegas dan berterusan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan hasrat tersebut tercapai.
"Saya pernah menyuarakan isu ini pada sidang yang lepas, dan saya telah diberi penjelasan bahawa PBT tidak pernah meluluskan sebarang lesen kepada mana-mana perniagaan berkaitan rokok elektronik ini.
"Walaupun begitu, pada hari ini, premis yang menjual rokok elektronik dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan," ujarnya.
Zuraida berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Ucapan Perbahasan Belanjawan Terengganu 2023 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Beliau juga menyatakan kebimbangan apabila semakin ramai anak muda yang terpengaruh dengan tabiat merokok, termasuklah rokok elektronik ataupun vape.
"Saya juga menerima aduan daripada ibu bapa dan melihat dengan mata saya sendiri terdapat remaja berpakaian sekolah yang tanpa segan silu menghisap vape di tempat terbuka.
"Tidak hairanlah, rokok elektronik sudah menjadi trend anak muda kita di Terengganu kerana sangat mudah didapati dan kawalan yang dibuat dilihat longgar di mata saya," ulasnya lagi.
Zuraida percaya bahawa GEG boleh dicapai sekiranya industri rokok elektronik dicabar dan dibendung.
30 Nov 22
137
Rugi Hampir RM50 Juta Kompleks MBKT Lambat Siap
KUALA TERENGGANU, 30 November – Kerajaan negeri terpaksa menanggung kos tambahan bagi pembinaan Bangunan Kompleks Pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini yang lewat enam tahun untuk disiapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak RM49.6 juta akibat kelewatan menyiapkan projek itu.
Katanya, bangunan Menara MBKT yang bernilai RM141.49 juta mula dibina pada tahun 2013 dan sepatutnya siap pada tahun 2016.
“Kos asal projek itu adalah RM141.49 juta tetapi berlaku pertambahan peruntukan sebanyak RM49.6 juta menyebabkan peruntukan keseluruhan terpaksa dikeluarkan adalah sebanyak RM198.86 juta.
“Projek ini tertangguh lama atas beberapa faktor iaitu seperti perubahan reka bentuk, pelan susur atur dalaman serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hilmi Harun (PAS-Manir) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Kata Dr Alias, tarikh siap projek adalah pada 4 Julai lalu dan pihak MBKT akan dapat menduduki bangunan tersebut sejurus selepas mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang dikeluarkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia.
Beliau berkata, perpindahan secara berperingkat mengikut jabatan sedang dilaksanakan.
“Kita jangka MBKT dapat beroperasi sepenuhnya di menara baharu pada awal tahun hadapan,” katanya.
30 Nov 22
910
Kerajaan Komited Perkasa Pertubuhan Belia
KUALA TERENGGANU, 30 November – Kerajaan Negeri menyatakan komitmen dalam memperkasa pertubuhan atau organisasi belia Terengganu di semua peringkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia dapat dibuktikan melalui peruntukan bantuan pengurusan konsisten yang disdiakan kepada pertubuhan belia.
“Pada tahun ini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada pertubuhan belia selaim peruntukan bagi program-program sampingan lain seperti bengkel dan kursus pemantapan organisasi.
“Kementerian Belia dan Sukan Malaysia melalui Majlis Belia Malaysia juga sedang menyalurkan dana pentadbiran kepada Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM327 ribu,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui jawapan bertulis kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga turut bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dengan mengadakan program seperti Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan Kem Anak Muda (KAMU).
Terdahulu bagi Belanjawan 2023, kerajaan turut menambahkan peruntukan sehingga RM1.38 juta bagi bantuan badan belia, Sambutan Hari Belia dan Anugerah Belia.
30 Nov 22
221
Penternak Akuakultur Terengganu Paling Untung
KUALA TERENGGANU, 30 November- Penternak akuakultur di Terengganu boleh dikatakan paling beruntung berbanding penternak akuakultur negeri lain kerana menerima pelbagai bantuan ketika ditimpa musibah banjir awal tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, selain mendapat bantuan tunai daripada Kerajaan Negeri, mereka turut menerima bantuan peralatan serta input daripada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, dalam masa yang sama Kerajaan Negeri turut membantu penternak dalam sektor tersebut untuk membuat penyelarasan dan penjadualan semula pinjaman dengan agensi pembiaya seperti Skim Bantuan Modal Tani (SBMT), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Agrobank.
“Kita telah salurkan bantuan tunai melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu sebanyak RM221,000 sebagai ganti rugi kepada penternak akuakultur ini.
“Selain itu, turut disalurkan bantuan dibawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan daripada Kerajaan Persekutuan dalam bentuk peralatan dan input bernilai RM2.079 juta.
“Setiap penternak dapat bantuan bernilai antara RM5,000 hingga RM10,000 dan penyerahan telah dibuat di Kampung Getang Hulu Terengganu pada 2 November lalu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada ADUN Telemong, Dato’ Rozi Mamat dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.
Dr Azman berkata, kerugian sektor pertanian Terengganu dalam bencana angin kuat, hujan lebat yang berterusan dan banjir yang bermula Disember 2021 sehingga Februari 2022 adalah sebanyak RM12 juta dan meninggalkan kesan mendalam kepada sektor sekuriti makanan negeri.
“Sektor perikanan akuakultur mencatatkan kerugian terbesar RM8.56 juta yang melibatkan seramai 175 pengusaha dimana 104 dari jumlah tersebut adalah pemilik ternakan sangkar manakala bakinya penternak kolam.
“Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut adalah daerah paling terjejas,” ujarnya.
30 Nov 22
597