Artikel "Politik" Terkini
Pelan Pentadbiran Kerajaan Penggal Depan Siap Dirangka
HULU LANGAT, 14 Mac – Kerajaan negeri pentadbiran PAS telah melengkapkan pelan pemerintahan bagi penggal seterusnya dan akan dibentangkan pada satu tempoh akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr. Alias Razak perancangan itu jelas membuktikan bahawa PAS telah bersedia mengekalkan kerajaan pada penggal seterusnya.
“Kita dapati bahawa respon rakyat sangat baik sepanjang pentadbiran hari ini melalui tadbir urus yang telus.
“Begitu juga keadilan dalam kerajaan mengagihkan bantuan kepada golongan sasar tanpa sikap pilih kasih mengikut warna parti politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga Perantau Terengganu peringkat Lembah Klang di Kingfisher Resort, di sini baru-baru ini.
Alias Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus turut mengharapkan rakyat di perantauan menyumbang idea terhadap pentadbiran kerajaan.
“Kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima subang saran serta buah fikiran tidak mengira latar belakang, seiring dengan Pelan Induk Terengganu Sekjahtera 2030 (PITAS2030) yang akan kita realisasikan,” tambahnya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. ADUN Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.
Program tersebut berjaya mengumpulkan seramai 300 perantau di Lembah Klang bagi mengeratkan hubungan dan sesi penerangan daripada pihak kerajaan negeri.
14 Mar 23
149
Kerajaan Yakin Pertahan Kedudukan Selepas PRN
HULU LANGAT, 13 Mac - Kerajaan negeri yakin pemerintahan negeri Terengganu sedia ada akan dapat dipertahankan selepas Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung pada akhir Ogos nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata tatacara pentadbiran kali ini berupaya menguatkan gelombang sokongan terhadap kerajaan PAS.
“Kita sangat yakin bahawa sentimen pentadbiran PAS memerintah tidak lebih sepenggal bakal tamat.
“Orang ramai termasuk bukan rakyat negeri sendiri ‘suka’ dengan pentadbiran kerajaan negeri hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Hari Keluarga Perantau Lembah Klang di kem Kingfisher, Hulu Langat di sini semalam.
Beliau turut yakin bahawa rakyat pada hari ini mampu mendapatkan maklumat tanpa batasan sehingga pihak tertentu tidak mampu menyekat kebenaran daripada ditutup.
13 Mar 23
973
Kalau Kerajaan Jatuh Lagi, Jangan Salahkan Kami - Abdul Hadi
MARANG, 28 Februari - Pemimpin kerajaan hari ini diingatkan agar tidak menyalahkan pihak pembangkang jika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tumbang sekali lagi sebaliknya berpunca daripada kerajaan sendiri.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata jika kerajaan sekarang jatuh sekali lagi, pemimpin mahupun penyokong PH tidak boleh mengatakan dek kerana 'tebuk atap' tetapi hakikatnya kerana berlaku 'atap bocor'.
"Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah", ucapnya ketika sesi Perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, semalam.
Tambah beliau lagi, kalau partinya yang kecil bergabung dalam keadaan yang rapuh, laksana rumah berdinding kaca jangan mudah-mudahan melontar batu terhadap pihak lain bagi menutup kelemahannya yang ketara.
"Ini kerana dindingnya menampakkan segala yang berlaku di dalamnya dan mudah pecah berkecai.
"Kalau tanya kaji cuaca,
Kilat petir datang membelah,
Kalau rumah berdinding kaca,
Jangan kacau orang sebelah.
"Kayu tengkawan dibuat rumah,
Rumah dipasang pagar berduri,
Kalau lawan di bawa ke mahkamah,
Kalau mengampu menjadi menteri.
Demikian petikan ucapan beliau yang disampaikan dalam versi pantun kiasan.
01 Mar 23
1108
Bajet Dibentang Anwar Tiada Faktor 'Wow' Untuk Anak Muda
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Belanjawan 2023 bertemakan 'Membangun Malaysia Madani' membabitkan peruntukan besar RM388.1 bilion tidak memiliki faktor 'wow' untuk anak muda Terengganu.
Timbalan Ketua Penyelidik Menteri Besar Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, bajet yang menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad disifatkan tiada mesra belia.
"KIta memandang bajet tersebut tidak ada nilai 'wow' walaupun kita tahu ia merupakan antara bajet yang paling besar diumumkan tetapi peruntukan untuk rakyat Terengganu semakin kurang tidak sebagaimana yang diharapkan, diantaranya usaha untuk membantu rakyat tiba-tiba antara perkara yang diumumkan adalah pemberian lesen percuma.
"Perkara ini telah lama dilaksanakan di negeri, dalam harapan untuk kita melihat bantuan yang lebih baik diberikan di bawah kerajaan sekarang termasuk berkait berkenaan royalti, Terengganu sangat terkesan walaupun selama ini menerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan tetapi ia lebih besar daripada apa yang ingin dilakukan kerajaan persekutuan hari ini.
"Tindakan mengecilkan had sempadan maritim negeri hanya tiga batu nautika sahaja, lebih daripada itu tidak akan diberikan (royalti) ini merupakan suatu perkara yang sangat mengecewakan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Program Kayuhan Basikal 'Family Fun Ride' di Dataran Awam Batu Buruk, semalam.
Tambah beliau, antara perkara yang turut mengundang kekecewaan rakyat, adalah permintaan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga tidak dipenuhi.
"Ini menjadi harapan rakyat, kerana antara yang lantang bersuara dahulu adalah Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri. Bagi pandangan saya dia (Anwar) ke belakang, tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya anak muda jadi kita sifatkan 'sangat mendung'," ujarnya.
26 Feb 23
244
Isu Pedang Kayu Sengaja Ditimbulkan Pencetus Islamofobia
MARANG, 25 Februari - Polemik penggunaan replika senjata dan kostum ala tentera Islam ketika perarakan program tahunan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 baru-baru ini disifatkan sengaja ditimbulkan pihak yang jahil dan terpengaruh dengan Islamofobia.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang, berkata jika ada orang Islam yang merasa risau melihat replika kayu atau plastik yang tidak boleh membunuh berada di tangan orang Islam, keadaan itu menunjukkan mereka itu sangat jahil murakkab.
"Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini. Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.
"Orang Islam yang membawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tidak apa pula", katanya.
Beliau turut mendakwa hari ini, kita menyaksikan sikap ‘double standard’ negara penjajah terhadap negara Islam dan penganut Islam di serata dunia, dengan mengehadkan kemampuan umat Islam dari segi teknologi persenjataan. Mereka lebih suka umat Islam bertari-menari dan bersukan yang berunsurkan maksiat.
Katanya umat Islam terleka daripada menguasai seni mempertahankan diri dan sukan yang memahirkan pertahanan diri dan kesihatan jasad dan roh seperti memanah, menggunakan senjata, seni mempertahankan diri dan lain-lain.
"Apa yang dilakukan oleh penjajah adalah semata-mata supaya umat Islam menjadi kaum yang lemah.
"Terdapat dalam kalangan umat Islam yang buta al-Quran, penyakit yang lebih berbahaya daripada buta huruf. Golongan itu menjadi bodoh, kerana terpengaruh dengan agenda penjajah yang sebenarnya merupakan musuh Islam dan bersama menyebarkan kefahaman yang salah terhadap umat Islam.
"Hakikatnya, umat Islam itulah golongan yang paling beradab dalam menggunakan senjata, kerana hukum syariat Islam telah menentukan sempadan dosa dan pahala dalam semua perkara.
"Hal ini berbeza sama sekali dengan agama dan ideologi ciptaan manusia yang sangat lemah, sehingga menyebabkan berlaku kadar jenayah yang tidak terkawal sesama mereka, termasuklah sanggup membunuh diri sendiri", tambahnya lagi dalam sebuah siri artikel Minda Presiden di laman Facebook rasminya.
Penggunaan barangan replika pedang yang hanya diperbuatkan daripada kayu 'playwood' dan kostum pakaian tentera Islam berkait perarakan pada program HIMPIT 2023 tempoh hari tular di laman media sosial sama ada Facebook, TikTok dan sebagainya sehingga menjadi trending dan 'Popular Now'.
Rata-rata warga maya menyokong sepenuhnya perarakan di himpunan tersebut yang menghidupkan semangat roh perjuangan dan syiar Islam.
25 Feb 23
250
'Pencetus Provokasi Himpit Yang Gusarkan Rakyat'
KUALA NERUS, 20 Februari - Pencetus provokasi program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) adalah individu yang bertanggungjawab menimbulkan kegusaran kalangan rakyat, ujar Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
Hanafiah Mat berkata segelintir pihak itu memiliki agenda politik dengan cuba mewajahkan perarakan tersebut sebagai 'ganas'.
Katanya, ia merupakan usaha untuk memburuk serta menjatuhkan imej kerajaan Terengganu yang diketuai PAS.
"Itu hanya provokasi politik, saya rasa adalah lebih baik hentikan perkara yang tidak berguna seumpama ini, lebih baik beri tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, lebih sepuluh tahun sebelum ini tidak pernah lagi dijadikan isu, ini kali pertama.
"Ia dicetuskan oleh tangan-tangan ghaib yang tidak beruas hati dan memiliki agenda politik untuk menjatuhkan PAS sedangkan penglibatan parti ini sudah melebihi 60 tahun tidak pernah menyusahkan serta menakutkan rakyat, sebaliknya semakin diterima dan disayangi, buktinya 'gelombang hijau' telah menjelajah semua negeri yang ada dalam Malaysia," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas menyempurnakan Sambutan 'Terengganu Hijab Day' 2023 Bersama Ustaz Azhar Idrus, di Dewan Perdana, Kompleks Pentadbiran Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini.
Menurut Hanafiah, pihak kerajaan negeri membuka pintu seluas-luasnya kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan secara lebih terperinci.
"Setiap kali penganjuran program ini kita dah maklumkan kepada polis, dan dah dapat permit sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Terengganu, bahawa telah memperolehi maklumat kita mempersilakan siasaran, saya menafikan terselit agenda untuk melakukan sebarang keganasan.
"Kita tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan kerana kecil sangat tidak pada dengan kes, kita tidak ekstrim apa yang dibawa dalam perarakan pada program tersebut hanya replika semata-mata.
"PAS merupakan parti yang telah mewarnai politik tanah air, setiap kali kalah kita teruskan semua, perjuangan kita tidak sebagaimamana parti lain," ujarnya.
Mengulas mengenai penularan program tersebut, beliau berkata ia menjadikan PAS semakin dikenali.
"Tidak memberi kesan dan memusnahkan imej, sebaliknya semakin menaikkan imej, alhamdullilah seluruh agensei media sama ada di TV, akhbar dan sebagainya membuat liputan tentang perkara ini, kalau tidak bila lagi program yang dianjurkan pemuda PAS nak masuk dalam TV.
"Perkara ini juga tidak menjejaskan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka sekitar Jun atau Julai," jelasnya.
20 Feb 23
839
'Hanya Perarakan Pakaian, Replika Senjata dan Warisan Islam' - Polis
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Polis Terengganu mengesahkan gambar yang tular di media sosial yang disyaki anjuran sebuah parti politik adalah acara perarakan pakaian, replika senjata dan warisan Islam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ia berlaku pada 17 Februari di sebuah resort di daerah Setiu.
"Perarakan tersebut merupakan salah satu daripada acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.
"Pertandingan itu melibatkan semua daerah, namun hanya satu daerah sahaja yang mengenakan pakaian dan replika senjata Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak polis mengetahui tentang penganjuran program terbabit tidak mendapat gambaran keseluruham aktiviti.
"Aktiviti tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran di kalangan sesetengah masyarakat.
"Jadi pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti apa-apa kesalahan yang dilakukan dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Terdahulu, bekas calon PH bagi Parlimen Kuala Krai pada PRU15, Sham Ghaz, mahu pihak polis mengambil tindakan terhadap pemuda PAS terlibat kerana dipercayai membawa senjata merbahaya.
"Nampak seperti ada unsur-unsur menggugat ketenteraman awam," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, pemakaian ala perang oleh pasukan yang menyertai perarakan dengan membawa replika senjata dan perlindungan diri sama seperti pertandingan pakaian beragam dianjurkan di seluruh negara.
"Ada pasukan menyertai perarakan membawa tema sukan, pelantar minyak, Wisma Darul Iman dan menunggang kuda pada penganjuran Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang diadakan Jumaat lalu.
"Tiada istilah keganasan dan provokasi, sebaliknya perarakan mengambarkan kreativiti peserta yang mempamerkan idea masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
19 Feb 23
13799
Tidak Wajar Ugut, Halang 'TikTokers' Bersuara
MARANG, 15 Februari - Pihak tertentu tidak sewajarnya menyalahguna kuasa dengan mengugut dan menghalang pengguna media sosial seperti TikTok daripada bersuara mengkritik kerajaan secara berfakta.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tekanan politik kerana tidak berpihak kepada kerajaan sangat bercanggah dengan kebebasan bersuara yang sering dilaungkan dalam negara demokrasi.
Katanya, adalah tidak menjadi masalah jika kritikan yang diberikan bersifat jujur dan berfakta serta tidak melampau.
"Tidak ada apa-apa isu sebenarnya di kalangan 'TikTokers' ini, sekiranya ada tindakan perlu diambil mengikut saluran yang sepatutnya bukan dengan melakukan ugutan kepada mereka dan keluarga mereka.
"Mengugut, menghalang dan sebagainya itu merupakan cara lama pada tahun 70-an dahulu, ia tidak patut diamalkan pada zaman langit terbuka seperti sekarang ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan penyampaian baucer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di Dewan Komuniti Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan beliau tidak faham dengan sikap pihak ahli-ahli politik pemerintah yang cuba memberikan tekanan kepada pengguna medium berkenaan.
"Saya ada mengikuti beberapa 'TikTokers' yang menerima ugutan, 'harassment' dan sebagainya, sedangkan apa yang mereka paparkan adalah secara berfakta sekiranya ada perkara-perkara dianggap mengancam keselamatan dan berbaur fitnah, kita ada undang-undang di peringkat negara.
"Jadi kenapa perlu buat 'harassment' dan 'body shaming' kepada 'TikTokers' ini. Saya menyeru kepada semua anggota lapisan masyarakat terutamanya pengguna TikTok, beranilah kerana benar dan itulah peranan mereka untuk membuat teguran dalam sesebuah negara dan negeri," ujarnya lagi.
15 Feb 23
427
Kerajaan Perpaduan Tipu Rakyat, Bukan Madani
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Pakatan Harapan (PH) telah menipu rakyat serta seluruh dunia dengan menubuhkan 'Kerajaan Perpaduan' serta bukan kerajaan 'madani' sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengikut istilah sains politik kerajaan perpaduan yang sebenar tiada pembangkang atau dalam jumlah yang sedikit.
Menurut beliau, PH sebenarnya memimpin kerajaan campuran dengan ahli Parlimen mereka didominasi oleh bukan Islam seramai 50 orang dan 31 daripada kalangan orang Islam serta tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti bagi mendominasi penduduk negara ini sebagaimana yang terkandung dalam hadis.
"Selain itu, kerajaan campuran ini bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan opurtunis.
"Malah mereka disertai oleh kalangan yang dipertikai integritinya seperti bekas banduan, kluster mahkamah, kronisme dan nepotisme yang menjadi gejala dalam kerajaannya.
"Betapa mereka adalah paling jauh daripada ciri-ciri 'madani' yang mampu mencipta kemajuan yang positif dan jauh daripada konsep al-din yang wajib menjadi panduan," ujarnya melalui Bicara Media Presiden yang dimuat naik di facebooknya semalam.
Presiden PAS itu turut berkata, kepimpinan negara yang dilantik menerajui negara adalah kalangan mereka yang hanya menang tipis dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang lalu dengan mendapat sokongan bukan muslim.
"Bukannya sokongan kaum muslim yang mendominasi penduduk negara. Calon pemimpinnya berpindah randah tempat bertanding sehingga terpaksa bergantung kepada sokongan bukan Islam yang tidak mendominasi keseluruhan penduduk.
"Makin hari, makin terdedah perkara-perkara yang melibatkan soal salah laku, sehingga beberapa orang pemimpin dalam komponennya sendiri membuat teguran secara terbuka kepada media melalui lisan dan tulisan, menyentuh prinsip dan integriti yang menggoncangkan kedudukan mereka.
"Keadaannya tidak mampu ditutup dengan alasan kenyataan dan tindakan menyerang parti lawan dengan tujuan menutup kelemahan mereka," ujarnya lagi.
14 Feb 23
654
Mahkamah Tolak Petisyen BN, Sahkan Kemenangan PAS di Kemaman
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu di sini, hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Che Alias Abd Hamid daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menolak petisyen yang difailkan bagi calon BN, Dato’ Seri Ahmad Said dan memerintahkan pihak pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil membayar kos perundangan RM30,000 kepada Che Alias selaku responden.
Setiausaha Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi PAS Pusat, Ahmad Lutfi Awang berkata, hakim bersetuju fakta-fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah piliharaya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.
"Ini kerana daripada tujuh program rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Bantuan i-Belia, i-Siswa dan Sumbangan kepada OKU dan Asnaf tidak mengandungi butiran rasuah atau sogokan.
"Mahkamah memutuskan tiada butiran berkenaan ejen responden, tiada maklumat penerima, tiada fakta yang menunjukkan penerima adalah juga pengundi berdaftar, tiada butiran ucapan YB Exco yang boleh dianggap menyumbang kepada perlakuan rasuah atau sogokan,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Lutfi, menurut Mahkamah, memandangkan dakwaan sogokan atau rasuah adalah bersifat ‘quasi-criminal’ (separa jenayah), maka adalah penting bagi Pempetisyen memplidkan butiran fakta yang lengkap, terperinci dan sempurna agar responden diberikan keadilan yang seluas-luasnya.
“Kecacatan petisyen pempetisyen dalam membekalkan fakta-fakta berkenaan, tidak boleh dikompromikan dan memastikan keadilan dalam perbicaraan. Justeru Petisyen tidak wajar dibenarkan melalui proses perbicaraan dalam keadaan Pempetisyen sendiri samar dengan dakwaan sogokon atau rasuah pilihan raya.
“Atas asas itu mahkamah memutuskan bahawa petisyen ini adalah cacat, defektif dan tidak sah.
“Sehubungan dengan itu Mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi mengistiharkan bahawa pemilihan Responden selaku Ahli Parlimen bagi P.040 Kemaman adalah sah,” kata Ahmad Lutfi.
Walau bagaimanapun, pempetisyen mempunyai peluang dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan ini untuk merayu terus ke Mahkamah Persekutuan.
Che Alias Abd Hamid selaku responden diwakili peguam Saifuddin Othman, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd Nasir Embong.
Untuk rekod, pada PRU15 lalu, Che Alias yang bertanding atas tiket PAS, menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Che Alias mendapat undi sebanyak 65,714 menewaskan Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535, dua lagi calon yang bertanding di Parlimen berkenaan, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi.
12 Feb 23
6536