lightning-solid
Berita :

Artikel "Politik" Terkini

Gelombang Rakyat Pilih PN Berterusan
Gelombang Rakyat Pilih PN Berterusan
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Gelombang rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dihentikan serta dihalang kerana pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh rakyat melihat kewibawaan parti itu sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri walaupun berhadapan kekangan kewangan. "Saya lihat prestasi yang dicapai oleh kerajaan (tiga) negeri ini apabila kita (PAS) perintah sangat menarik walaupun dalam keadaan berhadapan masalah kewangan yang dinafikan. "Kita pernah mengalami bertahun-tahun masalah ini, apa yang penting rakyat memahami masalah ini (kerana itu) kita melihat gelombang rakyat itu berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dengan menolak parti lain dan menyokong kita (PN),"ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang medianya selepas menghadiri Terengganu internasional Summit (TIS) 2023, di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Abdul Hadi berpandangan selain 'gelombang hijau' yang berlaku di tiga buah negeri diperintah PAS, akan turut berlaku di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. "Gelombang ini masih ada (berlaku) sehingga hari ini khususnya dalam kalangan pengundi-pengundi muda," katanya.  
01 Jun 23
236
PRN : PAS Pertaruh Calon Terbaik, 'Fresh'
PRN : PAS Pertaruh Calon Terbaik, 'Fresh'
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - PAS dan Perikatan Nasional akan meletakkan calon terbaik dan 'fresh' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bagi memastikan kemenangan maksima dapat dicapai di enam negeri yang akan ditandingi. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melihat kepada 'mood rakyat' bukan sahaja Terengganu, Kedah dan Kelantan akan mengekalkan kemenangan, bahkan kejutan dijangka berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. "Saya yakin melihat kepada 'mood' di bawah terutama kalangan rakyat pada waktu ini menunjukkan suasana agak positif kepada PAS dan PN. "Kerana itu saya percaya di Terengganu, Kelantan dan Kedah kita akan mempertahankan serta mencapai kemenangan lebih baik (manakala) untuk tiga negeri lagi kita akan melakukan kejutan, insya-Allah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini, baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya, pada 23 Mei nanti akan berlaku perbincangan senarai agihan kerusi tidak lagi ditentukan calon-calon. "Akan dibawa kepada Majlis Presiden mungkin dalam seminggu atau dua minggu selepas pada itu barulah kita sahkan kerusi dan serahkan kepada parti masing-masing untuk menentukan calon yang paling sesuai untuk menang. "Semua senarai yang akan ditentukan nanti semua nama itu kita akan hantar (untuk) mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa bagi melakukan tapisan," ujarnya. Mengenai calon wanita yang akan diketengahkan, Ahmad Samsuri berkata perkara tersebut sebelum ini telah dibawa oleh Dewan Muslimat ke Muktamar Tahunan PAS agar 50 peratus merupakan calon wanita. "Walaupun pernah dibawa ia tidak menjadi satu keputusan, yang paling penting kita tengok kesesuaian di tempat-tempat berkenaan. "Paling penting masing-masing boleh memberikan sumbangan Dan menyumbang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," ujarnya. Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyatakan akan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selepas minggu ketiga bulan Jun bagi mendapat perkenan membubarkan DUN.  
22 May 23
479
Terengganu Lancar 10 Manifesto Depani PRN
Terengganu Lancar 10 Manifesto Depani PRN
MARANG, 9 Mei - Pelancaran 10 manifesto PAS Terengganu secara berperingkat merupakan kesinambungan daripada kejayaan yang dicapai dalam pelaksanaan 20 tawaran semasa. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedang menyusun langkah untuk memastikan setiap tawaran itu sampai ke akar umbi. “Bermula sekarang hingga pilihan raya negeri nanti usaha itu digarap supaya mesej itu diterima rakyat,” katanya. Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Datuk Husain Awang sudah mengumumkan dua daripada 10 janji yang ditawarkan dalam manifesto negeri itu jika menang dan mengekalkan pentadbiran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Menurut Husain, lapan lagi janji dalam manifesto itu akan diumumkan secara berperingkat kepada rakyat Terengganu. Katanya, dua manifesto awal ditawarkan PAS adalah rakyat Terengganu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan layak membuat pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah. “Kita akan sediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal secara Qardul Hassan untuk kerjaya maksimum RM4,000 dan khairat kematian RM500 untuk setiap kematian. “Setakat ini, saya boleh maklumkan dua janji sahaja, manakala lapan lagi akan diumumkan pada Program Himpunan Teguh Pertahan (HTP) akan datang,” tambah beliau.
09 May 23
1118
‘Jangan Gundah Gulana Dengan Angka 126’
‘Jangan Gundah Gulana Dengan Angka 126’
MARANG, 9 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan semua pihak agar tidak gundah gulana dengan angka 126 yang didakwa boleh meruntuhkan kerajaan Persekutuan sedia ada. Naib Presiden PAS itu berkata, beliau sendiri tidak mengetahui hujung pangkal angka tersebut sehingga boleh menimbulkan keresahan pihak tertentu. “Saya tidak tahu daripada mana datang nombor itu jadi tak saya pun tak boleh komen lebih sebab tak tahu hujung pangkal. “Tapi pada saya ini adalah satu perkara biasa, sejak 10-15 tahun dulu kita dah dengar perkara seperti ini, kejadian 16 September, mempunyai jumlah kerusi yang cukup dan pelbagai lagi dakwaan. “Jadi tak kan lah bila kita dengar perkara serupa pada waktu ini kita gundah gulana dan sedih,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Beberapa hari lalu tular angka 126 yang dibayangkan sebagai akuan bersumpah (SD) 126 ahli parlimen untuk menyokong Perdana Menteri baharu. Ia mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan dan penyokongnya yang rata-ratanya risau jika benar. Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan tiada sebarang usaha digerakkan Perikatan Nasional (PN) bagi mengumpul SD Ahli Parlimen untuk menukar Kerajaan Perpaduan. Beliau berkata, tumpuan dan istiqamah PN adalah menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.
09 May 23
1598
PAS Mahu Buat Kejutan Penyertaan Nama-Nama Besar
PAS Mahu Buat Kejutan Penyertaan Nama-Nama Besar
MARANG, 9 Mei - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu membuat kejutan penyertaan nama-nama besar ke dalam parti itu di seluruh negara. Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedang merangka strategi sebelum mengisytiharkan kemasukan individu-individu terbabit. “(Kemasukan nama-nama besar) insya-Allah ada, kita akan menyusun gelombang ini untuk seluruh negeri. “Nama individu itu tak boleh diumumkan lagi, nanti tak ‘supsrise’, benda ni kena ada kejutan,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Mengulas mengenai agihan kerusi antara komponen Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri memaklumkan ia belum selesai sepenuhnya sekali gus menafikan Bersatu Terengganu hanya diperuntukkan empat kerusi. “Libat urus antara negeri-negeri telah dilakukan, tinggal lagi perbincangan kesemua kepimpinan tertinggi daripada setiap parti dalam PN untuk memuktamadkan agihan keseluruhan kerusi itu. “Kita sedang cari tarikh yang sesuai untuk membincangkan perkara itu memandangkan kita masih dalam suasana Aidilfitri, visi PN adalah untuk memastikan kemenangan yang maksimun,” katanya.
09 May 23
409
Dr Sam Tak Mahu Dabik Dada
Dr Sam Tak Mahu Dabik Dada
KEMAMAN, 11 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mendabik dada ataupun merasa selesa dengan sokongan rakyat dan pemerhati politik atas prestasi cemerlang sepanjang mentadbir negeri ini. Beliau sebaliknya berkata, usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat akan terus ditingkatkan pada masa akan datang. Katanya, jika PAS terus diberi kepercayaan untuk penggal akan datang, parti itu akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan agar segala agenda untuk rakyat akan dapat dijayakan. "Saya tidak memberi markah kepada diri sendiri apa yang penting kami (telah) laksanakan (segala amanah) dengan cara yang terbaik. Namun begitu, sudah tentulah masih ada ruang yang boleh kita tambah baik untuk dilaksanakan. "Sebab itu jika diberi amanah dan ruang oleh rakyat sekali lagi, insya-Allah kami akan memperbaiki segala kelemahan yang lalu serta akan menambah perkara yang tidak boleh dilaksanakan pada sesi (penggal) kali ini kita akan terusakn pada sesi akan datang dengan cara yang lebih baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Prihatin Ramadan dan Majlis Perasmian Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Daerah Kemaman, di Masjid Batu 2 1/2, Mak Chili, Kemaman, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini PAS telah melakukan persediaan terbaik termasuk akan membentangkan manifesto di luar jangka khusus untuk rakyat negeri ini. "Telah ada dalam jadual mengenai tarikh akan dilancarkan manifesto, jadi kepada semua tunggulah kedatangannya. "(Mengenai) pembahagian kerusi rundingan peringkat pertama telah dilakukan, ada sedikit lagi perkara yang belum selesai dan saya percaya dalam tempoh yang terdekat akan dapat diselesaikan dan ia telah berjalan," ujarnya lagi.
11 Apr 23
777
PAS Alukan Nama Besar Sertai PN
PAS Alukan Nama Besar Sertai PN
SERDANG, 2 April - PAS sangat mengalukan penyertaan tokoh besar ke dalam Perikatan Nasional (PN) sama ada melalui parti Islam itu ataupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran tokoh-tokoh berkenaan akan memberi nilai tambah kepada PN berdasarkan pengalaman politik mereka. "Insya-Allah (kita alukan Tan Sri Annuar Musa), kita juga jangka lebih ramai akan turut serta, saya tidak boleh sebut lagi tetapi insya-Allah akan ada. Tidak terhenti di situ sahaja," ujarnya ketika ditanyai mengenai desas sesus kemasukan Annuar ke dalam PAS. Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di Dewan A, MAEPS Serdang, di sini, semalam. Menurut Ahmad Samsuri, difahamkan mereka yang mahu menyertai PN percaya gabungan itu adalah parti terbaik selepas kecewa dengan perjuangan parti yang pernah disertai sebelum ini. "Setiap mereka yang bersama dengan PAS sudah tentu ada peranan masing-masing, kita akan beri mereka peranan-peranan tertentu. "Saya percaya orang yang mempunyai pengalaman seperti Annuar dan lain-lain ada peranan yang boleh kita berikan untuk sama-sama memperkasakan PAS sebagai parti politik yang sah dalam negara," ujarnya lagi.
02 Apr 23
739
PN Tak Bermusuh Dengan Pejuang
PN Tak Bermusuh Dengan Pejuang
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai gabungan itu tidak bermaksud mereka bermusuh. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mempunyai alasan tertentu apabila membuat tindakan tersebut. "Saya tidak mahu sebut sebab-sebanya itu, kerana ia akan menyentuh parti-parti lain, tetapi sudah tentu ada hujan-hujah tertentu kenapa tidak diterima. "Bukan bermakna (kita) hendak bergaduh atau berseteru dengan parti-parti ini tetapi sebab-sebab yang berkait dengan (strategi) pilihan raya dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas Majlis Penyerahan Bantuan One-Off  kepada 141 imam dan bilal di negeri ini, di bawah Skim Mubaligh, di Perkarangan U2, di Wisma Darul Iman (WDI), hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata, keputusan itu juga tidak bermakna pintu rundingan ditutup sampai bila-bila, sebaliknya perbincangan di masa akan datang boleh dipertimbangkan kembali. "Saya rasa lebih baik bertanya kepada Setiausaha Agung PN (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) untuk memberikan jawapan yang lebih baik (kenapa menolak Pejuang). "Kita (buat keputusan) bersama dalam mesyuarat, tidak membuat kenyataan yang berbeza di luar mesyuarat melibatkan seluruh kepimpinan PN,"ujarnya lagi.
22 Mar 23
318
Bicara Petisyen PRU15 Parlimen Marang Bersambung 17 April
Bicara Petisyen PRU15 Parlimen Marang Bersambung 17 April
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Perbicaraan kes petisyen Pilihan Raya Umum ke15 (PRU-15) membabitkan Parlimen Marang akan bersambung semula pada 17 April nanti. Peguam responden, Mohd Faizi Che Abu menyatakan bahawa proses mendengar keterangan daripada semua saksi telah selesai sepenuhnya hari ini. Peguam Responden, Mohd Faizi Che Abu yang baru keluar dari bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu. "Hari ini tutup kes bagi keterangan saksi, maksudnya semua pihak responden dan pempetisyen telah pun selesai panggil saksi. "Mahkamah akan tetapkan satu keputusan kes iaitu 17 April 2023, sebelum mahkamah memberikan peluang kepada para peguam untuk berhujah," katanya ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini. Menurut beliau, pada tarikh tersebut pengurusan kes ingin melihat nota keterangan bagi tujuan untuk melengkapkan perbicaraan. Faizi turut menjelaskan bahawa sebelum ini tiga saksi melibatkan wakil rakyat telah dipanggil. "Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan), Ariffin Deraman (ADUN Alur Limbat) dan Mohd Nor Hamzah (ADUN Bukit Payung), ketiga-tiga mereka telah dilepaskan oleh mahkamah. "Selepas ini sudah tidak ada lagi perbicaraan saksi, hanya berhujah sahaja," jelasnya. Pada Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman
21 Mar 23
648
PAS 'Cerai' Bersatu Provokasi Lawan Tutup Gelombang PN
PAS 'Cerai' Bersatu Provokasi Lawan Tutup Gelombang PN
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menolak khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa parti itu merancang untuk keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana beberapa isu mahkamah. Beliau berkata, desas desus tersebut adalah palsu semata-mata merupakan satu provokasi dan disebarkan oleh pihak yang kurang senang melihat kebangkitan gelombang Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu. "Yang diviralkan itu adalah berita palsu sahaja. Memang tidak ada (meninggalkan Bersatu), saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok (hingga timbul khabar angin tersebut). "Sesetengah orang kata kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang, tetapi ini memang tiada angin, cuma ada orang goyang pokok..... Wallahualam siapa lah yang goyang pokok ni," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani. Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata hubungan Pas dan Bersatu masih berjalan seperti biasa. "Malam tadi baru sahaja saya  bermesyuarat bersama seluruh kepimpinan PN termasuk pimpinan tertinggi Bersatu dan PAS. "PAS masih setia dengan Bersatu....tak ada apa-apa yang berlaku (boleh menjejaskan hubungan politik dua parti)," ujarnya lagi. Jelasnya, perjumpaan semalam menjurus kepada beberapa perkara kearah Pilihan Raya Negeri (PRN). "Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan duduk untuk bincang mengenai rundingan kerusi pula," katanya.      
21 Mar 23
1006