Artikel "Pendidikan" Terkini
Politeknik Dungun Terokai Kenderaan Elektrik (EV) Di China
DUNGUN, 26 Julai - Seramai 29 warga Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah menjalani Program Malaysia China Youth TVET Training (MYCTT) di Wuhan Technical College of Communications, China..
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata program latihan selama 12 hari yang melibatkan 25 orang pelajar dan empat orang pensyarah itu bertujuan memberikan akses kepada teknologi terkini serta pengetahuan mendalam dalam bidang yang semakin relevan dengan keperluan industri global.
"Program latihan ini merupakan program di bawah Malaysia-China Youth TVET Training (MYCTT) yang memberi penekanan kepada konsep “finishing school”.
"Ia diwujudkan bagi meneroka kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin meningkat dalam menyediakan generasi muda yang berkemahiran tinggi dan siap untuk menyumbang kepada pembangunan negara dalam era globalisasi kini," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran media di sini baru-baru ini.
Sehubungan itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman berkata peluang yang diberikan buat pelajar dan pensyarah institusi pengajian awam tersebut dalam meneroka bidang EV di China merupakan satu peluang yang berharga.
"Ini membolehkan mereka mendapatkan pengalaman langsung dalam industri yang berkembang pesat serta memperluaskan wawasan dan kemahiran mereka dalam bidang teknologi EV yang semakin penting di masa hadapan.
"Semoga usaha yang dilaksanakan ini dapat melahirkan graduan politeknik khususnya PSMZA sebagai graduan yang berkualiti di peringkat antarabangsa disamping memberi pengalaman
yang tidak ternilai dan berharga buat mereka," ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, PSMZA juga dalam usaha menubuhkan Reskilling and Upskilling Centre (RUC) dalam bidang kenderaan hybrid dan elektrik yang dijangka akan mula beroperasi September 2024 ini.
"penubuhan RUC dengan kerjasama pihak industri, iaitu Mili Tech Sdn. Bhd ini bakal
menjadikan PSMZA sebagai Pusat Kejuruteraan Automotif Elektrik dan Hibrid bertauliah yang pertama di Pantai Timur,"jelasnya lagi.
27 Jul 24
490
Dr Sam Ucap Tahniah Kepada Pelajar STPM 2023
KUALA TERENGGANU, 24 Julai 2024 - Kerajaan negeri merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar dan warga pendidik atas keputusan cemerlang yang dilakar Terengganu semalam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejayaan pelajar Terengganu dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
"Alhamdulillah saya rasa itulah terkenalnya Terengganu bukan sahaja SPM malah STPM kita turut mengungguli carta.
“Saya ucapkan tahniah kepada anak Terengganu yang telah cemerlang, sekarang ini akan terbuka luas cabaran baharu dan bagaimana mereka harungi.
"Saya percaya anak Terengganu boleh cemerlang lagi bila masuk alam universiti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Perak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) 2024 di Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.
Menurutnya, negeri Terengganu mencatatkan keputusan terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 peringkat negeri dan kebangsaaan untuk tempoh lima tahun berturut-turut apabila memperolehi min purata Nilai Gred Kumulatif PNGK 3.11 mengatasi peringkat kebangsaan, iaitu 2.84.
24 Jul 24
215
Terengganu Kekal Rekod Terbaik STPM Buat Kali Kelima
BESUT, 23 Julai - Terengganu berjaya mengekalkan tradisi kecemerlangan apabila berjaya mengekalkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 terbaik kebangsaan untuk lima tahun berturut-turut apabila mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.11.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, dalam masa sama Terengganu turut berjaya mengatasi PNGK nasional iaitu 2.84 dengan perbezaan 0.27 peratus.
"Seramai 2,211 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2023 berbanding 2,178 orang pada tahun sebelumnya.
"Pencapaian keseluruhan semua A penuh PNGK 4.0 adalah seramai 79 calon, manakala kombinasi A dan A- adalah seramai 172 calon ," katanya.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Keputusan STPM 2023 Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, di sini, hari ini.
Menurutnya, pencapaian semua A (A penuh, kombinasi A dan A-) dalam mata pelajaran yang diambil pada 2023 meningkat kepada 251 orang berbanding 226 orang pada 2022.
Menurutnya, prestasi PNGK sekolah di negeri ini juga menunjukkan peningkatan sejak lima tahun berturut-turut bermula 2019 apabila mencatatkan PNGK 3.02 pada 2019, 2020 (3.03), 2021 (3.03), 2022 (3.04) serta 2023 (3.11).
Beliau turut berkongsi, 36 daripada 46 sekolah yang mempunyai calon STPM di seluruh Terengganu berjaya mencapai Min PNGK 3.0 ke atas.
Katanya, seramai 11 calon SMK Sultan Sulaiman Kuala Terengganu mendapat semua A Penuh (PNGK 4.0) manakala SMK Sultan Omar, Dungun menunjukkan peningkatan PNGK terbaik iaitu 3.15 berbanding 2.70 pada tahun lalu.
Che Muhammad Hakimi Che Alias dari SMKA Durian Guling, Marang dipilih sebagai pelajar terbaik STPM Sains Sosial, manakala Nurin Dayini Mazlan (SMK Nasiruddin Shah) pula diumum sebagai pelajar terbaik STPM (kategori pelajar kelainan upaya).
Berdasarkan rekod STPM, Terengganu mencatatkan keputusan terbaik kebangsaan pada 2014, 2015, 2016 dan lima tahun berturut-turut bermula 2019.
23 Jul 24
1316
57 Pelajar Cemerlang SPM Hulu Besut Diraikan
Hulu Besut, 11 Julai - Seramai 57 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2023 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut menerima imbuhan serta sijil penghargaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang hadir dalam majlis diadakan pada hari ini.
"Sumbangan RM100 kepada pelajar yang mendapat 6A hingga 8A manakala rm200 yang mendapat 9A hingga 12 A.
"Sumbangan ini tidaklah terlalu besar tetapi ini adalah sebagai tanda ingatan diatas usaha dan kejayaan yang diperolehi
"Bersedialah untuk memulakan alam baru lepas SPM kerana perjalan masih jauh dan ini adalah permulaan untuk menuju sesuatu kenikmatan hidup menepuhi rintangan alam sebelum pekerjaan," ujarnya ketika ditemui pada majlis meraikan pelajar itu, di sini, hari ini.
Untuk rekod, Terdapat seorang pelajar cemerlang dengan keputusan 12 A, pelajar sekolah Menengah Imtiaz Besut dari Kampung Padang Baloh iaitu adik Nisrina Nazihah Abdullah Suhaimi.
11 Jul 24
292
Mantan Johan Qariah Antarabangsa Dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 1420H/1999, Masnah Awang, 73 tahun dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu bagi tahun ini.
Lebih mesra dengan panggilan 'Mek Wook', Masnah melibatkan diri dalam bidang taranum al-Quran sejak 1966 dan menyertai Majlis Tilawah Al-Quran dari tahun 1985 hingga 2004.
Dengan pengalaman luas yang dimiliki, ibu kepada lapan orang anak ini berkhidmat sebagai guru al-Quran di bawah Yayasan Islam Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selain berperanan sebagai tenaga pengajar di Pejabat Daerah Marang.
Bagi menghargainya, pihak kerajaan telah menganugerahkan beberapa pingat antaranya Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1997 dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) pada tahun 2000.
Hasnah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu 2024 yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman pagi ini.
Selain menerima trofi, Masnah turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM20,000.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Masnah merakam rasa terharu atas penghargaan yang diterimanya. Beliau turut menyifatkan usahanya kini hanyalah untuk terus menyuntik semangat kepada generasi muda untuk menanam minat mendalami al-Quran.
07 Jul 24
779
132 Pelajar Cemerlang Terima Habuan
KEMAMAN, 26 Jun - Seramai 132 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menerima habuan berupa sumbangan kewangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, insentif berkenaan bagi menghargai usaha gigih dan dedikasi setiap pelajar.
"Tahniah kepada para pelajar, guru dan ibu bapa atas kejayaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 yang diadakan di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Air Putih hari ini.
Beliau juga mengingatkan bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui akademik, tetapi juga melalui sumbangan kepada masyarakat.
"Suka juga untuk saya berpesan agar setiap pelajar meletakan agama sebagai keutamaan di samping kecemerlangan akademik," katanya.
Mohd Hafiz berharap kejayaan itu turut menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Untuk rekod, pelajar yang memperolehi sumbangan itu terdiri daripada 6A dan ke atas.
Seramai 43 pelajar memperoleh 6A, 21 pelajar memperoleh 7A, 29 pelajar memperoleh 8A, 26 pelajar memperoleh 9A, 5 pelajar memperoleh 10A, 3 pelajar memperoleh 11A dan 5 pelajar memperoleh 12A.
26 Jun 24
940
Usaha Terengganu Lahirkan Huffaz Teknokrat di Landasan Tepat
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Usaha kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu untuk melahirkan 'teknokrat huffaz' kini berada di landasan yang tepat setelah semua pelajar lepasan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu (SMIYT) telah mencapai kejayaan unggul di dalam peperiksaan awam.
Kesemua pelajar lepasan sekolah tersebut bukan sahaja berjaya mencatatakan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tetapi telah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran.
Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Terengganu (YT), Megat Samsudin Megat Yusof berkata, hari ini pihak YT berbesar hati memberikan insentif sebanyak RM353,000 kepada 353 murid.
"Hari ini kita meraikan seramai 368 graduan pelajar tingkatan 5 dan 14 tingkatan 6 di mana seramai 353 murid telah berjaya khatam 30 juzuk hafalan al-Quran.
"Manakala seramai 105 orang murid telah berjaya khatam al-Quran hanya dalam tempoh tiga tahun yang merupakan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga berdasarkan Petunjuk prestasi Utama (KPI) Ko-Kurikulum Hafazan Imtiaz.
"Iaitu menghafal sekurang-kuranya satu muka surat sehari, 10 juzuk setahun dan akhirnya khatam 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Kali Ke-14, Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu, di Dewan Konvesyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, hari ini.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah.
Mengulas lebih lanjut, Megat berkata kejayaan pelajar SMYIT itu merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan.
"Walaupun mempunyai rutin belajar (akademik) yang padat sebagai anak soleh pintar namun masih mampu menghafal al-Quran (mengikut) silibus yang telah ditetapkan.
"Statistik ini membuktikan bahawa SMIYT telah merealisasikan matlamat penubuhannya untuk melahirkan huffaz profesional secara langsung ia menjadi pemangkin modal insan dengan mida kelas pertama yang akan menyumbang kemajuan dan kelestarian negeri Terengganu," ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Nor menzahirkan ucapan tahniah kepada YT kerana masih mengekalkan kejayaan dan mengangkat martabat pendidikan tahfiz di negeri Terengganu.
"SMIYT juga masih berada dalam carta 10 sekolah terbaik di peringkat negeri dengan melahirkan seramai 70 orang pelajar mendapat 12A.
"Tidak dilupakan ucapan tahniah dan terima kasih kepada warga pendidik kerana tanpa jemu bertungkus lumus menggembleng tenaga serta masa agar kejayaan pada hari ini terukir," ujarnya.
25 Jun 24
872
Anak Syarikat Kerajaan Salur RM100,000 Bantu Pelajar B40
KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) terus menunjukkan komitmennya dalam menyokong pendidikan dengan menyalurkan RM100,000 kepada pelajar cemerlang B40 melalui Biasiswa 'YT-TI Young Talent Scholarship Programme'.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, berkata inisiatif tersebut adalah salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TDM dalam usaha menyokong pembangunan pendidikan, sejajar dengan misi syarikat untuk menjadi model korporat yang bertepatan dengan status Patuh Syariah.
“Kami juga menyokong rangka kerja Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang memberi impak positif kepada perniagaan dan komuniti tempat kami beroperasi.
“Usaha ini selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), terutamanya SDG 4 yang memberi tumpuan kepada penyediaan akses pendidikan berkualiti dan SDG 8 yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya melalui kenyataan media selepas majlis Menandatangani Perjanjian yang berlangsung di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Majlis perjanjian tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja merangkap Pengerusi TDM, serta Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Dato’ Razali Che Ani.
Tambah Najman, TDM bersama-sama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lain di bawah Kumpulan Terengganu Inc (TI) berperanan sebagai pelengkap dalam penyediaan dana kepada program penajaan Yayasan Terengganu (YT).
“Tahniah diucapkan kepada sepuluh pelajar yang berjaya mendapat biasiswa pada hari ini.
“Biasiswa ini memberi fokus kepada kebajikan anak-anak Terengganu, manakala bukan warganegara Terengganu mestilah bermastautin selama 10 tahun atau lebih dengan keutamaan kepada calon yang mempunyai rekod kokurikulum yang baik sekurang-kurangnya di peringkat Negeri atau Kebangsaan," jelasnya.
Beliau berkata, biasiswa YT-TI mensasarkan keluarga berpendapatan rendah atau golongan B40 untuk Ijazah Pertama dan terbuka kepada pelajar lepasan Asasi atau Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dalam bidang pengajian tertentu.
Tambahnya lagi, antara bidang yang ditawarkan melalui biasiswa itu ialah Kecerdasan Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-Undang, Muamalat, Pentadbiran Korporat, Sains Kesihatan (Fisioterapi), dan Perladangan.
“Program-program ini memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia dan menyumbang kepada tenaga kerja berprestasi tinggi.
“Menerusi program penajaan Biasiswa YT-TI ini, TDM berharap lebih ramai anak-anak Terengganu daripada keluarga B40 berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi dalam usaha meningkatkan tahap sosioekonomi keluarga mereka,” ujarnya.
06 Jun 24
281
Maahad Tahfiz Fokus Tingkat Kemahiran Teknikal Pelajar
KUALA NERUS, 5 Jun – Maahad Tahfiz Wa’ Tarbiyah Darul Iman (MTT) terus memperbaharui pendekatan pendidikan dengan menekankan pentingnya kemahiran teknikal untuk kesinambungan masa depan pelajar.
Dalam satu perhimpunan di MTT, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Ahmad Shah Mohamed, memberi penekanan kepada langkah proaktif tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Maahad Tahfiz telah membuka peluang baru bagi pelajar dengan memasukkan kemahiran vokasional seperti pendawaian elektrik dan jahitan ke dalam kurikulum mereka.
“Langkah tersebut memberi peluang lebih luas kepada pelajar untuk memperoleh kebolehan praktikal yang penting dalam pasaran pekerjaan yang semakin canggih,” katanya ketika majlis berkenaan.
Ahmad Shah menekankan kepentingan sokongan daripada komuniti dalam memastikan setiap pelajar mempunyai akses kepada pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa.
Beliau juga bangga dengan Maahad Tahfiz atas usaha institusi itu menyediakan pendidikan yang mudah difahami dan praktikal bagi masa depan generasi muda.
Majlis bersejarah itu berakhir dengan majlis perasmian mini konvokesyen kursus tahfiz vokational MTT untuk 2023, menandakan langkah penting bagi pelajar yang telah dilengkapi dengan kemahiran vokasional yang bermakna.
05 Jun 24
405
YT Jalin Kerjasama Dengan Kumpulan TI Taja Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 5 Jun- Yayasan Terengganu (YT) hari ini menandatangani perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 bersama Kumpulan Terengganu Inc (TI) bagi membuka peluang kepada pelajar cemerlang negeri ini mendapatkan pendidikan tinggi terbaik.
Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, YT telah menubuhkan Tabung Biasiswa GLC pada Tahun 2022 untuk meningkatkan kapasiti tawaran biasiswa dengan sokongan syarikat korporat Negeri Terengganu sebagai alternatif pendidikan tinggi kepada golongan sasar yang layak serta mereka yang memerlukan.
“Terengganu Incorporated Sdn.Bhd bersama-sama kumpulan dibawahnya seperti TDM Berhad, EPIC Berhad, Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd, Golden Pharos Berhad dan PTB Group telah menyalurkan sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 melalui Tabung Biasiswa GLC,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian YT - TI Young Talent Scholarship Programme 2023 antara Kumpulan Terengganu Inc dan Yayasan Terengganu yang disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat di Wisma Darul Iman.
Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun.
Mohd Azmi berkata, YT bertanggungjawab mengendalikan dan mengurus biasiswa kepada pelajar cemerlang yang terpilih.
“Fungsi tabung ini bukan hanya tertakluk kepada penajaan semata-mata, malah merangkumi aspek kebajikan serta kesejahteraan pendidikan anak-anak Terengganu di setiap peringkat.
“Sumbangan kepada Tabung Biasiswa GLC ini juga terbuka kepada semua individu, agensi atau syarikat korporat yang berminat untuk turut sama membantu bagi pendanaan biasiswa pelajar-pelajar cemerlang Negeri Terengganu dengan setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri,” jelasnya.
Katanya, pemeteraian Perjanjian antara YT bersama Kumpulan Terengganu Inc berkenaan merupakan manifestasi kesungguhan kedua-dua entiti dalam usaha menawarkan lebih banyak tawaran biasiswa untuk dimanfaatkan demi pembangunan modal insan minda kelas pertama berserta jaminan peluang pekerjaan bersama Kumpulan TI.
Terdahulu, pada majlis sama turut diraikan 10 orang pelajar yang terpilih sebagai penerima Biasiswa YT-TI bagi ambilan kedua tahun 2023 dengan setiap pelajar memperolehi tajaan biasiswa dianggarkan berjumlah RM50,000 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun disamping turut menerima peranti ipad atau komputer riba bagi kegunaan pembelajaran.
Kesemua pelajar ini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di beberapa Universiti Awam Dalam Negara dengan pengkhususan bidang Perundangan, Pengurusan Muamalat, Analitik Data, Sains Komputer, Sains Statistik, Pengurusan Alam Sekitar. Pentadbiran Perniagaan dan Teknologi Pertanian.
05 Jun 24
288