Artikel "Pelancongan" Terkini
Bidong Flora Fest 2025 Dibanjiri Peminat Bunga
SETIU, 17 Mei - Penganjuran Bidong Flora Fest (BFF) 2025 yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP) dilihat benar-benar mendapat sambutan meriah para pengunjung.
Berdasarkan tinjauan urusetia, dianggarkan malam tadi, karnival selama empat hari yang dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu itu, dibanjiri sekitar 10,000 pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, BFF 2025 telah mencapai sasaran yang dimahukan samada dari aspek kehadiran pengunjung ataupun dari sudut persembahan peserta dalam festival berkenaan.
"Penganjuran ini (festival flora) adalah kali pertama untuk kami dan kali pertama juga diadakan untuk Terengganu.
"Kalau berjaya, saya yakin pihak kerajaan negeri akan mempertimbangkan penganjuran secara tahunan.
"Elemen-elemen yang diterapkan dalam reruai dan taman ini sebenarnya memang bertujuan mendidik rakyat untuk menghargai alam, mencintai tumbuhan dan keindahan yang ada dalam negeri kita.
"Proses ini perlukan masa dan kita harap dengan agenda ini kita mampu terapkan pada masyarakat untuk menyantuni alam kita," katanya ketika ditemui selepas sesi walk about di sepanjang reruai BFF 2025, semalam.
Tambahnya, festival flora itu disertai lapan pejabat daerah dan tiga syarikat yang bertanding merebut gelaran juara taman flora terbaik yang akan diumumkan esok.
Selain itu, Karnival TIEP turut mengetengahkan pelbagai acara sukan berkuda seperti Horse Jumping, kereta kuda berhias dan Horse Show.
Malam ini, pertandingan dikir barat akan meneruskan saingan dengan enam lagi pasukan akan mempersembahkan kehebatan mereka.
Oleh itu, Hishamuddin menyeru masyarakat sekitar mahupun yang berkelapangan untuk hadir memeriah malam terakhir Karnival TIEP, hari ini.
17 May 25
996
Juara Dunia, Brunei Tambah Sengat TIEP Tug Of War
SETIU, 17 Mei - Blue Tiger, pasukan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menjuarai Kuala Lumpur International Tug Of War Club Championships (Kejohanan Kelab Dunia) edisi tahun lalu, akan mempanerkan taringnya dalam Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP) 2025, hari ini.
Juara dunia itu bakal bersaing dengan sembilan lagi pasukan dari seluruh negara termasuk Chainblock Tugger, juara zon Borneo dari negara Brunei Darussalam.
Ketua Teknikal kejohanan, Zolkefli Ahmat berkata, kehadiran pasukan-pasukan ternama dalam negara dalam kejohanan Tug Of War kali ini menunjukkan potensi perkembangan sukan itu di pantai timur.
"Ini yang saya harapkan, kalau kita hendak naikkan sukan ini perlu dan penglibatan pasukan luar.
"Kalau pasukan bertaraf negara seperti Brunei turun ke kejohanan sebegini, maknanya mereka melihat Terengganu ini ada sesuatu yang istimewa.
"Apa yang saya harapkan selepas ini, pihak penganjur dapat menambah hadiah kejohanan dan kategori pertandingan untuk menarik lebih banyak pasukan serta menaikkan prestij kejohanan," katanya.
Beliau turut melihat penganjuran kejohanan Tug Of War dalam Karnival TIEP yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu ini dapat mencetuskan fenomena baru sukan itu di kalangan rakyat.
Perlawanan pertama antara Blue Tiger dan Chainblock Tugger disaksikan oleh Exco Sukan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim
"Saya berharap kejohanan ini jadi platform sukan tarik tali untuk berkembang maju dan semoga Terengganu menjadi pencetus bagi zon pantai timur," katanya.
17 May 25
174
Marang Bawa Kuda Besi 'Berlumba' di TIEP
SETIU, 17 Mei - Memakan tempoh selama dua minggu, akhirnya kuda besi berjaya 'dijinakkan' Pejabat Daerah dan Tanah Marang di Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP).
Menurut pegawai daerah dan tanah Marang, Zulkifly Isa, kuda besi itu diperbuat oleh warga kerja pejabat daripada bahan-bahan terbuang.
"Kuda besi ini ada simboliknya, dalam Bidong Flora Fest (BFF) 2025 kita bawa tema Taman Kuda Waja, Dari Bunga ke Besi.
"Orang akan masuk reruai ini dan lihat kelembutan bunga diakhiri kuda waja yang kita bina. Dari kelembutan itu akan lahirlah kekuatan.
"Kuda ini kita lambangkan sebagai kekuatan, walaupun dibuat daripada bahan terbuang, ia kukuh sehingga orang boleh naik ke atasnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penjurian reruai flora dalam BFF 2025 sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu, semalam.
Pertandingan tersebut melibatkan lapan pejabat daerah dan tiga syarikat-syarikat di Terengganu.
Selain BFF 2025, Karnival TIEP dipenuhi pelbagai aktiviti antaranya pertunjukan payung terjun oleh Komando VAT 69, perlumbaan motosikal lasak dan pertandingan tarik tali.
17 May 25
181
Kuala Terengganu Saji 'Hutan Bandar' di Bidong Flora Fest 2025
SETIU, 16 Mei - Pokok-pokok sayuran seperti kobis merah dan Lemon Balm yang dijadikan tanaman pertanian dalam bandar menjadi pilihan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu sebagai salah satu tarikan 'Hutan Bandar' untuk bersaing dalam Bidong Flora Fest (BFF) 2025.
Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Mohd Amirul Awang berkata, konsep pertanian bandar ditonjolkan menjadi salah satu dari tiga konsep flora di daerah Kuala Terengganu yang terkenal sebagai ibu negeri dan bandar raya di negeri berkenaan.
"Mengetengahkan konsep taman semula jadi bertemakan Hutan Bandar ini, kita tunjukkan spesies flora yang ada di Kuala Terengganu.
"Antaranya ialah kategori pokok-pokok hutan sebagaimana yang terdapat di Taman Botani Bukit Panorama, seterusnya pokok-pokok bunga yang menghiasi landskap di bandar raya ini," katanya ketika ditemui di BFF yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park(TIEP) di Lembah Bidong, hari ini.
Karnival selama empat hari bermula semalam itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu.
Karnival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan kuda, kereta kuda berhias, pertunjukan payung terjun, perlumbaan motosikal lasak dan Fun Run.
Dalam pada itu, Pegawai daerah dan pentadbir tanah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan yang hadir sama dalam program berkenaan betul-betul teruja dengan persiapan dilakukan pasukannya.
"Sejujurnya pejabat daerah belum didedahkan dengan program seperti ini, ini satu keunikan baru yang perlu ditonjolkan setiap daerah dan kita perlu fikir untuk ketengahkan.
"Bidong Flora Fest (BFF) merupakan satu anjakan baru dengan konsep yang perlu ditonjolkan.
"Ia mengubah paradigma kita bahawa dalam membangunkan sesuatu daerah kita tidak boleh tinggalkan lanskap kerana ia paru-paru bagi bandar," katanya.
Menurutnya, taman Kuala Terengganu turut mempamerkan sistem penuaian air hujan ringkas serta tanda nama setiap pokoknya, selain menampilkan kumpulan penghibur jalanan sebagai tarikan.
16 May 25
2168
Peruntukan RM200,000 Disalur Selesai Masalah Laluan Pejalan Kaki Pulau Kapas
MARANG, 14 Mei – Peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membaik pulih Projek Laluan Pejalan Kaki Fasa 2 di Pulau Kapas sudah diluluskan melalui Majlis Daerah Marang (MDM).
Yang Dipertua MDM, Khairil Anuar Sheikh Mahmood berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif Projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naiktaraf (PPUN) Negeri Terengganu dalam kadar segera.
"Kerja-kerja baik pulih merangkumi kerja awalan, pemulihan struktur laluan, pembaikan pagar keselamatan, kerja mengecat serta pemasangan plak projek.
“Selain memastikan laluan ini lebih selamat dan selesa untuk pengunjung, projek ini juga selari dengan imej Pulau Kapas sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negeri,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan tinjauan projek di Pengairan Pulau Kapas baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Dalam pada itu Razali berkata, Pulau Kapas yang menerima ribuan pengunjung setiap tahun memerlukan penyelenggaraan kemudahan awam yang baik bagi memastikan pengalaman pelancongan yang berkualiti.
“Projek ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan tempatan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat melalui peningkatan jumlah pelawat ke Pulau Kapas.
"Selain itu, ia sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026)," ujarnya.
14 May 25
308
Exco, JHEAT Bincang Perkukuh Garis Panduan Syariah Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 9 Mei – Terengganu terus mengukuhkan pelancongan mesra syariah melalui kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jawatankuasa Pelancongan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, dalam usaha terbabit beliau menerima kunjungan Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin.
“Pertemuan ini bertujuan bagi mengukuhkan garis panduan pelancongan negeri agar selari dengan nilai Islam dan syariah.
“Kerjasama antara JHEAT dan pengusaha pelancongan penting supaya pelancongan di Terengganu tidak bercanggah dengan budaya dan agama,” katanya pada kenyataan semalam.
Razali berkata, dasar pelancongan mesra syariah akan meningkatkan imej Terengganu dan menarik pelancong yang ingin bercuti mengikut cara Islam.
“Kerjasama yang lebih teratur antara pihak agama dan penggiat industri pelancongan perlu diwujudkan supaya pembangunan pelancongan tidak menyimpang dari budaya dan agama.
“Insya-Allah, dengan usaha bersama dan sokongan rakyat, Terengganu mampu menjadi contoh utama pelancongan Islamik di Malaysia dan rantau ini,” ujarnya.
09 May 25
268
Permit Khas Candat Sotong Diperkenal
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Kerajaan Negeri dalam proses mengeluarkan permit khas bagi membolehkan lebih ramai pengusaha bot nelayan terlibat dalam Program Candat Sotong Terengganu, yang semakin mendapat sambutan daripada pelancong setiap kali musimnya tiba.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, isu berkaitan pengusaha bot nelayan yang tidak memiliki lesen 'Sport Fishing' telah diberi perhatian sejak tahun lalu.
"Bagi pelaksanaan Program Candat Sotong ini, kita memperkenalkan permit khas yang terhad kepada jarak tiga hingga empat kilometer dari daratan sahaja. Permit ini hanya sah sepanjang musim mencandat iaitu dari bulan April hingga Oktober," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.
Beliau menjelaskan, pihak kerajaan sedang berusaha untuk memastikan permit tersebut dapat dikeluarkan dengan segera bagi memudahkan penyertaan pengusaha bot di seluruh negeri.
"Lebih daripada 4,000 bot nelayan di Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut terlibat dalam program ini, kecuali bot laut dalam. Program ini penting kerana memberi peluang kepada nelayan menjana pendapatan sampingan dengan membawa pelancong merasai sendiri pengalaman mencandat sotong," tambahnya.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata, pada asalnya permit khas tersebut sepatutnya telah dikeluarkan, namun pelaksanaannya masih memerlukan sedikit masa kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan bagi memastikan program berjalan dengan lancar.
"Akan diadakan satu lagi mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan bot, yang masih dalam perbincangan antara Jabatan Laut, Jabatan Perikanan serta para pengusaha," katanya.
Tambahnya lagi, sebelum ini pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama lebih 3,000 pengusaha bot yang memohon untuk mendapatkan kebenaran menyertai program ini memandangkan kebanyakan daripada mereka hanya memiliki lesen bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan secara memukat.
"Mereka yang telah memiliki lesen 'sport fishing' tidak perlu memohon permit khas kerana ia sudah termasuk dalam kebenaran mencandat sotong. Cuma bot-bot pesisir ini sahaja yang memerlukan permit khas.
"Kita wujudkan permit khas yang berbeza daripada lesen sedia ada, dan permit ini hanya terpakai untuk tempoh April hingga Oktober sahaja," katanya.
08 May 25
1356
Program Candat Sotong Kini Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Program Mencandat Sotong Terengganu kini melangkah ke pentas antarabangsa apabila berjaya menarik penyertaan wakil luar negara seperti dari Thailand, Singapura dan Filipina.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, promosi dilaksanakan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mendapat sambutan amat memberangsangkan, termasuk daripada peserta antarabangsa yang akan menyertai program sepanjang musim dari April hingga Oktober.
“Lebih 3,000 bot yang dikhususkan bagi aktiviti mencandat sotong akan beroperasi di seluruh perairan Terengganu, dan dijangka menarik lebih 30,000 pelancong sepanjang musim ini.
“Ia berpotensi menjana pulangan ekonomi sekitar RM7.5 juta menerusi tempahan penginapan, pakej candat, serta limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat Enam, Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.
Tambah beliau, karnival utama yang dinamakan 'Pakat Maghi Candak Sutong' akan berlangsung pada 8 hingga 11 Mei bertempat di Tempat Letak Kereta Menara Jam, Jeti Pelancongan Marang.
“Istimewanya kali ini, program ini bukan sahaja akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Kelantan,” ujarnya.
Razali turut menyatakan keyakinan bahawa Program Candat Sotong bakal menjadi produk pelancongan ikonik negeri yang mampu menembusi pasaran serantau secara lebih meluas pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Razali berkata antara kelainan yang turut dilakukan bagi menggandakan kemeriahan program akan ada 14 karnival yang diadakan sepanjang program selain tiada pertandingan yang akan dianjurkan.
“Sebaliknya ditekankan elemen pelancaran musim dan keterlibatan pelbagai sektor seperti komuniti, pelancong, media dan agensi pelancongan.
“Turut serta dalam liputan ialah media perdana, media sosial serta pemengaruh dari dalam dan luar Terengganu termasuk dari Thailand yang akan membantu memperluaskan capaian program ini secara digital dan nasional,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi mempergiatkan promosi dan sokongan daripada industri perhotelan, beberapa hotel utama di Kuala Terengganu akan turut memperkenalkan menu bertemakan sotong.
08 May 25
303
Terengganu Raikan Hari Penyu Sedunia: Program "Terengganu Turtles Tourism"
KUALA TERENGGANU, 24 April - Sempena sambutan Hari Penyu Sedunia yang jatuh pada 23 Mei 2025, kerajaan negeri bakal menganjurkan program peringkat negeri, 'Terengganu Turtles Tourism', bermula dari 22 hingga 24 Mei 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan penyu, di samping mempromosikan Terengganu sebagai destinasi utama ekopelancongan negara.
"Program ini turut tersenarai dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2025, dan dijangka dapat menarik lebih ramai pelawat serta pelabur yang menyokong agenda pelancongan lestari.
"Penyu adalah ikon khazanah semula jadi negeri yang bukan sahaja bernilai tinggi dari segi konservasi, malah mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi menerusi pelancongan berasaskan alam.
"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap pentingnya pemuliharaan penyu dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama berkaitan konservasi penyu," katanya.
Tambahnya, program yang akan berlangsung selama tiga hari itu juga membuka potensi untuk merancakkan lagi pelancongan berasaskan alam semula jadi serta pelancongan berasaskan pendidikan.
Dalam usaha sama, Razali menjelaskan bahawa usaha kolaboratif bersama pihak badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan GLC telah dilaksanakan bagi merealisasikan konservasi reptilia marin itu.
"Di Santuari Penyu Ma’Daerah, Kerteh kita ada Kerjasama bersama Jabatan Perikanan, WWF Malaysia dan Ineos PCG Acetyls menjalankan aktiviti seperti pelepasan anak penyu, program corporate social responsibility (CSR), sarang penyu angkat, dan pencerapan penyu di habitat semula jadi.
"Pengurusan dan pemantauan pantai pendaratan penyu oleh Seatru (UMT) di Pulau Redang, Bubble Dive Resort dan Fuze Ecoteer di Pulau Perhentian serta Kapas Turtle Community Project di Pulau Kapas dan Gemia.
"Program kesedaran awam seperti Terengganu Turtle Camp dan Kem Penyu bersama Sekolah Angkat, di samping program pelepasan anak penyu yang mendapat sambutan menggalakkan," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, beliau juga menyentuh mengenai pembelian telur penyu daripada pemajak berlesen untuk dieramkan di tempat penetasan oleh pihak seperti WWF Malaysia, PULIHARA, Resort World Kijal dan Terengganu Silica.
"Kami berharap Terengganu Turtles Tourism dapat menjadi titik tolak kepada usaha bersepadu memelihara penyu serta mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi utama ekopelancongan negara," ujarnya.
Hari Penyu Sedunia disambut pada 23 Mei setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global tentang ancaman terhadap penyu laut dan usaha untuk melindunginya.
Terengganu merupakan antara negeri terawal di Malaysia yang memulakan program konservasi penyu secara aktif sejak beberapa dekad lalu.
24 Apr 25
498
Kerjasama Kerajaan Negeri, Persekutuan Pacu Pembangunan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terus menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata sejumlah peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi melaksanakan 13 tapak projek pelancongan.
"Bagi tahun 2025, sejumlah RM3.98 juta telah diluluskan oleh MOTAC bagi melaksanakan 13 projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur pelancongan di seluruh negeri.
"Antara projek utama yang dikenal pasti termasuklah kerja-kerja naik taraf kemudahan di Taman Eko Pelancongan Lata Ulu Kasar, Setiu, pemuliharaan Memorial Batu Bersurat di Kuala Berang, serta menaik taraf jeti pelancongan di Bandar Marang dan kemudahan di Gunung Tebu, Besut.
"Selain itu, peruntukan ini juga akan diagihkan untuk projek menaiktaraf papan tanda pelancongan serta kerja-kerja berkaitan di Daerah Dungun dan lain-lain," jelasnya.
Dalam usaha yang sama, beliau menjelaskan bahawa projek menaiktaraf jeti di Pulau Perhentian dan Pulau Redang dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM4 juta juga telah diluluskan.
"Insya-Allah, dimaklumkan bahawa terdapat beberapa lagi projek tambahan yang dijangka akan diluluskan dalam Fasa 2 pada tahun 2025.
"Perbahasan yang telah dibangkitkan jelas menunjukkan kesungguhan semua Ahli Yang Berhormat dalam memastikan pembangunan pelancongan negeri Terengganu terus maju dan lestari.
"Termasuk aspek kebersihan lokasi pelancongan, pemuliharaan alam semula jadi serta penerokaan destinasi baharu yang berpotensi tinggi, khususnya dalam bidang ekopelancongan," jelasnya.
Razali berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut akan terus memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan berasaskan komuniti (CBT), dengan 30 lokasi yang kini aktif dan 11 lagi sedang dikenal pasti di daerah Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.
"Dalam usaha memperkasa inisiatif ini, kerajaan akan merangka siri lawatan berfokus bagi menilai secara terperinci cadangan-cadangan pembangunan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat.
"Agar pelaksanaan setiap projek nanti benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memelihara khazanah alam semula jadi kita," katanya.
22 Apr 25
123