lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Newwor @ KBT Angkat Nilai Warisan Terengganu di Persada Antarabangsa
Newwor @ KBT Angkat Nilai Warisan Terengganu di Persada Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Program 'Newwor @ KBT' yang diadakan bermula 30 Mei sehingga 2 Jun di Kampung Budaya Terengganu mampu memartabat dan menyemarakkan nilai warisan Terengganu ke persada antarabangsa. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, melalui program tersebut ia juga memberi galakan kepada generasi muda bagi mengenali, mempelajari serta mewarisi kebudayaan tersebut. "Seterusnya menjalinkan kesinambungan warisan supaya tidak lapuk ditelan zaman dalam arus pemodenan hari ini. "Kanak-kanak dan remaja adalah penerus legasi kita. Jika kita tidak mengembangkan minat dalam kalangan anak muda terutamanya kanak-kanak, mereka akan menjadu dewasa yang tidak terdedah kepada seni budaya mereka sendiri. "Justeru, saya menyeru kepada semua masyarakat Melayu, Cina, India dan lain-lain tanpa mengira peringkat umur untuk hadir ke sini bagi mempelajari, merasai dan mencuba sendiri segala aktiviti seni dan budaya yang ada di sini antaranya permainan gasing, kaki hantu, gamelan dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan, di Kampung Budaya Terengganu, di sini, semalam.  Turut hadir, Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathi Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Palms Garden Resort Sdn. Bhd, Alex Lee Yun Ping dan Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Azrul Hussein.  Mengulas lebih lanjut katanya, penganjuran program berkenaan juga merupakan pakatan strategik antara agensi kerajaan negeri dan kerajaaan persekutuan serta pihak swasta.  "Tahniah diucapkan kepada pihak Kampung Budaya Terengganu dan Palms Garden Resort Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaydia (MOTAC) dan Lembaga Muzium Negeri atas kejayaan menganjurkan program ini.  "Ini akan mempromosikan lagi Kampung Budaya Terengganu sebagai sebuah muzium hidup bagi seni budaya dan warisan Negeri Terengganu.  "Secara tidak langsung, program ini menjadi pemangkin bagi meransang perkembangan industri pelancongan dan kebudayaan Negeri Terengganu," ujarnya.  Menjelaskan penggunaan perkataan 'newwor' pada program itu katanya, ia merupakan dialek Teregganu yang membawa maksud bersiar-siar ataupun jalan-jalan.  "Newwor @ KBT ini merupakan cara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun lepas yang menjadi sebuah acara bersiar-siar dari satu stesen ke stesen.  "Terdiri daripada pelbagai jenis pameran, permainan, demonstrasi, persembahan dan jualan yang berlangsung di tapak program," katanya.   
01 Jun 24
507
'Produk Pelancongan Terengganu Hebat, Umpama Level International'
'Produk Pelancongan Terengganu Hebat, Umpama Level International'
KUALA TERENGGANU, 29 Mei- Itu kekaguman disuarakan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, Sunita Abdul Aziz yang bersama sekitar 50 pegawai Pejabat SUK Negeri Kedah dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu, hari ini. Berpeluang turut serta ke sebahagian siri lawatan dalam Kunjungan Hormat Menteri Besar dan delegasi Negeri Kedah ke Terengganu, Sunita menyatakan banyak perkara baru dipelajari dalam kunjungan ke Kampung Budaya Terengganu. "Ini pengalaman baru bagi kami. Apa yang kami pelajari (hari ini) adalah sejarah negeri dan kehidupan rakyat Terengganu, serta keseniannya yang menarik. Terima kasih pihak kerajaan negeri Terengganu. Sunita cuba memegang gasing terbang Terengganu. "Secara peribadi, saya tengok produk-produk pelancongan Terengganu sangat hebat, kita tengok pemasarannya seperti di peringkat antarabangsa, pengunjung yang datang pun boleh belajar perkara baru seperti seni Telepuk yang berusia ratusan tahun, yang dibawa keluar dari istana dan ditunjukkan kepada umum supaya orang ramai menghargai kesenian Melayu yang sangat halus serta berkualiti. "Saya amat berharap kami dapat belajar serta bawa pulang apa yang dipelajari untuk meningkatkan upaya dan tambah baik terutama dalam industri pelancongan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini. Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mengiringi delegasi berkenaan, berbesar hati dapat berkongsi produk-produk yang ada di Kampung Budaya Terengganu. "Hari ini, kita berpeluang berkongsi dengan sahabat dari Kedah tentang cara kita menggerakkan agenda pelancongan di negeri Terengganu ini. Kedua-dua negeri sebenarnya berkongsi, tetapi memiliki kelainan dan produk tersendiri. "Di Terengganu ini kita kaya dengan budaya, jadi kita mempromosikan bagaimana menjadikan Kampung Budaya sebagai teras untuk para pelancong yang datang, sebelum bergerak ke tempat lain bagi mengenali dan mempelajari budaya Terengganu. "Daripada kita bersaing dan rugi, sebaliknya kita boleh berkongsi mempromosikan kelebihan produk masing-masing. Kalau orang ke Kedah mereka dapat menyaksikan sesuatu produk hebat, mereka juga boleh datang ke Terengganu dan menyaksikan produk berlainan. Apa yang penting kita boleh berkongsi pengalaman, pengetahuan dalam memperkaya dan mengembangkan agenda pelancongan negeri," katanya. Turut hadir dalam program terbabit ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan Manusia dan Integriti), Dato' Hadi Hassan dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.  
29 May 24
4221
Pemain Industri Pelancongan Mesti Peka Keselamatan Pelancong
Pemain Industri Pelancongan Mesti Peka Keselamatan Pelancong
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Pengusaha serta pemain industri pelancongan digesa agar tidak mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya perlu bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan pelancong terjamin. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, dengan memastikan keselamatan lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung diutamakan ia akan memberi pulangan yang lumayan apabila dikunjungi secara berterusan tanpa ada kebimbangan. "Pematuhan kepada Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan, keselamatan, kebersihan dan lain-lain perlu dititikberatkan untuk menarik pengunjung datang ke Terengganu dan ia mesti menjadi tanggungjawab bersama. "Keuntungan itu akan kembali kepada pemain industri, pihak kerajaan akan membantu untuk mempromosikan tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi yang akan memberi pulangan yang lumayan kepada pemain-pemain industri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, semasa menghadiri sambutan pelayar antarabangsa Sempena Program Sail Malaysia Passage To The East Yacht Rally 2024, di Jeti Marina Garden, Duyong Marina, di sini baru-baru ini. Mengulas mengenai kejadian pelancong warga emas dari Jerman yang maut akibat lemas semasa bercuti di Pulau Perhentian, beliau berkata ia perlu menjadi iktibar kepada penggiat industri tersebut. "Jadi kita minta supaya semua yang terlibat dalam pelancongan ini memastikan SOP keselamatan dipatuhi agar insiden seumpama itu tidak berulang dengan memeberikan perkhidmatan yang tebraik bagi memastikan industri ini terus maju. "Ini merupakan 'industri kita bersama' jadi masing-masing perlu ambil peranan dan perhatian, kerajaan akan mengambil perjalanan melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan memastikan pakej pelancongan yang ditawarkan memberikan keselesaan dan selamat kepada mereka yang bertandang ke negeri ini. "Kalu semua dapat mengambil tanggungjawab insya-Allah kita yakin sasaran untuk mencapai 4.5 juta pelancong pada tahun ini akan dapat dicapai,"katanya.  
27 May 24
162
Parti Liar : Exco Bidas Kenyataan Semberono Ahli Parlimen DAP
Parti Liar : Exco Bidas Kenyataan Semberono Ahli Parlimen DAP
KUALA TERENGGANU, 26 Mei - Kerajaan negeri membidas kenyataan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen DAP dari Kepong yang mengatakan tindakan Terengganu mengenakan kompaun kepada penganjur parti liar sebagai tak masuk akal. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan  Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, kompaun RM25,000 itu tidak menjejaskan sektor pelancongan di Terengganu sebaliknya ia menjadi pengajaran buat pihak yang melanggar peraturan. Katanya, sangat tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa tindakan itu sebagai langkah ke belakang kepada industri pelancongan tempatan. "Hanya kerana sebilangan kecil yang tidak memahami atau mengikut peraturan, adakah adil untuk mengatakan ia memberikan tamparan hebat kepada industri pelancongan tempatan?. "Usahlah 'serkap jarang' nanti tersalah malunya besar, berkata biarlah berfakta, jangan hanya hendak mencari modal politik murahan untuk menjana populariti," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Muhammad Khalil berkata semua sedar pelancongan adalah salah satu industri penting yang memacu ekonomi negeri, kerana itu pelbagai inisiatif, pembangunan dan kemudahan diperkasakan bagi menarik kedatangan pelancong. "Namun begitu, kerajaan negeri telah mentapkan garis panduan serta peraturan yang mesti dipatuhi oleh semua pihak sama ada pemain industri mahupun pelancong seiring dengan pentadbiran kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai dasar. "Pemain sektor pelancongan yang berkualiti mampu menjamin kemampanan industri yang berpotensi besar ini dalam jangka masa yang panjang," ujarnya. Justeru tegasnya, dengan kepelbagaian produk yang menjadi daya tarikan dalam negeri Terengganu adalah tidak munasabah dengan hukuman tegas akan mengkibatkan kedatangan pelancong merosot hanya kerana parti liar persendirian seumpana itu dihalang penganjurannya. "Terengganu sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia khususnya keindahan pulau-pulau di perairannya dan alam semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna. "Terengganu terjual kerana keindahnnya, alam semulajadinya, kebudayaan dan masyarakatnya, Eloklah dikekalkan begitu, semoga rezekinya berkat dan dilimpahi rahmat Allah SWT," katanya. Terdahulu, kenyataan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menegur kerajaan Terengganu kerana mengenakan denda RM25,000 kepada resort swasta di Pulau Lang Tengah. Ujar Ahli Parlimen Kerajaan Persekutuan itu, tindakan tersebut tidak masuk akal dan boleh menyumbang kepada kemerosotan industri pelancongan negara
26 May 24
658
2.4 Juta Benih Ikan Dilepaskan di Tasik Kenyir
2.4 Juta Benih Ikan Dilepaskan di Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU, 22 Mei- Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu (Perikanan) telah melepaskan sebanyak 2.4 juta benih ikan asli di Tasik Kenyir sejak tahun 2020 hingga 2023. Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, pelaksanaan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan di bawah Program Pengayaan Sumber Perikanan Darat Negeri Terengganu itu dianggarkan bernilai RM1 juta sepanjang tempoh berkenaan. "Untuk tahun ini, kita telah melepaskan 250,000 ekor benih ikan dan masih ada lagi beberapa sungai dalam progam pengayaan sumber perikanan darat yang akan dilaksanakan. Ruzaidi menunjukkan benih ikan yang dilepaskan kepada Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Sean Keong. "Lokasinya adalah sungai-sungai utama yang menjadi tumpuan aktiviti nelayan darat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pelepasan Benih Ikan di Sungai Cacing, Tasik Kenyir, semalam. Program berkenaan diadakan sempena pembukaan Sungai Cacing bagi aktiviti memancing oleh Taman Negara Terengganu dan Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu. Tambah beliau, pihaknya akan berusaha mencapai sasaran pelepasan 350 ribu benih ikan sebagaimana dirancang pada tahun ini. "Hasil program ini kita telah lihat dalam tempoh setahun dua ini, berlaku peningkatan pendaratan hasil perikanan yang direkodkan nelayan darat kita. "Tahun lepas, kita berjaya mendaratkan 190 tan metrik berbanding 160 tan metrik pada tahun sebelumnya," katanya. Dalam pada itu, Ruzaidi turut mengharapkan kerjasama orang ramai bagi mengekalkan kelestarian sumber perikanan darat negeri dengan mengelakkan penggunaan kaedah terlarang ketika menangkap ikan. "Nasihat kita, supaya jangan menangkap ikan dengan kaedah terlarang terutama menggunakan peralatan elektrik, senapang ikam dan sebagainya. "Aktiviti ini boleh menjadikan kepupusan sumber ikan sangat ketara. Selain itu, berdasarkan Kaedah Perikanan Sungai 1988, sebarang aktiviti menangkap ikan secara terlarang boleh dikenakan tindakan sewajarnya," ujarnya.                
23 May 24
386
Wahai Kaki Pancing! Sungai Cacing Kini Dibuka
Wahai Kaki Pancing! Sungai Cacing Kini Dibuka
HULU TERENGGANU, 23 Mei - Lokasi idaman para penggemar aktiviti memancing di Tasik Kenyir iaitu Sungai Cacing telah dibuka kepada umum, bermula minggu ini. Sungai Cacing, salah satu dari empat sungai yang terletak dalam kawasan Taman Negara Terengganu menjadi lokasi yang diimpikan pemancing tegar. Menurut Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abd Aziz Abd Rahim, pembukaan sungai berkenaan sememangnya dinantikan oleh kaki-kaki pancing terutama yang ' mesra' dengan Tasik Kenyir. "Sungai Cacing memang dari dulu terkenal di mana ia memiliki spesies berharga seperti Kelah yang menjadi tarikan pemancing. "Mereka memang menunggu pengumuman ini dan berita ini akan menarik kaki-kaki pancing untuk berkunjung. "Kami akan menghebahkan kepada pengusaha dan pengunjung cuma, apabila ingin masuk ke sini perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak Taman Negara Terengganu dan Perhilitan seperti membeli permit memancing dan sebagainya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Sungai Cacing, semalam. Tambahnya, para penggiat pelancongan di tasik Kenyir juga akan bekerjasama dalam peraturan yang telah ditetapkan Perhilitan dipatuhi pengunjung dalam usaha mengekalkan kelestarian khazanah alam di sungai berkenaan. Salah seorang pengusaha bot di Tasik Kenyir, Sulong Mustafa pula amat berterima kasih kepada pihak Taman Negara Terengganu Perhilitan kerana membenarkan pembukaan Sungai Cacing untuk aktiviti memancing. "Paling tidak, kami boleh mempromosikan produk ini kepada pengunjung," katanya. Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu turut menyokong usaha tersebut dengan melepaskan 20,000 benih ikan asli ke sungai berkenaan. Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berharap usaha dilakukan dapat meningkatkan sumber ikan asli di Terengganu khususnya di Sungai Cacing, disamping menambah kepelbagaian sumber perikanan darat dalam negara. "Kita telah melepaskan benih ikan asli terdiri daripada ikan Terbul dan Lampam. "Semoga program pengayaan sumber perikanan darat ini akan dapat menarik lebih ramai pelancong dan pelbagai aktiviti di sini," katanya. Sebagai makluman, bagi pengunjung yang berminat untuk menjelajahi Sungai Cacing, kos permit untuk masuk bernilai seringgit dikenakan bagi tempoh masa 8.00 pagi sehingga 5.00 petang kerana ia terletak di dalam Taman Negara Terengganu. Manakala, permit kamera bernilai RM5 dan permit pancing sebanyak RM10 bagi satu joran.
23 May 24
471
35 Pelayar Antarabangsa Berlabuh di Kuala Terengganu
35 Pelayar Antarabangsa Berlabuh di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - 35 pelayar dari pelbagai pelosok negara yang kini berlabuh di Terengganu sempena program 'Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024' menjadi sandaran kerajaan negeri bagi memperkenalkan Terengganu sebagai sebuah negeri yang hebat di mata dunia. Timbalan Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, menjadi sejarah buat para pelayar dari Australia, Amerika Syarikat, Hong Kong, Switzerland, New Zealand dan Hong Kong yang berpeluang melihat keindahan Terengganu. Ujarnya, sebanyak 14 perahu layar berlabuh di Terengganu bermula 19 Mei hingga 2 Jun 2024. "Kita mengharapkan kehadiran mereka ini mampu memberi pulangan ekonomi yang berimpak tinggi di samping mengharapkan mereka akan menjadi sebagai duta atau 'influencer' yang akan memperkenalkan Terengganu di persada antarabangsa. "KIta (juga) mengharapkan mereka mampu memberitahu dan menceritakan kebaikan dan keindahan yang ada supaya mereka akan kenang dan ingat bahawa tempat yang menarik adalah Terengganu yang selalu disebut sebuah negeri yang cantik, budaya menarik dan orangnya baik-baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Sambutan Pelayar Antarabangsa sempena program 'Sail Malaysia Passage To The East Yacht Rally' di Jeti Marina Garden, Duyong Marina Pulau Duyong, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Mengulas lebih lanjut, Sulaiman berkata sepanjang berada di Kuala Terengganu pihak JPNT akan mengambil peluang sebaiknya untuk membawa para pelayar mengenali lebih dekat budaya, adat tradisi dan merasai sendiri keenakan masakan tradisional negeri ini. "Saya dimaklumkan esok mereka akan ke Noor Arfa Batik kerana mereka dikatakan cukup berminat dengan batik Terengganu. "Selain itu mereka akan ke tempat Pembuatan Bot di Pulau Rusa, Kampung Budaya Terengganu, muzium negeri, makan tengah hari di Kampung Cina, tempat pembuatan keropok di Losong dan perkampungan rumah-rumah lama," ujarnya. Untuk rekod, pelayar termuda yang menyertai program ini ialah Sawyer Anderson berusia tiga tahun serta paling tua ialah Larry Green yang berusia 83 tahun, antara peserta yang menyertai pelayaran selama 15 hari di Terengganu.  
21 May 24
3196
Qubaz Suites Bakal Lonjak Sektor Pelancongan Terengganu
Qubaz Suites Bakal Lonjak Sektor Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Usaha kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membangunkan projek Qubaz Suites@Kuala Terengganu menjanjikan potensi besar dalam merancakkan lagi pembangunan bandar sekali gus melonjakkan sektor pelancongan dan sosiol ekonomi penduduk negeri ini. Projek usaha sama antara MBKT dan pemaju hartanah, Exsim Development Sdn Bhd itu melibatkan pembangungan pangsapuri di atas tanah berkeluasan 5,868 meter persegi di pusat bandar raya ini dengan tempoh pembinaan selama 48 bulan. Pada awalnya tapak tersebut menempatkan premis perniagaan milik MBKT yang disewakan, namun melihat kepada keadaan fizikal bangunan yang semakin uzur, kerajaan memikirkan perlunya pembaharuan dibuat bagi memajukan lagi kawasan itu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaburan projek tersebut melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM278.1 juta manakala Kos Pembangunan Kasar (GDC) berjumlah RM178 juta. “Projek Qubaz Suites@Kuala Terengganu menawarkan tiga jenis pilihan rumah iaitu jenis studio dengan keluasan 388 kaki persegi (184 unit), jenis dua bilik dengan keluasan 506 kaki persegi (552 unit) dan jenis tiga bilik dengan keluasan 753 kaki persegi (23 unit). “Jumlah keseluruhan adalah 759 unit dan harga jualan yang ditawarkan bermula dari RM379,500 sehingga RM720,100 seunit,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah sempena Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pangsapuri Perkhidmatan 30 Tingkat (Qubaz Suites@Kuala Terengganu) di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, matlamat utama kerajaan negeri membangunkan Qubaz Suites @ Kuala Terengganu adalah untuk menggerakkan ekonomi bandar melalui sektor pelancongan. “Pelaksanaan projek berkonsepkan 'Airbnb' yang mempunyai 759 unit penginapan ini akan menawarkan kualiti penginapan selesa kepada pelancong.  “Saya yakin projek ini akan menjadi pilihan kepada para pelancong kerana lokasinya berada di dalam ‘tourism belt’ Bandaraya Kuala Terengganu dan berdekatan dengan Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Warisan, drawbridge dan produk-produk pelancongan lain,” ujarnya. Selain itu jelas beliau, objektifnya juga adalah untuk meningkatkan jumlah pegangan hartanah bumiputera di dalam bandar. “Kerajaan Negeri telah meletakkan syarat kuota bumiputera di dalam projek ini adalah tidak kurang daripada 70 peratus daripada jumlah unit yang dibina.  “Pelaksanaan projek yang berkonsepkan "Airbnb' ini akan menjana ‘passive income’ kepada pembeli dan seterusnya meningkatkan pendapatan bumiputera,” jelasnya. Sementara itu, ia turut bertujuan untuk meningkatkan pendapatan MBKT. “Melalui pembangunan secara usahasama ini, MBKT akan mendapat pulangan sebanyak RM22.5 juta dalam bentuk tunai dan pemilikan hartanah di Qubaz Suites. “Setelah projek ini siap dan beroperasi, MBKT dijangka akan menambahkan pendapatan sebanyak RM1 juta setahun melalui cukai pintu, bayaran lesen dan bayaran-bayaran per unit.  “Melalui peningkatan pendapatan ini, sudah tentu MBKT akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” ujarnya. 
21 May 24
2691
Pulau Kekabu Jadi Tumpuan Peniaga Kecil
Pulau Kekabu Jadi Tumpuan Peniaga Kecil
MARANG,8 Mei  -Pulau Kekabu yang terletak hanya beberapa minit dari Jeti Marang untuk ke Pulau Kapas yang menjadi tarikan pelancong kini turut menjadi tumpuan para peniaga kecil mencari rezeki. Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga kecil Daerah Marang, Zakaria Ngah berkata prasarana di sekitar Pantai Pulau Kekabu itu sangat memuaskan dengan mempunyai 39 tapak petak untuk para peniaga. "Dapat dilihat peningkatan para pengunjung lebih-lebih lagi pada cuti persekolahan dan hujung minggu “Suasana yang sangat padat, menjadikan suasana lagi meriah dan kebanyakkan pelancong datang dari luar negeri  serta ada yang berkhemah di pantai ini menikmati keindahan malam Pulau Kekabu. "Ia memberi peluang yang sangat baik untuk para peniaga meraih pendapatan yang sangat baik dan harga barang jualan masih dapat dijual dengan harga yang berpatutan bagi menarik lebih ramai pelancong untuk datang," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Persatuan Kebajikan dan Peniaga Kecil Daerah Marang, di sini, semalam. Turut hadir, Pegawai Khas Adun Rhu Rendang, Ustaz Najmuddin Rani ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Marang. Zakaria berkata kawasan berkenaan berpotensi untuk bertambah maju di masa akan datang. "Adalah menjadi hasrat agar kawasan ini dapat membangun lagi dan pihak kerajaan dapat meluaskan lagi tempat letak kereta dan kawasan meniaga supaya tidak berlaku kesesakan di pantai ini. "Dari sudut kebersihan pihak kami sangat berterima kasih kepada pihak kontraktor pembersih yang sentiasa mengambil berat tentang keindahan pantai ini yang selama ini menjadi hasrat kerajaan bagi memastikan pantai di Terengganu sentiasa bersih. "Begitu juga dengan tandas yang sangat memuaskan tahap kebersihannya bagi kemudahan orang ramai," ujarnya. Dalam pada itu katanya, melalui Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Marang yang ditubuhkan pada tahun 2021 sangat menjamin kebajikan para peniaga terutama ketika menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu serta berhadapan musibah yang tidak dijangka.        
08 May 24
1252
Berbaki Seminggu Lagi Peluang Rakyat Terengganu Meriahkan Pesta Cahaya
Berbaki Seminggu Lagi Peluang Rakyat Terengganu Meriahkan Pesta Cahaya
KUALA NERUS, 4 Mei - Rakyat Terengganu masih lagi berpeluang menikmati keindahan dan keunikan pesta cahaya Luna Light Wonderland, di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (belakang Stadium Tertutup) sehingga hujung minggu ini.  Pengasasnya, Mark Tan memaklumkan pesta cahaya yang diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyajikan lebih 1.3 juta lampu LED di kawasan seluas lapan ekar itu akan beroperasi sehingga 12 Mei ini, sebelum bergerak ke Kuala Lumpur dan Pekan, Pahang sebagai lokasi seterusnya. "Di sini, kita sediakan lima tema hiasan lampu iaitu tema Animal Kingdom, Vision Ocean, Aquatic, Romance, LUNA Aerospace, Mystery Forest, Aurora Lights dan Main Mascot Luna yang mula dibuka pada hari raya ketiga lalu. Setakat ini, kami menerima reaksi yang baik dan kunjungan setiap hari mampu mencecah sehingga 4,000 pengunjung. "Cuaca semasa ketika ini agak baik untuk pengunjung menikmati keunikan Luna Light Wonderland bermula jam 7.00 petang hingga 12.00 malam dengan bayaran serendah RM15 bagi dewasa, RM8 (kanak-kanak) dan pengecualian bayaran bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya. Tarikan pelancongan yang 'berkunjung' ke Terengganu ini katanya, seharusnya dilawati rakyat Terengganu kerana ia memegang rekod The Malaysia Book of Record, Penganjuran Pesta Cahaya Terbesar di Malaysia bagi tahun 2023. Selain itu, Luna LIght Wonderland turut memegang rekod Penganjuran Pesta Cahaya di Taman Tema Air (Melaka) sebelum ini.        
04 May 24
3410