lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

‘Usikan’ Motosikal Klasik dan Retro Kini di Muzium Negeri
‘Usikan’ Motosikal Klasik dan Retro Kini di Muzium Negeri
KUALA  TERENGGANU, 31 Julai - Lebih 40 buah motosikal klasik dan retro menjadi perhatian orang ramai serta pengunjung pada Pameran Muto dan Kenangan 2024 yang berlangsung di Dewan Mandalika dan Ruang Foyer, Kompleks Muzium Negeri Terengganu bermula 1 Julai sehingga 31 September ini. Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, antara yang mendapat perhatian pengunjung, sebuah motosikal klasik paling lama dan bernilai tinggi iaitu harley davidson model 1916 C  yang kini mencecah nilaian lebih RM150,000. Katanya, pameran itu diadakan bertujuan mengimbau nostalgia permotoran di Malaysia dengan suntikan nilai-nilai sentimental dalam budaya bermotosikal. “Motosikal klasik dan retro menjadi tunjang koleksi serta foto-foto lama bakal mengembalikan pengalaman bersama dari pelbagai aspek budaya motosikal dalam kehidupan. "Ia sekali gus memberi pendidikan kepada generasi baharu khusus dalam aspek keselamatan dan perundangan di jalan raya," katanya ketika ditemui sempena pameran Muto & Kenangan di sini semalam. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dan menyokong penuh  penganjuran-penganjuran seperti itu yang menyumbang kepada peratusan kehadiran pelancong ke Terengganu. “Kompleks Muzium ini  merupakan salah satu destinasi ‘patut lawat’ para pelancong jika berkunjung ke negeri ini. “Justeru itu, saya berharap pihak muzium  dan lain-lain agensi pelancongan  sentiasa bersiap siaga menyajikan program-program yang kreatif, inovatif serta dapat  memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat,”ujar beliau.  
31 Jul 24
255
Terengganu Rekod 5.2 Juta Pelancong, Lepasi Sasaran
Terengganu Rekod 5.2 Juta Pelancong, Lepasi Sasaran
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Terengganu berjaya menarik kunjungan lebih 5.2 juta pelancong tempatan dan antarabangsa setakat separuh pertama tahun 2024, melebihi sasaran awal 4.5 juta pelancong. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata,  kejayaan tersebut diraih hasil pelbagai inisiatif yang dilakukan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Menurutnya, pelbagai indikator digunakan untuk merekodkan kehadiran pengunjung dan pelancong yang datang ke negeri ini. "Sebanyak 861,282 ribu jumlah kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan utama bertiket dan 538,691 pengunjung tidak bertiket bagi setiap daerah sejak Januari hingga Jun 2024. "Anggaran jumlah pelancong yang menginap di hotel, resort dan lain-lain  sehingga Jun merekodkan 318,067 ribu dan jumlah ini tidak termasuk pelancong yang menginap di homestay yang tidak berdaftar. "Dan bagi kemasukan pelancong melalui pintu masuk utama ke negeri Terengganu iaitu Lebuhraya Pantai Timur 2, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Pulau Redang merekodkan kehadiran pelancong lebih 5 juta orang," katanya kepada pemberita. Menurut Razali, pihaknya juga membuat anggaran jumlah berdasarkan pertindihan data pelancong melalui LPT2 . "Daripada keseluruhan jumlah data pengguna LPT2 sebanyak 5,577,063 juta, kita menolak sebanyak 50 peratus dengan mengambil kira laluan kerja dalam Terengganu, laluan transit untuk ke Kelantan dan lain-lain,"ujarnya lagi. Tambah beliau, perancangan kerajaan negeri dalam acara-acara pelancongan dan  penglibatan Jabatan Pelancongan telah menunjukkan berjaya mempromosikan Terengganu. "Terengganu International Bike Week 2024 (TIBW), Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, 'Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024' dan Scooterian Mega Gathering 2.0 menjadi antara acara yang berjaya menarik ramai pelancong ke negeri ini,"katanya.  
30 Jul 24
403
Kolam La Hot Spring Akan Diasingkan Jantina Tahun Depan
Kolam La Hot Spring Akan Diasingkan Jantina Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Pengasingan pengunjung wanita dan lelaki di kolam air panas semulajadi La Hot Spring di Hulu Besut akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada awal tahun depan dengan peruntukan antara RM30,000 hingga RM50,000. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, perkara itu sedang  dipertimbangkan secara serius agar pengasingan kolam lelaki dan wanita di La Hot Spring ini dapat dilakukan segera. "Sudah tentulah, kita ambil kira kemudahan infrastruktur dan prasarana sedia ada demi mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk pengunjung ke kolam air panas semula jadi tersebut. "Kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Besut akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha dan penduduk setempat untuk mendapatkan cadangan terbaik untuk melaksanakan usaha tersebut," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Husaimi Hussin (Hulu Besut) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan lokasi tersebut sebagai destinasi pelancongan terkenal di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini. Katanya lagi, cadangan untuk melaksanakan pengasingan kolam air panas lelaki dan wanita akan turut mengambil kira faktor infra sedia ada di kawasan La Hot Spring tersebut.  "Ketika ini, kolam air panas itu menerima limpahan pengunjung setiap hari kerana khasiatnya yang terbukti untuk kesihatan manusia. "Namun situasi itu tidak 'manis' kerana percampuran lelaki dan wanita di kawasan kolam air panas yang agak sempit sebab itu kita nak asingkannya," ujar beliau. Kolam Air Panas yang berada di Kampung La atau lebih dikenali sebagai La Hot Spring itu terletak kira-kira 125 kilometer (km) dari Kuala Terengganu. 
29 Jul 24
674
Primula Raih Anugerah 'Hotel Amalan Lestari Terbaik 2024'
Primula Raih Anugerah 'Hotel Amalan Lestari Terbaik 2024'
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Primula Beach Hotel yang popular dengan lokasi penginapan pelancongan di negeri ini membuktikan kualiti yang ditawarkan mereka menerusi kemenangan 'Hotel Amalan Lestari Terbaik' di Anugerah Industri Pelancongan 2024 di Royale Chulan Kuala Lumpur. Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata pengiktirafan itu berdasarkan  komitmen teguh Primula Beach Hotel terhadap kelestarian dan usaha inovatifnya dalam mempromosikan amalan mesra alam dalam industri perhotelan. Katanya, pihak mereka sentiasa  komited untuk menetapkan penanda aras dalam hospitaliti lestari dan menginspirasi orang lain dalam industri untuk mengamalkan amalan hijau. "Sejak tahun 2021, Primula Beach Hotel telah bekerjasama dengan TNB GSPARX untuk menggunakan sistem tenaga suria, mengurangkan jejak karbon hotel dengan ketara dan mempromosikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.  "Primula Beach Hotel  menganjurkan acara-acara hijau seperti Beach Run Primula Eco Green pada Februari 2024, sebuah acara yang promosikan kesedaran kesihatan dan alam sekitar,"ujarnya dalam satu kenyataan. Suaibah juga berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk inisiatif "Bring Our  Turtle Back" pada tahun 2022 dan 2023. "Ia bertujuan melindungi dan memulihkan penyu, serta memelihara kehidupan marin,"ujarnya. Tambah beliau,  bagi memastikan hasil tani yang segar dan lestari untuk para tetamu, Primula Beach Hotel menanam sayur-sayuran menggunakan teknik hidroponik dan fertigasi. Selain itu katanya, pihak hotel juga telah melaksanakan program kitar semula dalam pembuatan sendiri sabun menggunakan minyak masak terpakai.  Menurut Suaibah lagi, inisiatif baru yang diperkenalkan pertengahan tahun 2024 iaitu pengkomposan sisa makanan, menukar sisa organik kepada baja yang berharga. "Hasilnya ia berjaya meningkatkan kesihatan tanah dan kurangkan sisa yang dibuang ke tapak pelupusan," ujarnya.  
27 Jul 24
564
Pemecah Ombak Merchang Bakal Rancakkan Eko Pelancongan
Pemecah Ombak Merchang Bakal Rancakkan Eko Pelancongan
MARANG, 16 Julai - Penduduk Merchang digesa mengambil peluang apabila pemecah ombak sungai Merchang siap dibina dan dijangka akan merancakkan lagi eko pelancongan di kawasan terbabit. Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Sulaiman Sulong berkata peluang tersebut perlu direbut kerana  ia akan mendatangkan limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan, "Saya marah kalau orang sini tidak ambik peluang (contohnya )Merchang Glamping Park sentiasa menerima kehadiran penuh tiap-tiap minggu sehinggakan lot kedai yang sedang dibina pun sudah habis ditempah. “Sesiapa ada tanah, buatlah Homestay disini," ujarnya di program Bicara Maal Hijrah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di Masjid Lama Merchang, di sini, baru-baru ini. Terdahulu, Sulaiman berkata pemecah ombak sedang dibina di muara Merchang itu bertujuan bagi mengatasi masalah air cetek, sehingga menyebabkan aktiviti pelayaran terpaksa dihadkan. “Namun selepas masalah tersebut berjaya diselesaikan, kita akan melihat kembali kesibukan keluar masuk bot di muara sungai ini", ujarnya.  
16 Jul 24
455
15 Negara 'Terbang' Di Terengganu Hari Ini
15 Negara 'Terbang' Di Terengganu Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 Julai- Sebanyak 15 negara 'berkampung' selama dua hari di Terengganu dalam Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, bermula hari ini. Pegawai Tugas-tugas Khas Persatuan Penggiat dan Pemain Wau Negeri Terengganu, Zulkifli Abd Rani memaklumkan, pameran singkat dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu dari jam 9.00 pagi sehingga 9.00 malam ini. Menurutnya, sekitar 35 peserta dari Indonesia, Thailand, Macau, Hong Kong, China, Poland, Austria, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Ukraine dan Sweden. "Tujuan diadakan pameran ini adalah untuk memeriahkan kembali tradisi wau dan layang-layang di Terengganu. Ikut rekod, kita (pelayang wau) main di luar berjaya jadi orang tertanya-tanya mengapa kita tidak buat di Terengganu sendiri? "Jadi, peluang ini cuba kita ambil dengan menghubungi Majlis Pelayang Malaysia yang baru selesai pameran di Kelantan untuk program ini, dataran ini pula dilihat sebagai tapak yang sesuai dan menawarkan nilai pelancongan yang lebih baik. "Seingat saya, pameran atau pertandingan sebesar ini sudah lebih 10 tahun tidak diadakan. Dengan langkah pertama ini, secara umumnya kita hendak membantu negeri menarik lebih ramai pelancong ke sini selain berhasrat mengadakan semula pertandingan hingga ke peringkat antarabangsa," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, hari ini. Tambah Zulkifli, malam ini pengunjung akan disajikan wau yang dihiasi kerlipan cahaya sebagai keunikan yang diketengahkan dalam pesta-pesta wau dan layang-layang. Dalam pada itu, wakil Komunitas Pencinta Layang-layang Nusantara Talikama Lianawati Lea menyifatkan Terengganu memiliki potensi untuk pertandingan dan pameran layang-layang gergasi terutama di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu. "Ini kali pertama saya ke Terengganu, sebelum ini saya sering 'menerbangkan' layang-layang di Kelantan, Sarawak dan Johor. "Festival ini bagus kepada pelancongan setempat, sebagai contoh penganjuran festival layang-layang yang diadakan Jogjakarta tahun lalu berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung," katanya.           
01 Jul 24
8261
Pelancong 'Makin Laju' Ke Terengganu
Pelancong 'Makin Laju' Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Jun- Suku pertama tahun 2024 merekodkan lebih 1.5 juta pengunjung dan pelancong bertandang ke negeri Terengganu, melebihi sasaran awal ditetapkan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT). Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris yakin, perkembangan itu membolehkan Terengganu mencapai sasaran kehadiran 4.5 juta pelancong menjelang hujung tahun ini. "Pada suku pertama, saya melihat ia (kehadiran pengunjung) agak 'laju' ke depan, lebih sedikit daripada 1.5 juta. "Pelancong ini ada dua kategori, satu dipanggil pelancong iaitu yang bermalam dan pengunjung bagi individu yang datang secara 'day trip'. Bagi pelancong, masih laig tidak seperti kita jangka tetapi ramai yang masuk secara 'day trip'. Kedua-dua kategori yang dijumlahkan dan kita telah mencapai sasaran untuk suku pertama. "Cuma untuk separuh tahun ini saya tidak tengok dan kira lagi. Tetapi, saya yakin jika kita tengok (trend) 'Terengganu dok rilek' ini kita akan capai sasaran itu, insya-Allah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Terengganu International Bike Week (TIBW) 2024 di Dataran Shahbandar, petang semalam. Menurutnya, program berkenaan bakal menghimpunkan lebih 3,000 peserta melibatkan 106 kelab motosikal termasuk dari luar negara dengan sasaran kehadiran 15,000 pengunjung pada hujung minggu ini.  TIBW 2024 juga menyajikan kelainan kali ini dengan pelbagai aktiviti serta program menarik sesuai untuk segenap lapisan umur. Kerjasama East Coast Motorcycle Club (ECMC) bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu itu bakal memperagakan pertunjukan dan aktiviti kebudayaan seperti batik dan sebagainya, selain program berunsur keagamaan.      
27 Jun 24
3551
'Dive Against Debris' Bersih 70 Kilogram Sampah di Pulau Perhentian
'Dive Against Debris' Bersih 70 Kilogram Sampah di Pulau Perhentian
BESUT, 22 JUN - Penasihat Program DIVE AGAINST DEBRIS, Zuraidah Atan, kira-kira 150 sukarelawan dan pelancong dari luar negara telah bergotong-royong membersihkan Pulau Perhentian dekat Kuala Besut dan kawasan sekitar melalui program Dive Against Debris (DAD). Dalam program ini, mereka mengumpul sampah di dasar laut dan di pesisir pantai. Pada hari semalam, berjaya dikutip sebanyak 70 kilogram (kg) sampah di Pasir Panjang, Pulau Perhentian.    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut Azbi Salleh, usaha itu akan memastikan pulau tersebut akan terus terjaga akan keindahan serta kebersihannya untuk terus menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara. berkata, "Misi lebih besar kita ialah menjaga ekosistem dan konservasi laut. Di Pulau Perhentian Kecil ini, keindahan laut begitu penting untuk mengekal dan menambah bilangan kehadiran pelancong dari seluruh dunia. "Di sini, adalah salah satu tempat pilihan mereka menyelam. Kita mahu pelancong berkongsi cerita dan berita mengenai keindahan Pulau Perhentian Kecil ini, bila mereka pulang ke negara masing-masing. "Dengan kecangihan teknologi maklumat (IT) hari ini, saya harap program ini dihebohkan atau diviralkan secara meluas ke seluruh dunia. Kita tidak mahu bilangan pelancong terjejas hanya disebabkan kita gagal menjaga kebersihan laut dan pantai di sini," ujarnya ketika berucap merasmikan program berkenaan, di sini, baru-baru ini. "Melalui program ini, saya berharap kegiatan D.A.D dan pembersihan pantai ini akan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang supaya menjaga kebersihan laut dan mewujudkan laut yang bebas daripada sampah sarap. "Daripada penjelasan penyelam, mereka dapati banyak barangan buangan dan sampah sarap di dasar laut kita seperti plastik, pukat, botol, besi, kayu, kasut, dan bermacam-macam lagi. "Oleh itu, kita mesti galakkan generasi hari ini dan bakal generasi akan datang supaya menanam sikap membersihkan laut dan benci kepada kekotoran laut," katanya. "saya memberi jaminan bahawa sekiranya program seperti ini hendak dijalankan lagi, di mana-mana pulau di Terengganu darul Iman ini, saya percaya ia akan mendapat sokongan daripada Jabatan Pelancongan. Kalau hendak diadakan di Besut, Insya-Allah, saya sedia membantu, Kita mahu menjadikan laut di negara ini, khasnya di Terengganu Darul Iman ini sentiasa bersih sama ada pada permukaan atau di dasar laut. Kita berharap nama Malaysia akan berada sebaris dengan beberapa negara lain seperti di Indonesia, Filipina, Maldives, Thailand, Australia dan negara Eropah seperti di England, Sepanyol, Itali, Croatia, dan beberapa negara lain dalam melaksanakan kegiatan D.A.D ini," Ujarnya lagi. Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Besut, selaku peneraju utama program ini bersama SALAM BEST serta semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam program ini. "Syabas dan Tahniah kepada Kenanga Investor Berhadkerana menjadi penaja utama dalam program ini buat kali kedua dalam program DIVE AGAINST DEBRIS (D.A.D) dan pembersihan pantai di Pualau Perhentian. "Dengan sokongan yang diberikan oleh Kenanga Investor, syarikat ternama yang menguruskan kegiatan sekuriti, nasihat pelaburan, perancangan kewangan, dan sebagainya bagi menjayakan program ini. "Terima kasih Kenanga Investor kerana komited untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha menjaga kelestarian alam sekitar di darat dan di laut," katanya lagi. Untuk rekod, DAD merupakan gerakan sains warga bawah air terbesar di dunia yang memerangi pencemaran marin. Sejak 2011, lebih daripada 90,000 penyelam dari seluruh dunia telah menyumbang data mengenai jenis dan jumlah sampah yang dikeluarkan dari persekitaran bawah air. Data ini memainkan peranan penting dalam mengisi jurang maklumat mengenai sampah laut. Kita semua boleh menyertai gerakan ini dengan menjadi penyelam dan menyumbang kepada kebersihan bawah laut.  
22 Jun 24
239
Kemaman Juara Kereta Berhias Terengganu
Kemaman Juara Kereta Berhias Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyampaikan hadiah kepada kenderaan berhias Daerah Kemaman yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun ke-62 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu, semalam. Dalam majlis yang diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu itu, Pejabat Daerah Kemaman membawa pulang hadiah cek cura bernilai RM20,000, piala dan sijil penyertaan. Tempat kedua dimenangi oleh Daerah Besut dengan hadiah berupa cek cura bernilai RM15,000, piala dan sijil. Tempat ketiga diraih Kuala Nerus (RM10,000), manakala Kuala Terengganu (RM5,000) dan Dungun (RM4,000) masing-masing di kedudukan keempat dan kelima. Daerah Marang, Hulu Terengganu dan Setiu pula mendapat hadiah saguhati bernilai RM1,000 dan sijil. Terdahulu, Baginda berangkat tiba diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bersama Puteri Daulath Raja pada jam 9.00 malam. Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Turut sama menyambut keberangkatan tiba ialah Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah dan isteri serta Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri. Pada permulaan majlis, tarian selamat datang 'Menjunjung Duli' dipersembahkan. Sejurus kemudian, sebanyak 16 buah beca berhias bertanding mewakili sebahagian badan korporat dan agensi yang terdapat di Terengganu antaranya INSTEP, Golden Pharos dan Taman Tamadun Islam. Ia diikuti perarakan kereta berhias yang disaksikan lebih 5,000 pengunjung yang turut hadir. Bagi pertandiangan beca berhias, tempat pertama diraih Cas Ligas yang membawa pulang hadiah berupa cek cura RM5,000. Manakala, tempat kedua hingga kelima dimenangi EPIC, TDM, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Ketengah.            
08 Jun 24
3529
Cipta Kenangan di Jambatan Angkat
Cipta Kenangan di Jambatan Angkat
KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Setiap pengunjung atau pelancong yang datang ke Terengganu tidak cukup hanya melalui Jambatan Angkat sebaliknya perlu singgah bagi menikmati dan merasai sendiri pengalaman berada di tempat tinggi dan menyaksikan pemandangan dari tingkat atas mercu tanda negeri Terengganu itu. Rugi seandainya hanya berswafoto di Jambatan Angkat dari luar, kerana didalamnya menyediakan suasana hebat yang pastinya tidak terdapat di tempat lain dalam negara ini. Ketua Pengawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad berkata, orang ramai boleh melawati galeri manakala untuk 'Hydraulic Tour' RM15 bagi kanak-kanak dan RM22 bagi dewasa berpeluang mencipta kenangan yang akan diabadikan sepanjang hayat. "Dua panorama akan dapat disaksikan apabila berada di tingkat atas sama ada melihat ke arah laut ataupun ke arah sungai, adanya lantai kaca yang akan dilalui. "Dimana satunya ditempatkan galeri pameran, manakala di sebelah menara Elysiun dibuka untuk dibuat tempahan untuk makan, mesyuarat dan juga perkahwinan dengan menyediakan pakej hebat pada harga yang berpatutan. "'Hydraulic Tour' pula menyediakan kenangan serta pengalaman yang akan sentiasa dikenang sepanjang hayat, dimana pengunjung akan berpeluang melihat sendiri dan mendapat penerangan tetang operasi jambatan dan sistem yang digunakan serta akan berada di 'Pilecap' tingkat bawah dalam suasana berada tengah sungai," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini. Ujarnya, sejak ia mula dibuka hingga kini, jumlah kehadiran pengunjung setiap tahun adalah seramai 100,000 yang memberikan maklum balas yang sangat baik. "Pada tahun ini serta tahun seterusnya kita menyasarkan pertambahan pengunjung melalui beberapa strategi yang akan dilakukan bagi memeriahkannya lagi antaranya ialah akan membuka kafetaria yang kini sedang dalam perbincangan dengan 'vendor' untuk dibuka di dataran tepi sungai dan akan mempelbagaikan lagi produk. "Dalam bulan Jun ini juga kita akan buka permainan yang akan menggunakan sistem 'virtual reality' yang akan ditempatkan di tingkat dua galeri. "Kita berharap agar pengunjung dari dalam Terengganu ataupun luar supaya datang ke Terengganu sila naik ke tingkat atas ini bukan lalu sahaja untuk cipta kenangan lebih indah untuk dibadikan kerana keunikan yang ada di sini tidak akan diperolehi di tempat lain," ujarnya. Katanya waktu yang dibuka pada setiap hari biasa adalah jam 10 pagi hingga 7 malam pada hari cuti pula akan berlarutan sehingga jam 10 malam.  
02 Jun 24
3694