Artikel "Pelancongan" Terkini
Aksi 'Orang Terbang' Tawan Jambatan Angkat
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu yang menutup tirai pagi semalam berjaya menarik kehadiran sekitar 20,000 pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran seramai itu bagi acara yang julung kali diadakan merupakan satu respon positif terhadap penganjuran tersebut.
"Terima kasih urusetia program yang mana saya difahamkan ada penglibatan 26 peserta seluruh negara selama tiga hari. Tentulah kita pertama kali menganjur, kita tidak dapat lihat sebegitu ramai pengunjung, tetapi sebagai (acara) pemula memang Terengganu sesuai.
"Kita teruja dan sebagai kerajaan negeri, kita memang mahu program-program luar biasa yang memeberi cabaran kepada anak-anak muda Terengganu sebenarnya dan untuk warga negeri dapat lihat apa itu paramotor.
"Insya-Allah kita cuba cadang supaya program ini dimasukkan dalam Calendar of Event (COE) Terengganu dan diadakan sekitar bulan Mei dan Jun. Inilah percubaan kita dan insya-Allah akan 'move foward' dalam membuka lagi ruang-ruang untuk buat kejohanan bertaraf antarabangsa di sini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri kejohanan berkenaan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama ialah Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Mazshida Ruslal, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadhli Jusoh dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Dr. Nasree Najmi.
Mereka diraikan wakil Malaysian Sport Aviation Feredation (MSAF), Aliyah Ihsan dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah TImur, Mohd Azizul Arif Yahaya.
Berlangsung selama tiga hari, seramai 26 peserta seluruh negara mengambil bahagian dalam dua kategori dipertandingkan iaitu Trike Launch dan Foot Launch.
Bagi Trike Launch, peluncur Hanizamal Abu Hanifah yang terkenal di media sosial sebagai Solo Ambush mengungguli tempat pertama dan membawa pulang pingat beserta hadiah wang tunai bernilai RM1,500.
Manakala, kategori Foot Launch pula dimenangi peluncur berusia 17 tahun, Muhammad Adib Humaidi Muhammad Alias yang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan pingat.
07 Oct 24
1334
Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud Kembali?
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM), satu acara ikonik yang melatari bandar Kuala Terengganu dikhabarkan akan kembali diadakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris ketika ditanya tentangnya memaklumkan, beliau mengambil cakna tentang acara berkenaan.
"LAJSM? Dalam perhatian saya dan kita jangka kebarangkalian akan dianjurkan dalam musim monsun, tetapi saya sedang berbincang dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang hendak menganjurkannya, kerana kerajaan negeri tidak terlibat dengan penganjuran secara khusus tetapi kita hanya pembimbing sisi sahaja.
"Kita hendak orang yang ada roh untuk menjayakan satu-satu acara, kita boleh setuju tetapi jika kita tidak terperinci sebaliknya orang (penganjur) hanya untuk dapatkan bajet, kita tidak berminat.
"Ramai yang minta untuk dipullihkan dan saya memang hendak pulihkan, saya hendak cuba jika sempat tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam.
Tambahnya, terdapat dua acara larian yang dicadangkan iaitu LAJSM dan Larian Drawbridge.
"Tetapi saya rasa tahun ini kita akan buat satu dahulu, kalau LAJSM itu masih ada sejarah dan pelari-pelari masih mahukan, kita akan usahakan yang itu dahululah," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di laman Facebook LAJSM mendapati hantaran terakhir di laman itu adalah pada tahun 2023, berkenaan operasi pemulangan semula bayaran kepada peserta LAJSM 202 yang dibatalkan akibat pandemik COVID -19.
06 Oct 24
2529
Musim Tengkujuh Pun Terengganu Dok Rilek!
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Walaupun semakin menghampiri musim Monsun Timur Laut (MTL) atau tengkujuh, Terengganu terus giat mengadakan program-program pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri pantai timur itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, terdapat beberapa acara utama yang menarik bakal dilangsungkan sepanjang musim MTL kali ini.
"Masih ada tiga bulan lagi sebelum MTL, acara kita lebih menghala kepada 'monsoon challenge' tetapi bukan di laut sebaliknya kita bertumpu ke Tasik Kenyir antaranya menerusi Monsoon Casting Tournament (MCT) untuk peminat kayak, kita juga ada 4x4 Rainforest Challenge untuk peminat pacuan empat roda, Kejohanan Motocross (Kemaman) dan sebagainya. tu yang kita beri tumpuan ketika MTL.
"Selain itu, walaupun kerajaan negeri tidak pernah memberi arahan khusus untuk menutup pulau-pulau, saya dapat lihat pengusaha sendiri yang mengambil pendekatan merendahkan (mengurangkan) operasi.
"Bukan (atas) faktor kerugian tetapi, dalam tempoh beberapa bulan inilah mereka mempromosikan chalet-chalet, resort mereka ke luar negara, bot-bot itu pula mereka baiki. Itulah tradisinya yang saya lihat di Terengganu dalam tempoh tiga bulan MTL," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam.
Kejohanan tersebut disertai 26 peserta dari seluruh negara melibatkan dua kategori pertandingan iaitu Trike Launch dan Foot Launch.
Dalam pada itu, Razali memaklumkan musim tengkujuh di Terengganu semakin menjadi tumpuan pelancong dengan pengisian program-program seperti Terengganu Watersport Festival dan International Golden Monsoon Ride yang sering diadakan pada hujung tahun.
"Sebenarnya, sudah bermula (musim tengkujuh) di mana hotel-hotel sudah mula beri diskaun yang tinggi untuk menarik pelancong dan puncaknya saya rasa pada hujung bulan ini, awal November sehingga Januari nanti," ujarnya.
06 Oct 24
4309
MAH Terengganu Sedia Toleransi Dalam Isu Daftar Masuk dan Keluar Hotel
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu menafikan terdapat sesetengah hotel di negeri ini yang berdaftar di bawahnya terlibat dengan dakwaan menetapkan masa daftar masuk lewat dan daftar keluar awal seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Pengerusinya, Suaibah Harun, berkata namun begitu MAH tetap ambil maklum isu yang sedang tular di media sosial berhubung waktu daftar dan keluar industri perhotelan di Terengganu.
Menurutnya, terdapat 181 buah hotel dan resort berdaftar di Terengganu dan 36 buah daripadanya berdaftar dengan MAH.
"Setakat ini waktu daftar masuk premis hotel di negeri ini masih mengikut operasi yang ditetapkan iaitu bermula jam 2 hingga 3 petang dan keluar pada jam 12 tengah hari.
"Kami sedaya upaya memberikan yang terbaik dalam memastikan industri perhotelan di Terengganu terus kekal kompetitif dan mesra pelanggan.
"Matlamat kami pelanggan sentiasa berpuas hati dengan khidmat yang diberikan termasuk sedia bertoleransi sekiranya ada dalam kalangan mereka yang memerlukan daftar masuk lebih awal dan daftar keluar lebih lewat atas sebab-sebab tertentu," katanya kepada pemberita.
Dalam masa sama, Suaibah menasihatkan orang ramai sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan hotel sebelum membuat tempahan.
"Langkah ini (membaca dan memahami terma syarat) penting bagi mengelakkan berlaku salah faham atau ketidakpuasan hati terutamanya berkaitan penentuan harga serta perkhidmatan yang disediakan.
Terdahulu, minggu lepas tular tindakan sesetengah hotel yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula jam 4 petang dan keluar pada jam 11 pagi.
Perkara itu mencetuskan perbincangan warga maya yang rata-ratanya merasakan tidak adil untuk pelanggan kerana tempoh penginapan yang diberikan agak singkat.
Ada yang mengatakan bukan sahaja hotel yang menetapkan seperti itu, malah beberapa inap desa turut bertindak sedemikian.
01 Oct 24
622
Seluruh Jeti Dibaik Pulih Sebagai Persediaan Tahun Melawat Terengganu 2027
SETIU, 24 September - Kerajaan negeri mengambil langkah membaik pulih jeti serta memperbaiki segala kerosakan sebagai persediaan awal bagi menyambut tahun melawat Terengganu 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ketika ini semua jeti di setiap pulau di negeri ini sedang dianalisa serta sebahagiannya telah pun selesai bagi menentukan kos perbelanjaan.
"Ini antara struktur terawal kita hendak buat sebelum kita melancarkan tahun melawat Terengganu pada 2027 dan sekarang kita akan bawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk mendapat kelulusan.
"Membaik pulih jeti ini adalah sangat penting kerana ia menjadi pemula untuk pelancong datang ke pulau begitu juga dengan insinerator, kita telah melihat untuk memastikan ia berfungsi dengan baik bagi memulihkan sampah yang akhirnya akan bertukar menjadi baja.
"Jadi isu longgokan sampah tidak berlaku dan tidak pelu lagi bawa balik sampah ke darat," ujarnya kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas mengadakan lawatan kerja ke Pulau Redang, di sini, semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata setiap pulau juga akan diwujudkan hentian rehat untuk pelancong singgah.
"Sementara pelancong hendak balik ke darat ataupun menunggu kenderaan untuk ke hotel akan ada kemudahan seperti tandas, surau serta pentas kencil yang akan mempersembahkan kesenian dan kebudayaan negeri Terengganu bagi memastikan kunjungan pelancong lebih ramai dan meriah," katanya.
Dalam pada itu beliau menzahirkan perasan puas hati apabila fasa pertama rancangan mahu mengantikan masjid lama yang tidak digunakan lagi dengan surau dan hentian rehat berjalan dengan baik.
"Sebelum ini kita telah bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM23,000 bagi membersihkan dan merobohkan masjid lama ini.
"Tadi kita telah lihat perobohan sedang berlaku walaupun belum siap sepenuhnya dan 'progress' sedang berjalan dan insya-Allah pada tahun hadapan kita akan lakukan fasa seterusnya untuk baik pulih dan melalukan pembangunan baru untuk hentian rehat," ujarnya.
25 Sep 24
1061
Peruntukan Segera RM100,000 Atasi Pencemaran Air Takungan Pulau Redang
SETIU, 25 September - Kerajaan negeri bersetuju meluluskan segera peruntukan sebanyak RM100,000 melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi menyelesaikan isu pencemaran air kolam semula jadi di Pasir Panjang, Pulau Redang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ia adalah penyelesaian untuk jangka masa pendek agar tidak mencacatkan keindahan Pulau Redang yang sentiasa menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung.
Katanya, kerja-kerja pembersihan awal sebelum ini telah dilakukan dan ada hasil daripada lawatan kali pertama pada dua bulan yang lepas.
"Kita lihat 40 peratus telah berjalan dengan baik dan kita dapati bahawa air yang kotor ini datang daripada sekitar resort di sini, jadi ada beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan.
"Insya-Allah pada tahun hadapan kita akan pastikan kolam tersebut tidak akan tercemar lagi dan air kolam yang bertakung itu bersih serta tidak akan berbau lagi itu untuk jangka masa pendek.
"Kalau untuk jangka masa panjang kita akan bincang untuk beberapa fasa lagi bagi memastikan semua takungan air buangan ini akan dapat disalurkan dengan baik dan sempurna ke laut," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja, di Pulau Redang di sini, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Razali berkata perkara yang menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan adalah mendidik pengusaha supaya menghargai dan menjaga keindahan yang ada.
"Saya ada nampak sampah dibuang merata-rata, orang Pulau Redang mengadu dia kata kerajaan tidak ambil langkah selesaikan isu sampah ini sedangkan insinerator telah ada untuk mengatasi masalah longgokan sampah
" Tetapi hari ini saya lihat dengan mata sendiri sampah dibuang begitu sahaja oleh pengusaha sekitar.
"Jadi saya telah mengarahkan Datuk Bandar supaya saman pihak tidak bertanggungjawab ini, sebab mereka berduit bukan orang kampung, kita tahu sebab ada 'sign' di situ datang dari resort seolah-olah tanah itu dia punya sedangkan itu adalah tanah kerajaan," ujarnya.
25 Sep 24
273
Perlu Lebih Banyak CBT Promosi Keindahan Terengganu
KEMAMAN, 19 September- Kerajaan negeri mengakui masih kurang pengusaha pelancongan berasaskan komuti (CBT) yang bergiat aktif dalam menaikkan tempat-tempat pelancongan yang ada di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, dalam usaha kerajaan CBT diangkat sebagai salah satu langkah menjana ekonomi setempat sekaligus membangunkan tempat-tempat menarik dalam negeri.
"Apabila kerajaan negeri mewartakan sesuatu tempat sebagai CBT ia akan ada bajet tertentu daripada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan. Itu satu sudut yang boleh jana pendapatan orang-orang kampung.
"Saya tidak nampak lagi di Kemaman ada satu CBT yang berjaya, tetapi di Marang dan Setiu sudah ada yang berjaya di mana mereka boleh dapat pendapatan lebih RM10,000 sehari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sebahagian soalan penduduk Kemaman dalam Dialog Exco Kerajaan Negeri peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), malam tadi.
Program anjuran Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) itu menampilkan dua exco iaitu Razali dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat yang berkomunikasi secara langsung bersama penduduk tentang pelbagai isu setempat yang diutarakan.
Tambah Razali, isu tempat-tempat pelancongan di Kemanan turut mendapat perhatian penduduk yang mahukan lebih banyak tempat unik diangkat sebagai tarikan pengunjung.
"Baru-baru ini saya berkesempatan ke Yak Yah ada kelip-kelip, yang masih lagi dikawal dan di jaga dengan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Insya-Allah kita akan angkat komuniti Yak Yah sebagai salah satu tempat CBT.
"Jadi, kita bermula dengan Yak Yah, kita tengok bagaimana. Sebenarnya, ia perlu tenaga orang yang ada 'roh' untuk mengusahakan tempat-tempat di Kemaman.
"Untuk jayakannya, kebersihan kena jaga sama ada kedai makan atau sebagainya, tatacara pengendalian piawai (SOP) dan penetapan keislaman kita kekal, tetapi kita ambil peluang," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati masyarakat terutama pihak JPKK untuk terus menzahirkan tempat pelancongan dengan menumpukan alam semula jadi untuk diangkat sebagai keunikan dan keindahan Terengganu.
19 Sep 24
449
Terengganu Komited Pulihara Seni Warisan Gamelan dan Rodat
KUALA TERENGGANU, 18 September - Kerajaan negeri terus komited memulihara seni warisan tradisional seperti gamelan dan rodat agar tidak lenyap ditelan zaman.
Setiausaha Kerajaan Negeri,
Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, melaksanakan inisiatif penting bagi memastikan seni warisan ini sentiasa diarus zaman dan diwarisi generasi muda.
"Jabatan Pelancongan dan juga Pendidikan berusaha bagi pinjam alat gamelan berharga RM25, 000 hingga RM30, 000 satu set kepada empat sekolah yang terpilih untuk mereka mempelopori seni gamelan.
"Sebagai satu usaha di peringkat negeri untuk kita lihat seni warisan gamelan tidak hilang," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Memorandum Persefahaman (MoU) Peminjam Alat Muzik Gamelan Melayu antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, pada semalam.
Tambah beliau, inisiatif itu bertujuan memperkenalkan dan memperluaskan seni gamelan dalam kalangan pelajar, selain memastikan seni tradisional tersebut terus dipelihara.
"Inilah usaha daripada kerajaan negeri di mana kita bukan sahaja memberikan peralatan, tetapi juga akan membimbing pemuzik-pemuzik gamelan.
"Pada masa yang sama, kita ingin menghidupkan kembali tarian gamelan itu sendiri, yang saya kira, jika tidak diusahakan sekarang, suatu hari nanti seni tersebut mungkin akan lenyap begitu sahaja," ujarnya.
Katanya lagi, terdahulu beberapa sekolah telah menerima bantuan dalam bentuk tenaga pengajar sahaja, namun kali ini kerajaan negeri memberi pinjaman peralatan, dan ia merupakan kali pertama peralatan tersebut diberikan kepada empat buah sekolah terpilih.
"Sebenarnya usaha ini kita buat dua tahun lepas cuma untuk perolehan alatan kena cari sampai ke Indonesia, makan masa sikit untuk tempahan.
"Kita tidak mampu memberikan peralatan kepada semua sekolah, jadi kami mengharapkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Daerah dan pengetua sekolah untuk memanfaatkan peralatan yang ada di sekolah-sekolah terpilih.
"Sekolah-sekolah berdekatan boleh mengambil peluang seterusnya akan membantu mengembangkan seni gamelan di sekolah-sekolah lain," katanya.
Justeru itu, beliau berharap produk seni gamelan dan rodat ini dipulihara agar ia tidak pupuk ditelan dek zaman.
"Insya Allah kalau kita ada peruntukan lagi mungkin boleh tambah lagi.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, yang difahamkan sedang giat menghidupkan semula seni rodat dan merupakan antara sekolah yang memulakan inisiatif ini," tambahnya.
18 Sep 24
323
TTI Perkenalkan Dua Feri Crystal Cruise Sempena Kemerdekaan
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Pihak Taman Tamadun Islam telah melakukan gimik memperkenalkan dua buah feri 'Crystal Cruise' sempena sambutan hari Kebangsaan pada program Sunset Cruise Perarakan Jalur Gemilang semalam..
Dalam acara yang dianjurkan oleh TTI itu, dua buah feri itu diiringi oleh 25 buah jetski yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang.
Pengurus Besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, program yang diadakan bukan sahaja membangkitkan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat setempat tetapi ia juga bagi mendedahkan kepada rakyat Terengganu tentang perkhidmatan dan produk pelancongan yang ada untuk dinikmati semua.
"Sekarang ini salah satu kempen yang kita buat sempena merdeka ini ialah menaiki Feri Crystal Cruise sempena merdeka ini di mana kita tawarkan pakej 'Sunset Cruise', 'Night Cruise' makan atas bot dan sebagainya.
"Kita buka peluang kepada semua pelancong sama ada dari dalam ataupun luar untuk merasai sendiri pengalaman berada di atas feri ini, ia menawarkan pemandangan yang indah sepanjang menyelusuri Sungai Terengganu dengan harga semua orang akan mampu.
"Dapat melihat bandar Terengganu dari atas feri dan kita akan berhenti di Jambatan Angkat bagi merasai pengalaman melihat matahari terbenam atau suasana malam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Husaimi Hussin,Pengarah Jabatan Pelancongan negeri Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Di samping ia turut dihadiri, Pengurus-Pengurus Besar Kumpulan PMINY, wakil Jabatan kerajaan dan GLC serta Pengiat Pelancongan.
Dalam pada itu, Husaimi yang juga merupakan Pengerusi TTI menyeru orang ramai untuk hadir bagi menyemarakkan aktiviti pelancongan di TTI sempena bulan kemerdekaan yang bakal disambut.
"Sebenarnya banyak lagi program-program yang akan dilaksanakan bagi dipersembahkan kepada pelancong yang bakal mengunjungi TTI ini.
"Jadi jangan lepaskan peluang, kita pakat mari ramai-ramai ke sini," ujarnya.
Untuk makluman sempena menjelang kemerdekaan TTI juga akan menganjurkan TTI Merdeka Camping yang berkonsepkan riadah bersama keluarga dengan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan.
Antaranya, pertunjukan bunga api, pertandingan basikal berhias merdeka, cekoh durian dan sebagainya lagi.
27 Aug 24
422
Terengganu Lokasi Terbaharu Nomad Digital di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos- Terengganu terpilih sebagai lokasi keenam hub DE Rantau atau penginapan yang diperakui sebagai gaya hidup nomad digital bagi menggalakkan mobiliti profesional digital dan pelancongan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata inisiatif yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu bakal menarik lebih ramai komuniti ‘digital nomad’ (nomad digital) menjadikan Terengganu sebagai pejabat atau rumah kedua mereka.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pemilihan Terengganu sebagai hub nomad digital kerana pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan status tersebut.
”Bukan sekali jumpa tetapi beberapa kali, saya memberi gambaran bahawa Terengganu ini sangat sesuai untuk dijadikan hub atau satu destinasi kepada digital nomad sebab kita mempunyai ekosistem yang sangat baik.
“Kita punyai pulau-pulau yang sangat indah dan cantik, Tasik Kenyir yang hebat, pelbagai pilihan makanan tradisional, warisan yang cukup kuat untuk kita sertai nomad digital.
“Dan saya sangat bangga pada hari ini kerana ia direalisasikan dengan MDEC, Kementerian Digital dan mungkin kita akan adakan perbincangan seterusnya dari semasa kesemasa untuk pastikan ada pertambahan nomad digital ke Terengganu,”ujarnya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis pelancaran program de rantau@Terengganu di Laman Singgahsana, Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Mengulas mengenai bagaimana de rantau@Terengganu mampu mempengaruhi pertambahan kehadiran pelancong ke Terengganu, Razali berkata penilaian itu akan dibuat selepas beberapa bulan program itu dilaksanakan.
“Saya yakin nomad digital akan memberi ruang promosi negeri Terengganu ke seluruh dunia dan jika promosi berjaya, pelancong akan datang ke Terengganu sebagai destinasi wajib.
“Dan saya jangkakan beberapa peratus lagi pertambahan kehadiran pelancong selepas program hari ini...kita akan tengok ‘Return on Investment’ selepas dua tiga bulan nanti tentang kehadiran pelancong,”ujarnya lagi.
Tambah Razali, berdasarkan data sehingga Jun 2024, Terengganu antara negeri tumpuan dengan merekodkan seramai 5.2 juta pelawat melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta bagi setahun..
"Menjelang akhir tahun kerajaan negeri mensasarkan seramai 7 hingga 8 juta pelancong berkunjung ke Terengganu.
“Sasaran ini juga berdasarkan Terengganu sebagai hub nomad digital terbaharu dan saya letak pertambahan sehingga 40 peratus selain program sepanjang Monsun Timur Laut nanti,”kata beliau.
26 Aug 24
722