lightning-solid
Berita :

Artikel "Pelancongan" Terkini

Sukan Air dan Karnival Pantai Warnai Kalendar Pelancongan Terengganu 2025
Sukan Air dan Karnival Pantai Warnai Kalendar Pelancongan Terengganu 2025
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk memasukkan program sukan air seperti pertandingan lumba perahu panjang ke dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu Tahun 2025. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris mempertimbangkan cadangan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang turut menawarkan DUN Buluh Gading sebagai tuan rumah bagi acara tersebut.  “Kerajaan Negeri sedia maklum akan cadangan ini dan insyaallah akan mempertimbangkannya,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Menurutnya, kejayaan Karnival Pantai Terengganu 2024, yang mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri, menjadi bukti betapa pentingnya acara sebegini dalam menarik pelancong dan merancakkan ekonomi setempat.  “Pencapaian ini menunjukkan potensi besar karnival pantai sebagai acara utama negeri.  “Ia bukan sahaja mempromosikan pelancongan tetapi juga memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat, terutamanya usahawan kecil dan penggiat Industri Kecil Sederhana (IKS),” jelas beliau. Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mengumumkan bahawa Karnival Pantai Terengganu akan diteruskan pada tahun 2025 yang dijangka menjadi salah satu acara tanda aras (signature) dalam kalendar pelancongan dengan penyertaan dari dalam dan luar negara. “Langkah ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama sambil memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat,” ujarnya.
20 Nov 24
561
Lumba Perahu Panjang Berpotensi Tarik Pelancong, Lonjak Ekonomi Tempatan
Lumba Perahu Panjang Berpotensi Tarik Pelancong, Lonjak Ekonomi Tempatan
KUALA TERENGGANU, 20 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, mencadangkan penganjuran kejohanan lumba perahu panjang sebagai salah satu aktiviti sukan air tahunan di Terengganu.  Cadangan itu dikemukakan beliau semasa membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 di Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di Wisma Darul Iman, semalam. Beliau terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pilihan utama pelancong domestik melalui pelbagai aktiviti menarik yang disusun sepanjang tahun. Menurutnya, usaha tersebut telah berjaya memastikan negeri itu terus relevan sebagai lokasi pelancongan. “Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri, melalui portfolio Jawatankuasa Pelancongan, yang merupakan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris dan jabatan-jabatan, serta agensi-agensi yang terlibat, hasil kerja keras mereka, Terengganu kini menjadi destinasi pilihan pelancong,” katanya. ADUN Buluh Gading itu mencadangkan Sungai Nerus sebagai lokasi utama penganjuran kejohanan lumba perahu panjang.  “Kawasan DUN Buluh Gading, bersedia menjadi tuan rumah bagi menjayakan acara ini, seiring dengan pengalaman mereka menganjurkan program serupa sebelum ini. “Pertandingan lumba perahu panjang mampu menarik perhatian pelancong, dengan aktiviti sampingan yang sesuai, ia boleh menjadi tarikan utama,” jelasnya. Tambah beliau, program terdahulu yang telah dianjurkan di kawasan itu ialah Kejohanan Perahu Naga Beautiful Terengganu 2022, yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai 2022 di Jeti Pengkalan Perahu Kampung Buluh Gading.  “Acara tersebut berjaya menarik penyertaan dari dalam dan luar negeri, termasuk pasukan dari Pulau Pinang, Perbadanan Putrajaya, UniSHAMS Kedah, pasukan SUKMA Perak dan beberapa pasukan lain lagi. “Yang terdekat, Festival Monsoon Challenge Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 akan diadakan pada 29 hingga 30 November ini. Ia bertujuan merebut gelaran Raja Monsoon,” katanya lagi, merujuk kepada acara yang akan berlangsung di Jeti Tanjung Sabtu. Dalam pada itu, Ridzuan yakin penganjuran sukan air berskala besar seperti ini akan memberi impak positif kepada ekonomi penduduk tempatan.  “Aktiviti seperti gerai jualan dan perkhidmatan sokongan lain sepanjang acara dapat menyediakan peluang pendapatan tambahan. “Jika acara ini diperluaskan, penyertaan dari dalam dan luar negeri pasti akan memeriahkan lagi industri pelancongan kita. Kesannya, penduduk setempat dapat meraih manfaat melalui aktiviti ekonomi sampingan,” katanya. Ridzuan berharap cadangan ini mendapat pertimbangan Kerajaan Negeri, demi memanfaatkan potensi besar sektor pelancongan sukan air di Terengganu.
20 Nov 24
297
Laksana Pembangunan Utama Tingkatkan Kualiti Penduduk Kuala Besut
Laksana Pembangunan Utama Tingkatkan Kualiti Penduduk Kuala Besut
KUALA TERENGGANU, 20 November – Kerajaan negeri disarankan agar melaksanakan beberapa projek pembangunan utama bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk  setempat serta memperkukuhkan sektor pelancongan yang menjadi  nadi ekonomi rakyat setempat di di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, beberapa cadangan yang perlu ditambah baik di kawasan tersebut dalam sektor pembangunan. “Naiktaraf sistem jalanraya berkembar iaitu jalan ke Pekan Kuala Besut daripada sempadan Negeri Kelantan di Kampung Pachakan memandangkan berlaku kesesakan kenderaan diwaktu puncak setiap hari dan jalan menghubungkan ke Tok Bali Pasir Putih Kelantan. “Dan sistem perparitan di ketiga-tiga mukim di DUN kuala Besut dan terdapat lagi sistem perparitan yang perlu diselenggarakan. Beliau berkata demikian dalam pembahasan bajet pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri  Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam. Dalam sektor pelancongan pula, Azbi berkata Pulau Perhentian menjadi tarikan utama para pelancong ratusan ribu dari seluruh negara pada setiap tahun. “Pihak kerajaan negeri melalui Agensi Pelancongan Negeri perlu menitik berat hal hal tersebut iaitu  antaranya pembinaan jeti baru yang lengkap dengan kemudahan terkini. “Sistem pengurusan di jeti yang lebih efektif kepada pelancong, sistem pengangkutan dari Terminal Bas di Pekan Baru Kuala Besut ke jeti pelancongan di Pekan Lama Kuala Besut menjadi agenda utama,” ujar beliau. Justeru itu, beliau turut berharap agar pihak Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan Menteri Besar, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dapat merealisasikan moto Kerajaan Terengganu iaitu Terengganu Maju Berkat Sejahtera.
20 Nov 24
113
Tour Gateh D'Tranung Teruskan Aksi Tahun Hadapan
Tour Gateh D'Tranung Teruskan Aksi Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kejohanan berbasikal terbesar negeri Terengganu, Tour Gateh D'Tranung akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dalam usaha mempromosi negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain itu kerajaan negeri juga akan kembali menganjurkan Sultan Mahmud Bridge International Run yang turut melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara.  "Kerajaan negeri juga akan memantapkan pelaksanaan Garis Panduan Hiburan, Persembahan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu dengan nilai perundangan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya, penganjuran Karnival Pantai Terengganu yang mempamerkan budaya dan warisan negeri akan diperhebat dengan turut menonjolkan keunikan beberapa negara serantau bagi menarik lebih ramai pengunjung terutamanya pelancong asing. Dalam pada itu, kerajaan negeri akan turut melaksanakan kerja-kerja pembinaan bangunan serbaguna untuk 'indoor games' seperti skuasy, badminton serta kemudahan berkaitan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
18 Nov 24
153
Belanjawan 2025 : Rakyat Mahu Pelancongan Diperkasa Jana Ekonomi
Belanjawan 2025 : Rakyat Mahu Pelancongan Diperkasa Jana Ekonomi
KUALA TERENGGANU, 11 November - Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 (Terengganu) pada 18 November depan, rata-rata rakyat mahu Kerajaan Negeri menjana ekonomi baharu dengan memperkasakan sektor pelancongan. Pandangan itu dilontarkan berdasarkan situasi Terengganu yang kini menjadi destinasi pilihan utama rakyat Malaysia. Menurut seorang rakyat Terengganu, Zulfakri Amin Manaf, peluang berkenaan yang ada pada waktu ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk mencari alternatif terbaik bagi memastikan Kerajaan Negeri akan terus berperanan membantu rakyat di saat royalti dinafikan. "Jadi saya mengharapkan belanjawan pada kali ini akan ada pengumuman untuk menaik taraf sektor pelancongan. "Berdasarkan pengamatan saya untuk tahun 2024 ini, sektor pelancongan menunjujkkan peningkatkan, alhamdulillah, sebab kita menerima pelancong yang ramai jadi perlu ambil kesempatan ini dengan apa jua cara bagi memastikan ia akan menjana peluang pendapatan untuk orang Terengganu," ujarnya. Dia yang juga merupakan peniaga Pasar Chabang tiga berkata demikian ketika ditemui, di sini, baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut katanya, dari segi memajukan pembangunan dengan mewujudkan bangunan-bangunan bersaiz besar katanya ia tidak menjadi keperluan di negeri ini. "Dari segi binaan bangunan-bangunan atau pasar raya saya rasa tidak perlu kerana orang datang ke negeri ini pada kebiasaan mereka hendak 'healing' lari daripada kesibukan," ujarnya. Dalam pada itu, Abdullah Ibrahim pula menyuarakan perasaan bimbang dengan hala tuju kerajaan Malaysia hari ini dilihat tidak mampu dan masih belum memiliki langkah penyelesaian terbaik bagi menoktahkan kemelut kos sara hidup yang kian meningkat. "Walaupun saya peniaga tetapi saya dapat rasakan yang rakyat sangat tertekan dengan kenaikan harga barang, misalnya saya sendiri berniaga santan dahulunya yang dijual pada harga RM10 sekilogram tetapi kini terpaksa dijual RM14 bagi sekilogram. "Bayangkan harga kelapa yang dahulu dibeli daripada pembekal RM2.00 sekarang mencecah RM2.70 sebiji, keadaan ini sudah tentu membebankan para pemberi," katanya yang mengharapkan Kerajaan Negeri menampung kelompongan itu. Sementara itu seorang anak muda, Mohd Arif Raidi pula berharap pembentangan belanjawan oleh Kerajaan Negeri pada kali ini tidak mengabaikan aspek pembangunan belia dan beliawanis negeri ini. "Insya-Allah dengan perhatian dan fokus yang diberikan akan menjadi pendorong untuk kami menjadi modal insan yang baik untuk negeri Terengganu selayaknya sebagai aset yang berperanan menyumbang kemajuan kepada negeri ini secara khusus dan Malaysia secara amnya," katanya.  
11 Nov 24
881
Pembinaan Kolam Khas Wanita di La Hot Spring Capai 70 Peratus
Pembinaan Kolam Khas Wanita di La Hot Spring Capai 70 Peratus
BESUT, 11 November - Pembinaan kolam dan laluan khas untuk wanita di Kolam Air Panas La kini mencapai 60 hingga 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa satu atau dua minggu lagi, bergantung pada keadaan cuaca.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Besut dan pegawai Pejabat Daerah atas tindakan pantas melaksanakan cadangan pengasingan ini.  “Idea ini timbul selepas lawatan terdahulu, di mana saya mendapati kolam yang ada ketika itu dikongsi oleh lelaki dan wanita. “Cadangan kita untuk mengasingkan kolam lelaki dan perempuan di La Hot Spring ini adalah satu corak pengasingan yang cukup bagus sebagai langkah pertama.  “Ini membuktikan kerajaan negeri mengambil serius dalam memastikan lunas-lunas agama Islam terjaga di tempat pelancongan seperti ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa Lawatan Kerja Ke Produk Pelancongan Kolam Air Panas La, disini, semalam. Menurut Razali, pada fasa pertama pengasingan ini, sumber air tetap dikekalkan dalam keadaan asalnya.  “Pengasingan ini tidak mengakibatkan air kolam berbeza daripada punca asal, suhu dan kepanasannya juga kekal asli dan original. “Sesiapa sahaja yang hadir ke sini dapat menikmati pengalaman yang sama di kolam yang dikhususkan untuk lelaki dan wanita,” jelasnya. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada langkah proaktif kerajaan negeri Terengganu untuk mengasingkan tempat mandi bagi lelaki dan wanita, bagi memberikan keselesaan serta privasi yang lebih baik kepada para pengunjung.  Selain pengasingan kolam dan laluan, Razali turut berkongsi pandangannya tentang keunikan La Hot Springs sebagai salah satu tarikan pelancongan istimewa di Terengganu.  “La Hot Spring ini adalah satu produk yang luar biasa di Negeri Terengganu. Kalau kebiasaannya kolam air panas terletak berhampiran gunung berapi, di Terengganu kita tiada gunung berapi, namun tetap ada kolam air panas semula jadi. “Terdapat sejarah penyembuhan penyakit yang dikaitkan dengan kolam air panas ini, menjadikannya tarikan utama bagi pengunjung tempatan dan juga antarabangsa," katanya. Beliau turut melaporkan bahawa pagar yang rosak akibat banjir besar tahun lalu telah dibaik pulih sepenuhnya, manakala tandas yang ditambah baik kini tersedia untuk kemudahan pengunjung.  “Semua kerja baik pulih ini dijalankan dengan kerjasama komuniti setempat dan JPKK, yang menunjukkan kerjasama erat antara pihak berkuasa dan masyarakat. “Dengan penambahbaikan dan pengasingan kolam ini, saya yakin La Hot Spring akan menjadi destinasi pilihan bagi pengunjung tempatan dan luar negara, serta berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu pada masa akan datang,” ujarnya.  
11 Nov 24
1702
Pulau Bidong Diwartakan Sebagai Taman Negeri Lindungi Khazanah Biodiversiti
Pulau Bidong Diwartakan Sebagai Taman Negeri Lindungi Khazanah Biodiversiti
KUALA TERENGGANU, 7 November - Dalam usaha melindungi kekayaan biodiversiti negeri, Kerajaan Negeri Terengganu telah membuat keputusan bersejarah untuk mewartakan Pulau Bidong sebuah pulau yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan sejarahnya sebagai sebuah Taman Negeri.  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris menyifatkan Pulau Bidong yang sebelum ini dikenali sebagai tempat perlindungan dan tapak sejarah bagi pelarian Vietnam, kini akan menjadi permata ekologi yang dilindungi sepenuhnya. “Seiring dengan hasrat melindungi kepelbagaian biologi negeri, saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju untuk mewartakan Pulau Bidong sebagai sebuah Taman Negeri. “Terletak di Daerah Kuala Nerus dengan keluasan sekitar 231.3 hektar, pewartaan ini juga meliputi kawasan 1 batu nautika dari garis air surut pulau tersebut. “Langkah ini akan memastikan pulau tersebut, dengan flora dan fauna uniknya, berada di bawah pengurusan rapi dan pemantauan berterusan di bawah urustadbir Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penutup sempena Seminar Biodiversiti Terengganu 2024, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, disini, semalam. Menurut Razali, proses pewartaan ini akan diselaraskan dalam masa terdekat dan akan diiringi dengan program-program yang bertujuan untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan biodiversiti di negeri ini. “Dengan menjadikan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri, Terengganu memberi isyarat yang jelas bahawa perlindungan alam sekitar dan kekayaan biodiversiti adalah komitmen yang kukuh dan akan terus diperjuangkan. “Dengan usaha berterusan ini, kami berharap kesedaran individu dan masyarakat akan terus meningkat terhadap pentingnya memelihara biodiversiti, kerana kesedaran adalah asas utama untuk memastikan kelestarian khazanah alam yang sangat bernilai ini. Langkah ini juga selaras dengan kesedaran global yang semakin tinggi terhadap pemeliharaan alam sekitar. Razali juga menyeru untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan struktur pengurusan bagi melindungi kepelbagaian biologi di Terengganu adalah sebuah visi yang bukan hanya menekankan keperluan masa kini, tetapi juga keberlangsungan masa hadapan. “Sebagaimana titah penyempurnaan perasmian oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada sesi pagi tadi, marilah sama-sama kita berusaha yang terbaik untuk memupuk kesedaran, seterusnya meningkatkan struktur pengurusan didalam melindungi kepelbagaian biologi. “Dengan adanya usaha yang holistik dan berterusan, Terengganu mampu menjadi model unggul bagi pengurusan biodiversiti yang mampan. “Menjadi negeri contoh dalam aspek ini bukan sahaja akan membawa manfaat kepada penduduk tempatan dari segi ekonomi melalui ekopelancongan, tetapi juga memberikan faedah tidak ternilai kepada generasi akan datang. Mereka akan mewarisi bumi yang kaya dengan kepelbagaian biologi, menikmati udara bersih, air jernih, dan keindahan semula jadi yang tidak ternilai,” jelasnya.
07 Nov 24
499
Terengganu-Melaka Bina Integrasi Pacu Kemajuan Pelancongan
Terengganu-Melaka Bina Integrasi Pacu Kemajuan Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 3 November- Terengganu memiliki kekuatan tersendiri dalam bidang pelancongan yang boleh diperkasakan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke negeri itu. Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Sa'ari Basiron menyatakan, kekuatan tarikan pelancongan Terengganu tidak lain tidak bukan adalah pulau-pulaunya seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas, di samping sejarah, budaya dan warisan yang ada. "Terengganu dengan kekuatan produk pelancongannya, kita lihat Melaka dengan sejarah, warisan dan budayanya. "Kalau ke Terengganu, kita akan tengok keunikan batiknya, kedua makanannya siapa tidak kenal keropok losong, ketiga pulau-pulaunya. Kalau kita boleh sepadukan antara kedua-duanya, ia akan jadi satu pakej yang sangat menarik. "Kita di negeri-negeri tidak boleh bersaing kerana kita ada kekuatan masing-masing dan perlu saling melengkapi antara satu sama lain. Semasa pandemik dahulu kita pernah mengadakan satu program 'travel bubble' antara Melaka dan Terengganu di mana kita menawarkan satu pakej yang amat menariklah bagi saya kepada masyarakat Terengganu, untuk datang dengan harga serendah RM188," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas pertemuan dengan delegasi pelancongan negeri Terengganu di Seri Negeri, Melaka, hujung minggu lalu. Kehadiran delegasi yang diketuai Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman itu turut disertai Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Mazshida Rusial dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mokhtaruddin Dahiri. Sa'ari turut menyifatkan, pertemuan itu mampu membina perkembangan lebih pesat dalam bidang pelancongan antara kedua-dua negeri. "Saya melihat ini satu permulaan yang baik di mana kita amat mengalu-alukan delegasi negeri Terengganu ke Melaka khususnya untuk menjalin kerjasama dalam bidang pelacongan. "Saya rasa ini peluang untuk menjalinkan kerjasama dan pada hari ini saya llihat banyak pandangan yang boleh dipertimbangkan demi kemajuan kedua-dua negeri ini. "Benda ini kita boleh perluaskan lagi bagi kita jalinkan kerjasama bagaimana untuk meningkatkan pelancong ke Terengganu dan Melaka melalui pakej-pakej yang dipanggil integrasi. Mungkin kita boleh buatkan satu pakej melibatkan perjalanan darat, dan baru-baru ini Melaka telah didatangi syarikat penerbangan Singapura iaitu Scoot Airline, mungkin juga penerbangan boleh dijadikan salah satu pakej merapatkan hubungan kedua negeri," ujarnya. Hasrat berkenaan disambut baik Ahmad Ridzwan untuk mengadakan kolaborasi dan kerjasama bagi memantapkan lagi sektor pelancongan negeri Terengganu. "Melaka ini, kita tengok terutamanya dari tinggalan penjajah terdahulu telah dijadikan satu tarikan pelancongan. Untuk terengganu, kita juga ada produk-produk sebegini iaitu peninggalan sejarah dari pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tok Ku Paloh, perjalanan Mat Kilau yang pernah datang ke Terengganu jadi, kita boleh melihat tempat-tempat ini untuk dijadikan produk pelancongan yang akan menjadi tarikan pelancong. "Tahun ini Melaka mengisytiharkan Tahun Melawat Melaka 2024 dan kita datang ke sini untuk melihat usaha-usaha yang dibuat, kita nampak ada beberapa perkara yang boleh dibuat di negeri Terengganu seperti aktiviti 'Bila Larut Malam'. "Kita ingin lihat langkah yang dibuat negeri Melaka sehingga berjaya, mempelajari gerak kerja yang dilakukan yang dapat menarik ramai pelancong. "Kita mengambil peluang memperkemaskan produk dengan menambah beberapa pakej supaya ia dapat menarik pelancong dari luar juga. Melaka banyak persamaan dengan Terengganu dan kita melihat ia sebagai satu kelebihan dalam persediaan kita untuk mengadakan Tahun Melawat Terengganu pada 2027 nanti," katanya.      
03 Nov 24
621
‘Pesta Mandi Hujan’ Tersenarai Dalam Kalendar Pelancongan Negeri
‘Pesta Mandi Hujan’ Tersenarai Dalam Kalendar Pelancongan Negeri
SETIU, 19 Oktober - Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa Pelancongan bakal menyenaraikan pesta mandi hujan ke dalam kalendar Pelancongan Negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, satu ekosistem baharu diwujdkan dalam 10 ekosistem tersedia di Setiu Wetland untuk tarikan pelancong pada musim tengkujuh. “Setiu Wetland menggambarkan satu kekayaan biodiversiti di Terengganu, tahun ini kita akan tambah aktiviti mandi hujan ke dalam 10 ekosistem yang sudah ada di sini. “Mandi hujan ni satu produk pelancongan sebenarnya, kalau kena cara boleh hasilkan pendapatan baharu. “Saya telah meninjau seluruh tempat di Terengganu, dan kita putuskan daerah Setiu jadi destinasi sesuai untuk aktiviti tersebut, kerana di sini tiada kilang-kilang besar, bebas daripada unsur toksik. “Kita bakal buka pakej ini kepada pelancong luar negara terutamanya dari belah ‘middle east’, iaitu pelancong dari tanah arab, mereka sangat sukakan hujan. “Sebenarnya kita sudah laksanakan pada tahun lepas ketika di penghujung monsun timur laut (MTL), sebelum ini kita buat satu pakej berharga RM250 satu orang dan alhamdulillah program tersebut berjaya, tahun ini bakal diadakan pada bulan Disember nanti,” jelasnya Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Setiu Wetland 2024 di Boaderwalk Taman Negeri Setiu Wetland, di sini, semalam. Tambah beliau, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan kehadiran pelancong dan pengunjung masuk ke Terengganu ini dengan pelbagai program dan acara dilangsungkan. “Dalam masa dua bulan, kita bakal adakan 25 acara pelancongan di seluruh negeri, malam ini Karnival Pantai di Kuala Nerus, esok pula ada ‘Gaga Udang’ di Kemaman, juga Karnival ‘Emping padi’ di Kuala Ping, Telemong, dan banyak lagi. “Tujuannya adalah untuk memanggil pelancong datang ke negeri ini, dengan adanya acara dan sumber alam semula jadi, bakal menarik minat pelancong luar dan juga pengunjung tempatan. “Rakyat Terengganu yang terlibat dalam sektor pelancongan bakal dapat laba dan keuntungan, walaupun kerajaan dapat sedikit sahaja dari industri pelancongan ini.  
19 Oct 24
401
Karnival Pantai 2024 'Muzium Hidup' Telusuri Tradisi Terengganu
Karnival Pantai 2024 'Muzium Hidup' Telusuri Tradisi Terengganu
KUALA NERUS, 18 Oktober - Karnival Pantai 2024 menghimpunkan keunikan budaya, seni dan warisan daerah-daerah yang ditonjolkan kepada pengunjung untuk merasai sendiri gaya hidup masyarakat Melayu tradisional. Berkonsepkan 'muzium hidup', pelbagai persembahan budaya, permainan rakyat serta aktiviti seni dan warisan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, karnival itu adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk memastikan Terengganu berkembang sebagai destinasi pelancongan negara. "Pameran seperti bangsal tradisi dan karnival makanan yang dianjurkan kali menunjukkan usaha kerajaan negeri dalam memastikan tradisi Terengganu terus kekal. "Setiap daerah menghias bangsal mereka dengan bahan-bahan semula jadi seperti pelepah kelapa, daun nipah dan buluh untuk menyampaikan kepada generasi muda serta masyarakat luar tentang kebudayaan, warisan negeri ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pantai 2024 di Pantai Teluk Ketapang, di sini semalam. Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Ab Rasid Jusoh dan Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif. Tambahnya, bangsal tradisi terbabit akan dinilai dengan pemarkahan merangkumi hiasan dan aktiviti bangsal. Bangsal terbaik akan memenangi hadiah utama bernilai RM50,000. Dalam karnival itu juga, produk-produk industri kecil sederhana (IKS) berasaskan pelancongan dan seni budaya turut dijual dan dipamerkan kan. Karnival Pantai berlangsung selama empat hari sehingga 20 Oktober nanti. Ini adalah kali ketiga ia dianjurkan setelah kali terakhir diadakan pada 2019.  
19 Oct 24
355