Artikel "Kebajikan" Terkini
Keadaan Dasar Sungai Sukarkan Kerja Pembaikan
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Keadaan air deras dan keruh di dasar sungai menyukarkan penyelam untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan di dasar sungai.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam laman facebook rasmi, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd ( SATU ) memaklumkan bahawa pergerakan semula jadi air itu menyukarkan penyelam untuk mendapatkan ‘position’ di dasar sungai dengan kadar visual yang terhad dan selamat untuk meneruskan kerja-kerja pembaikian.
"Faktor-faktor ini adalah di luar kawalan kami dan kerja-kerja perlu dihentikan sekiranya keadaan tidak selamat dan bahaya kepada penyelam di lapangan.
"SATU dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf di atas kelewatan tempoh kerja-kerja pembaikian paip pecah di Tangki Utama Berangan di dasar Sungai Terengganu.
"Sekiranya berlaku kerja-kerja tidak mengikut jadual, kami akan maklumkan dari semasa ke semasa," jelasnya.
11 Aug 21
1499
Lancar Misi Bantu Penduduk Terjejas Bekalan Air
KUALA NERUS, 6 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mewakili kerajaan negeri telah melancarkan misi kebajikan untuk menyampaikan bantuan 38,000 liter air minuman kepada penduduk di Tepoh dan Batu Rakit yang terputus bekalan tersebut.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, usaha melibatkan kerjasama Majlis Tindakan DUN (MTD) Chukai dan juga Dewan Pemuda PAS kawasan berkenaan.
"Dengan bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang dialami penduduk di sini, dapat memberikan sedikit kelegaan dan kegembiraan kepada keluarga yang terkesan.
"Selebihnya kita mengharapkan bekalan air daripada Syarikat Air Terengganu, juga saya dimaklumkan setakat ini hampir seluruh negeri akan mula menghantar bekalan air melalui lori,juga melibatkan beberapa buah negeri lain yang akan turut membantu atas dasar prihatin dengan masalah yang sedang kita hadapi pada ketika ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) , pada program 'Misi Bantuan YBC Ke Kuala Nerus', di sini, pada semalam.
Turut bersama, ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razab dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
Hanafiah berkata, kerajaan melalui Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri mengambil langkah segera mencari jalan berusaha mengatasi masalah ketiadaan air ini yang melibatkan 27,000 buah rumah di lima buah DUN.
"Pihak EXCO bersetuju supaya buat sesuatu dan kerajaan akan menanggung apa jua risiko yang akan berlaku bagi memastikan seluruh rakyat akan mendapat bekalan air dengan segara melalui kaedah yang terbaik dan sewajarnya dilakukan.
"Melihat pada perkembangan semasa dan tindakan yang dilakukan pada ketika ini saya berharap dalam masa tujuh sehingga 10 hari masalah ini akan selesai dan rakyat akan dapat bekalan air seperti biasa," ujarnya.
Hanafiah mewakili kerajaan negeri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu meringankan beban yang dialami pihak terbabit.
"Sama ada dermawan, Petugas daripada PAS setiap kawasan mahupun DUN, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) juga Jabatan Amal Malaysia yang pada waktu ini telah berkhidmat tanpa henti, badan-badan kebajikan, sukarelawan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta sukarelawan samada yang terlibat secara langsung atau tidak," ujarnya.
06 Aug 21
490
SATU Kemas Kini Perjalanan 'Tanker' Di Laman Web
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Bagi menangani krisis air yang berlaku di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Syarikat Air Terengganu (SATU) akan sentiasa mengemas kini maklumat perjalanan lori tangki air di laman sesawang syarikat itu untuk kemudahan penduduk setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated (TI) Sdn Bhd, Dr Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, usaha tersebut merupakan antara 'emergency respon' untuk sementara waktu bagi memastikan bekalan air tidak terputus.
"Sebanyak 16 lori tangki akan bergerak mengikut laluan yang telah ditetapkan secara berjadual bagi memudahkan penduduk terlibat untuk mengambil bekalan air.
"Selain itu, empat lori lagi akan bergerak untuk membekalkan air kepada 66 buah tangki statik yang diletakkan di kawasan-kawasan tertentu. Sebanyak 34 buah tangki lagi akan ditempatkan secara berperingkat bagi memudahkan penduduk mengambil air dari masa ke masa.
"Jadual perjalanan setiap lori akan sentiasa dikemas kini di laman Facebook SATU supaya lebih ramai dapat akses maklumat dengan kita hanya menggunakan satu sumber," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan pelan tindakan dan proses baik pulih bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh dalam sidang media di pejabat SATU, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir. Azrul Raimee Ramli.
Dalam pada itu, Dr. Mamad menyifatkan, krisis air kali ini agak besar dan membimbangkan.
"Sebanyak lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan lebih 104 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta melibatkan 28,700 pengguna, ini melibatkan satu angka yang besar.
"Namun, kita berusaha sebaik mungkin mengatasinya. Dari hari pertama lagi, kita sudah bergerak untuk mengatasi masalah ini selain membekalkan air untuk kawasan-kawasan terlibat," katanya.
Beliau menganggarkan kerja-kerja baik pulih akan mengambil masa sehingga tujuh hari (11 Ogos) sekiranya proses berjalan lancar.
"Saya berterima kasih kepada pelbagai pihak yang berkerjasama membantu menyampaikan bekalan air ke kawasan terbabit.
"Ada di kalangan individu yang menawarkan air dari telaga miliknya untuk membantu. Ini menunjukkan adanya kerjasama daripada segenap lapisan masyarakat yang bersama dalam usaha memulihkan isu ini," katanya.
Laman sesawang SATU juga boleh di akses di https://webapps.satuwater.com.my/tanker_tracker/
05 Aug 21
663
NGO Sumbang 40,000 Liter Air Melalui Dua Treler
KUALA NERUS, 5 Ogos - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Khidmat malaysia Kuala Terengganu pada hari ini telah mula menjalankan misi memberi sumbangan air minuman kepada penduduk terjejas akibat krisis air sebanyak 40,000 liter bekalan air bersih atau 2,000 balang air yang dibawa melalui dua treler.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata dimana pada hari ini bantuan melalui treler pertama ditumpukan dahulu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh.
"Pada esok Insya-Allah akan datang lagi dengan satu treler khusus untuk DUN Batu Rakit, dan juga NGO akan bertanggungjawab menguruskan treler bantuan air di Manir dan Buluh Gading.
"Juga pada lusa insya-Allah akan ada lagi satu treler untuk agihan di DUN Seberang Takir dan juga Bukit Tunggal yang mana kita kira melibatkan enam DUN kesemua sekali yang terjejas," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Pengarah Khidmat Malaysia Kuala Terengganu berkata demikian, ketika hadir menyampaikan bantuan berkenaan, di sini, pada hari ini.
Turut hadir, ADUN setempat, Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi, juga ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed.
Mengulas lanjut katanya, bantuan air berkenaan mencukupi untuk keperluan rakyat yang menghadapi masalah air pada waktu ini.
"Di samping itu balang yang dibawa ini juga akan berperanan untuk digunakan untuk isian semula bekalan air. Insya-Allah pihak kita akan memastikan sumbangan akan berterusan sehinggalah masalah ini berakhir.
"Yang mana ia telah melanda Kuala Nerus, sebahagian di Setiu dan juga Hulu Terengganu," ujarnya.
Sementara itu seorang penduduk berbangsa Tiong Hua, Too Seng Chua berkata pihaknya sangat berterima kasih diatas bantuan bekalan air berkenaan.
"Tiada dapat dinafikan dalam keadaan seperti sekarang memang menghadapi kesulitan sedikit, dengan bantuan ini dapatlah meringankan beban yang dialami.
"Saya memang sangat menghargai ADUN setempat, Ustaz Hishamuddin yang memberi kecaknaan dan sentiasa menolong di waktu rakyat menghadapi kesusahan. Terima kasih kerajaan Terengganu.
"Saya berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan dipulihkan segera, itu menjadi harapan saya," katanya.
05 Aug 21
716
YB Dan Rakyat DUN Air Putih
KEMAMAN, 7 Ogos - Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Air Putih merasa amat bertuah mempunyai seorang wakil rakyat yang berjiwa besar yang sentiasa memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengambil kira fahaman dan idealogi politik apabila rakyat memerlukan pertolongan.
Maka tidak hairanlah rakyat Dun Air Putih dapat bertemu beliau di mana-mana sahaja terutama apabila berlakunya bencana dan sebagainya.
Itulah satu kebanggaan yang dimiliki oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Haji Ab. Razak Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan mesra YB Cikgu Razak.
Seorang suri rumah di Kampung Tengah Felda Neram 1, Che Wan Yam Che Wan Nik berkata, Cikgu Razak amat rapat dengan masyarakat dan sentiasa mengambil berat tentang permasalahan rakyat.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan dan penyerahan sebuah katil pesakit dan sebuah kerusi roda untuk kemudahan anaknya Azruni Mat Yazid, 43, yang merupakan pesakit jantung berlubang bagi memudahkan pergerakan mendapat rawatan susulan.
Sementara itu, Cikgu Razak berkata, adalah menjadi tanggungjawab beliau selaku wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat mendampingi masyarakat tanpa mengira waktu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni para pertugas kesihatan, pertugas sukarelawan dan penerima suntikan vaksin di SMK Felda Neram 1 baru baru ini.
Pada program tersebut Cikgu Razak bermurah hati menaja makanan dan minuman kepada pertugas-pertugas yang terlibat.
“Memandangkan sekarang pandemik Covid-19 melanda di negeri Terengganu dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Bandar Cheneh Baharu dan Felda Neram 2 didalam Dun Air Putih, beliau bersama Team Pejabat Adun Air Putih turut menyalurkan bantuan makanan kepada mereka yang terkesan akibat PKPD.
Ab. Llah Hassan dari Felda Cerul 1 pula menyifatkan keprihatinan YB Cikgu Razak menyantuni keluarga beliau patut menjadi contoh dan ikutan pemimpin masyarakat yang lain.
“Dalam kesibukan menjalankan tugas YB Cikgu Razak sempat berkunjung bertanya khabar walaupun lewat petang.
Beliau kehilangan anaknya Mohamad Shafiq, 20, yang mati lemas ketika memancing di Sungai Lubuk Batu, Jalan Mak Lagam, Cheneh dekat sini baru baru ini.
“Kedatangan YB Cikgu Razak dan rombongan sekurang-kurang dapat berkongsi duka kehilangan anak kami,” katanya.
"Sesungguhnya budi bakti YB Cikgu Razak ini akan dikenang selamanya oleh kami, dan didoakan agar beliau terus diberi kesihatan oleh Allah Azzawajalla untuk terus berbakti kepada semua rakyat di bawah jagaannya," tambahnya.
05 Aug 21
1273
YPU Boleh Bantu Usahawan Perkasa Ilmu Perniagaan Online
MARANG, 2 Ogos - Dalam Tempoh dan keadaan norma baru yang diamalkan ketika pandemik Covid-19 ini, platform secara atas talian memang sangat penting bagi orang-orang yang melakukan perniagaan.
Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) adalah satu agensi yang menawarkan pelbagai khidmat untuk membantu usahawan dan para peniaga lebih-lebih lagi yang terkesan serta terjejas..
Pengurus Pembangunan Usahawan YPU Negeri Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad berkata pihaknya akan membantu memberi panduan dalam hal peniagaan kepada peniaga dan usahawan.
"YPU juga boleh bantu set up ilmu berkaitan platform secara atas talian, dana, pembangunan produk, packaging dan kursus-kursus berkaitan keusahawanan. Boleh juga berdaftar sebagai ahli YPU.
"Kebanyakan orang yang berumur mungkin agak susah untuk menggunakan medium generasi masa kini, namun jika dipelajari dengan baik ianya boleh membantu semua orang dengan syarat, bersungguh-sungguh.
Beliau berkata ketika mengunjungi dua buah keluarga untuk dibantu di Kampung Rusila dan Medan Jaya bersama-sama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang.
Menurutnya lagi, jika peniaga atau usahawan mempunyai sebarang masalah, mereka juga boleh turus menghubungi YPU untuk mendapatkan sebarang maklumat yang lebih terperinci.
"Kita di YPU memang mempunyai banyak cara untuk membantu atau 'assist' usahawan kita, tetapi anda juga perlu 'berkawan' atau mengenali YPU supaya tidak tercicir atau dengan lebih tepat tidak tahu tentang bantuan yang diperkenalkan kerajaan.
"Jika hari ini, kita mendapat maklumat daripada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, jadi mungkin kita boleh turun ke lapangan untuk memberikan penerangan lebih jelas kepada mereka."
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan bahawa pihaknya sangat komited dalam menyampaikan maklumat untuk membantu masyarakat.
"Kita sangat berterima kasih kepada YPU yang sudi memberikan kebersamaan dalam usaha membantu usahawan dan peniaga kita untuk menempuhi tempoh sukar ini," tambahnya.
03 Aug 21
561
PKPD : Jawatankuasa Khas Pelihara Kebajikan PAKR Anak Ikan
BESUT, 3 Ogos - Kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas penyelarasan berperanan memelihara kebajikan penduduk terkesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, penubuhan tersebut turut berperanan memastikan 722 orang masyarakat berumur mulai satu hingga 80 tahun ke atas tidak tercicir.
“Bantuan sewajarnya akan diagihkan kepada 152 ketua isi rumah (KIR) PAKR Anak Ikan sepanjang PKPD dilaksanakan sehingga 16 Ogos di kawasan tersebut jadi penduduk tidak perlu bimbang.
“Semoga dapat bersabar warga PAKR Anak Ikan Jabi. Tempoh sukar dua minggu ini insya-Allah kita lalui bersama. kebajikan adik kakak semua keutamaan kami,” katanya menerusi Facebook rasminya, petang semalam.
Dalam perkembangan sama, seramai 500 penduduk Kampung Anak Ikan di Besut telah diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan penularan wabak dikawal.
Kerja saringan selama dua hari bermula Isnin sehingga Selasa itu berikutan kedudukan kampung tersebut berdekatan dengan PAKR Anak Ikan.
“Kira-kira 250 penduduk pada Isnin akan disaring di Dataran Masjid Kampung Anak Ikan manakala selebihnya pada Selasa.
“Saya harap semua penduduk dapat hadir menjalani ujian saringan ini sebagai salah satu langkah pencegahan awal.
“Bagi PAKR Anak Ikan pula, penduduk sudah jalani ujian saringan pada minggu lepas dan setakat ini saya dimaklumkan sebanyak 15 kes positif COVID-19 dikesan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
02 Aug 21
279
Suri Rumah Tabah Jaga Anak Ketika Suami Hilang Di Laut
KUALA NERUS, 1 Ogos - Tragedi tanpa titik noktah adalah situasi yang dialami isteri kepada Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, yang hilang di laut mendapat perhatian dan sumbangan kerajaan negeri.
Menemubual suri rumah tersebut, Noorfadillah binti Abdul Rashid, 31, berkata, peristiwa sedih ditimpa sejak bulan Mei sehingga hari kini masih tiada perkhabaran tentang kehilangan bapa kepada dua orang anak itu.
Lebih memilukan, Noorfadillah terpaksa menjaga kedua-dua anaknya bersendirian tanpa suami tersayang disisi hampir tiga bulan.
“Operasi mencari sudah dihentikan dan saya kini tinggal bersama bapa kandung saya di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir,” luahnya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini.
Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri melaporkan Wan Mohd disyaki hilang di laut selepas bot miliknya ditemukan nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.
Melihat kesusahan dialami itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Al-Hikmah semalam telah menziarahinya disamping lima buah keluarga yang terkesan dan memerlukan bantuan.
“Cuma keluarga Noorfadillah ini mendapat lebih perhatian disebabkan kehilangan ketua keluarga yang menyara mereka, pihak PAS kawasan ini turut menyampaikan sumbangan.
“Insya-Allah, kita dari pihak kerajaan akan sentiasa membuat susulan kerana dia merupakan suri rumah yang semestinya hendak menyara dua anaknya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi NGO Al-Hikmah, Syed Ahmad Abdus Salam Syed Nazmi memberitahu kehadiran pihaknya adalah menyampaikan amanah hasil daripada sumbangan orang ramai.
“Bukan wang kami, wang orang ramai juga, terima kasih juga atas kerjasama Mohd Fadhil yang memberi maklumat mereka yang terkesan di kawasan beliau,” tambahnya.
01 Aug 21
312
MRC, Yayasan Amal Wujudkan 260 Kios Kongsi Rezeki Seluruh Negara
KUALA NERUS, 31Julai - Sebanyak 260 kios Amal Kongsi Rezeki berjaya diwujudkan hasil kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Yayasan Amal Malaysia (YAM) di seluruh negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah tersebut merupakan ikhtiar mengajak masyarakat memperkuatkan usaha saling membantu sesama rakyat.
"Dalam suasana seumpama ini, bukan sahaja kerajaan yang membantu rakyat, tetapi rakyat turut membantu rakyat. Insya-Allah, saya yakin melaluinya bebanan ditanggung rakyat akan berkurangan.
"Hari ini saya dan Dr. Alias sumbang barangan berharga RM650. Saya mengajak masyarakat turut menyumbang apa-apa saja barang keperluan, tidak perlu banyak, cukup 10 peratus sahaja dari apa yang mereka beli sebagai usaha bersama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kios Amal Kongsi Rezeki di Sabasun Hypermarket, Wakaf Tembesu, hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak dan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail.
Tambah Khairuddin, beliau turut menyasarkan untuk membuka empat lagi kios tersebut di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen Kuala Nerus.
"Selain itu, sepanjang dua bulan kita melalui fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak parlimen Kuala Nerus telah membelanjakan sebanyak RM600,000 dana bantuan bagi rakyat di sini.
"Sehingga kini, lebih 9,000 keluarga telah menerima manfaat ini melalui program bakul makanan parlimen untuk meringankan bebanan rakyat disamping bantuan tunai kepada sebahagian keluarga," katanya.
31 Jul 21
213
Wartawan 'TvSepuluh Kini' Tarik Perhatian Warga Kemaman
KEMAMAN, 31 Julai - Kemunculan seorang lelaki berperwatakan dan berketerampilan luar kebiasaan, kini menjadi perhatian serta tumpuan masyarakat komuniti di sini.
Beliau dengan gaya dan cara tersendiri hampir setiap hari membuat siaran langsung di 'Facebook' miliknya iaitu Wartawan 'TvSepuluh Kini'.
Beliau akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mempromosikan perniagaan komuniti setempat tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Kini, apa yang dilakukannya itu mula menjadi 'viral' sejak awal tahun ini.
"Sebelum ini, saya mengadakan siaran langsung tanpa menunjukkan diri sendiri. Namun, saya menerima banyak permintaan dari penonton yang ingin melihat diri saya.
"Selepas itu, saya mula mendapat idea untuk menonjolkan diri tetapi dengan hanya menyamar seperti ini.
"Memandangkan saya juga seorang peniaga, saya amat memahami perasaan peniaga-peniaga lain yang sedang bersedih kerana terjejas pendapatan ketika negara ini masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Oleh yang demikian, saya mula mengadakan siaran langsung secara amal. Kebanyakannya, saya turun mempromosikan perniagaan penjaja-penjaja kecil di tepi jalan," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin.
Beliau yang lebih suka tidak mendedahkan identiti sebenar menerima apa jua tanggapan orang ramai terhadapnya sama ada positif atau pun negatif.
"Dunia hari ini sedang bersedih. Apa yang saya lakukan ini hanyalah untuk menghiburkan hati mereka terutamanya peniaga-peniaga.
"Ini semua hanyalah watak penghayatan sebagai wartawan tv sepuluh sahaja. Perwatakan sebenar saya sama sahaja seperti orang lain," jelasnya.
Beliau turut menghargai sokongon daripada penonton-penonton yang kebanyakannya bukan sahaja dari negeri Terengganu ini, bahkan ada juga penonton dari negeri Pahang, Kedah, Johor dan lain-lain.
"Saya tumpang gembira apabila ada sebahagian peniaga semakin laris jualannya selepas dipromosikan. Itu semua adalah ketentuan dan takdir daripada Allah SWT.
"Semoga kita sama-sama memperoleh manfaatnya," ujarnya yang turut mempunyai perniagaan kedai makan iaitu 'Fahmi Hotlenz dan mobile spa bergerak 'Fahmi EBclusive Men'," katanya.
31 Jul 21
2434