Artikel "Ekonomi" Terkini
Rakyat Perlu Ambil Peluang, Kerajaan Akan Sedia Ruang – MB Terengganu
Dr. Samsuri mahu manfaat pembinaan ECRL dirasai dan digunakan sebaik mungkin oleh rakyat Terengganu. MARANG, 24 April – Kerajaan negeri mahu rakyat mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi meningkatkan ekonomi diri.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek berkenaan dapat membantu rakyat sekiranya dimanfaatkan dengan baik.“Perlu ada kerjasama erat antara kontraktor dan syarikat milik anak negeri supaya penduduk tempatan dapat terlibat dalam aktiviti pembinaan ini melalui pelbagai cara.“Ada beberapa lagi aspek yang perlu pertimbangan kerajaan negeri dalam projek ini dan kita ambil ruang berkenaan supaya dapat membantu syarikat-syarikat ini terlibat sama,” katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hentian Bas Marang yang baru siap dibina dengan nilai RM2 juta, di bandar Marang, di sini, malam tadi.Hentian Bas Marang bakal jadi pusat hubungan penting bagi daerah Marang bersama hentian ECRL Pengkalan Berangan yang bakal dibina. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Yang Dipertua Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim serta Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.Dr. Samsuri berharap pembinaan ECRL akan merancakkan aktiviti ekonomi di dalam negeri selain turut mengesahkan terdapat pelbagai peluang pekerjaan dalam projek tersebut.“Saya juga mendapatkan kepastian pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) sama ada akan berlaku kebanjiran pekerja asing, tetapi dimaklumkan pihak China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) hanya mendatangkan tenaga pakar tanpa meminggirkan Bumiputera.“Pekerja-pekerja asing itu juga akan ditempatkan di kuarters mereka dan ini juga boleh membantu aktiviti ekonomi seperti membekalkan bahan-bahan mentah dan sebagainya ke kuarters mereka,” katanya.Beliau turut menggesa rakyat mengambil manfaat projek itu dengan mengembangkan ekonomi setempat.“Rakyat tempatan perlu ambil peluang ini dan jangan biar orang luar yang tiada kaitan dengan Terengganu ambil kesempatan,” katanya lagi.
24 Apr 19
298
Labuh Unjam Komuniti Pupuk Semangat Kekitaan
Foto oleh - Norekwan MamatOleh: Hidayah AzlinBESUT, 23 April - Program labuh unjam dan tukun bersama komuniti bukan sahaja membantu untuk memperkayakan sumber perikanan malah memupuk semangat kekitaan di kalangan nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti itu mampu memupuk komuniti mengeratkan persaudaraan sambil menikmati hasil penat lelah dan saling menjaga sumber rezeki untuk faedah mereka bersama. “Hari ini saya sangat puji dan menghargai semangat kerjasama nelayan kawasan Pantai Benting Lintang ini yang kita boleh simpulkan antara yang terbaik memberikan kerjasama, semangat setiakawan dan kekitaan untuk melaksanakan program,” katanya.Beliau berkata demikian kepada media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Pelancaran Melabuh Unjam Perairan Besut, pagi tadi.Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, di majlis itu, sebanyak 25 unjam daun kelapa dan daun gelam dilabuhkan bersama pemberat konkrit dengan jarak empat hingga lima batu nautika daripada pantai, iaitu zon tangkapan nelayan pantai dan zon larangan pukat tunda. Katanya, untuk program tukun tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000, manakala Kerajaan Persekutuan pula membelanjakan kira-kira RM300,000 secara berperingkat-peringkat.Katanya, Besut merupakan daerah pertama melaksanakan projek itu tahun ini. Manakala tahun lalu, program yang sama dijalankan di perairan Kuala Besut yang melibatkan 28 buah tukun dasar lembut dan perairan Marang (53 tukun), manakala di perairan Paka, Dungun (44 tukun)‘’Program melabuh tukun ini kita akan diteruskan di Kuala Terengganu Utara dan Daerah Setiu. Program melabuh unjam pula, kita akan pastikan dapat dilaksanakan di semua daerah secara berperingkat.’’jelasnya lagi.“ Selain perkayakan semula sumber, kita sedaya yang mampu membanteras pencerobohan yang merupakan punca ancaman sebenar nelayan.”
22 Apr 19
1049
YPK Dungun Agih RM160,000 Pinjaman Modal Program Jaya Diri
Salah seorang peserta terpilih menerima pinjaman modal yang disampaikan Alias.Oleh : Nooreni Abu BakarDUNGUN, 22 April – Seramai 18 peserta wanita Dungun terpilih menerima bantuan Pinjaman Modal Program Jaya Diri berjumlah RM160,000 daripada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bagi membesarkan perniagaan mereka.Skim pinjaman itu merupakan bantuan pinjaman tanpa faedah untuk membantu usahawan anak negeri supaya meningkatkan perniagaan ke tahap lebih baik.Seorang daripada 18 penerima berkenaan, Wan Rosmaliza Wan Ali mewakili lafaz akad penerimaan pinjaman tersebut dalam sebuah majlis sempena Hari Keluarga Desa Keluarga Dungun di perkarangan Flat Bijangga, di sini, Sabtu lalu.Bantuan berkenaan disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun disaksikan wakil YPK.Majlis itu turut dihadiri pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Kawasan Dungun, Farah Nor Faradila Mohd Zuki. Alias turut seru penduduk laksana tanggungjawab sebagai penyewa Desa Keluarga supaya tidak membebankan YPK. Dalam pada itu, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang menasihati para penyewa di kediaman berkenaan supaya melunaskan kadar sewa di setiap akhir bulan sebagaimana ditetapkan berikutan terdapat aduan berkaitan tunggakan sewa diterima. "Perlu diingat bahawa kita, kerajaan dan korporat masing-masing ada tanggungjawab untuk membina negeri yang cantik ini."Jadi, saya mohon penghuni-penghuni di sini berusahalah untuk menjelaskan sewa, berusaha membayar tungakan. Kalau tunggakan RM400, usaha selesaikan sebahagian terlebih dahulu,” katanya sambil memaklumkan, kadar sewa serendah RM100 hingga RM140 itu tidak seharusnya menjadi masalah untuk dijelaskan setiap bulan kepada YPK. Menurutnya, kerajaan sama ada negeri dan Persekutuan memperuntukkan jumlah yang besar untuk menaik taraf kemudahan sebagai langkah meningkatkan keselesaan penghuni di kediaman tersebut. "Tetap, jika tiada kerjasama (melunaskan tunggakan) daripada tuan-puan, maka kerajaan hanya dapat melakukan penambahbaikan secara minimum sahaja."Usaha murni tuan puan, bukan sahaja akan beroleh keberkatan Allah SWT tetapi juga memberi kemudahan kepada kerajaan merangka, merancang dan menambah baik kemudahan sedia ada," katanya. Para penduduk Desa Keluarga laksana pelbagai aktiviti untuk erat hubungan dalam komuniti.
22 Apr 19
403
‘Corporate Directors' Programme’ Langkah Tingkatkan Produktiviti GLC Terengganu
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) hadir mendengar syarahan Tan Sri Abdul Wahid.KUALA TERENGGANU, 21 April - 'Corporate Directors' Programme' (CDP) 2019 yang bermula hari ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti syarikat perniagaan di bawah kumpulan tersebut.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, prestasi pentadbiran akan mencapai tahap tertinggi apabila setiap warga kerja mempunyai ilmu yang berkualiti untuk menguruskan syarikat.Katanya, pengurusan tertinggi syarikat juga akan mendapat maklumat baharu mengenai pertambahan dan pembaharuan undang-undang tertentu dalam urusan perniagaan. “Program hari ini sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bersama dengan Terengganu Inc untuk memastikan semua ahli lembaga pengarah dan pengerusi-pengerusi dibekalkan dengan ilmu yang mencukupi dalam mereka menjalankan tugas.“Ditambah pula dengan ada perubahan ‘Companies Act’ yang memerlukan mereka mendapat makluman baru dan pengetahuan tentang apa yang dikategorikan sebagai rasuah dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya.Syarahan Tan Sri Abdul Wahid cipta harapan baru.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir dalam Majlis Corporate Talk Terengganu Inc bersempena program itu di Duyung Marina & Resort, di sini hari ini.Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Terengganu, Ahli-Ahli Parlimen Terengganu, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah Anak Syarikat Terengganu Inc.Ahmad Samsuri turut berkata, program berbentuk taklimat itu juga bakal melahirkan kumpulan pengurusan yang berkualiti tinggi dalam mendepani arus ekonomi yang tidak menentu.Secara tidak langsung ia akan memacu ekonomi syarikat dan negeri ke arah yang lebih menguntungkan pada masa akan datang.Pegawai kanan kerajaan negeri tekun mendengar.“Taklimat daripada pelbagai agensi ini adalah untuk meningkatkan kompetensi untuk menjadi seorang ahli lembaga pengarah ataupun pengerusi di syarikat masing-masing,” tambah beliau.
21 Apr 19
187
Pajakan Lama Untuk Tapak Pasar Tani Yang Lebih Selesa
Oleh: Syed Abdul RahmanKUALA TERENGGANU, 19 April- Sebahagian besar peniaga Pasar Tani Padang Hiliran menyarankan agar tapak perniagaan Pasar Tani diberikan pajakan yang lama supaya dapat dibangunkan sebagai tapak perniagaan yang lebih baik dan selesa.Salah seorang peniaga, Hisyam Zuhdi, berkata pajakan yang lama ini akan membantu membina satu tapak perniagaan yang sesuai seperti mengadakan sebuah pejabat untuk menguruskan para peniaga."Dengan pengurusan yang kemas, kami berharap kawasan tesebut diselenggara dengan baik supaya tapak perniagaan menjadi kawasan yang selesa untuk berniaga, tidak berdebu dan tiada gangguan air bertakung."Sekiranya tiada apa-apa perjanjian, sukar bagi kami untuk membangunkan tempat yang sesuai dengan kehendak peniaga dan hasrat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ,"katanya kepada pemberita ketika ditanya berkait permasalahan di kawasan itu, di sini hari ini.Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed diiringi Pengarah FAMA Negeri, Fauzi Mohamad dan pegawainya membuat tinjauan serta beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di Pasar Tani Padang Hiliran.Sementara itu, Ahmad Shah berkata pihaknya akan melihat keperluan dan akan membantu para peniaga supaya perniagaan mereka lebih maju.“ Pihak kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada para peniaga untuk mencari rezeki dan mengembangkan perniagaan dan ekonomi mereka," katanya.
19 Apr 19
84
Chicken Cottage ‘Peremajaan Semula’ - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 April - Rangkaian restoran makanan segera berjenama antarabangsa yang berpangkalan di London, Chicken Cottage dan beroperasi di cawangan Kuala Terengganu akan melalui proses rejuvenate (peremajaan semula).Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keseluruhan cawangan Chicken Cottage termasuk dalam dan luar negara kini sedang melalui proses penelitian semula terhadap segala aspek untuk mengurangkan kerugian yang dialami. “Kita akan buat proses rejuvenate di Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu termasuk akan dipindahkan ke Mayang Mall apabila siapnya tempat yang dijangka lebih menjadi tumpuan ramai itu nanti.“Buat masa ini, kita dalam proses untuk hentikan sementara operasinya sehingga dibuka kembali di Mayang Mall yang mungkin akan mengambil masa selama dua tahun sehingga pusat membeli belah baharu tersebut siap,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.Katanya, dalam tempoh tersebut, semua kakitangannya akan ditempatkan secara sementara di anak syarikat kerajaan negeri yang lain dengan melihat kepada kesesuaian dan proses penempatan tersebut akan dilakukan selepas Aidilfitri nanti.“Dengan pilihan, mereka ini akan beri keutamaan untuk bekerja kembali di Chicken Cottage yang dijadualkan akan beroperasi di Payang Mall dalam masa dua tahun akan datang,” ujarnya.
17 Apr 19
202
Kuala Terengganu Pengeluar Terbesar Ikan Makan
Zawawi Ali.Oleh: Wan Luqman HakimKUALA TERENGGANU, 17 April - Kuala Terengganu menjadi daerah penyumbang utama dalam industri pengeluaran ikan makan di Terengganu.Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali berkata, Terengganu mempunyai seramai 825 penternak yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri dalam kategori ikan makan dan hiasan serta benih ikan.Jelasnya, daripada keseluruhan data berkenaan, Kuala Terengganu mencatatkan peratusan tertinggi berbanding daerah lain dalam sektor ikan makan.“Pada tahun 2018, sebanyak 5,351.61 metrik tan pengeluaran ikan makan telah direkodkan dengan nilai RM94.668 juta manakala pengeluaran ikan hiasan dan benih adalah masing-masing bernilai RM4.018 juta dan RM932.369 juta.“Kuala Terengganu mengungguli pengeluaran ikan makan sebanyak 35 peratus manakala daerah Kemaman memberi sumbangan hampir 41.6 peratus bagi sektor ikan hiasan, pengeluaran benih ikan marin pula disumbangkan oleh Besut,” jelasnya.Beliau berkata sedemikian semasa berucap dalam Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu 2019 bertempat di Dewan Besar, Akademi Perikanan Malaysia, di sini, semalam.Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengarah Akademi Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, ketua-ketua jabatan serta agensi perikanan. Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu adalah usaha pihak kerajaan bagi memastikan pengurusan pembangunan imdustri akuakultur lebih teratur.Ia juga bertujuan untuk mengangkat produk perikanan negeri ke pasaran negara dan juga antarabangsa.
16 Apr 19
176
Pusatkan Pentadbiran Industri Petroleum Di Terengganu - Haji Amzad
Haji Ahmad AmzadKUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan Persekutuan perlu membangunkan segera industri maritim di Terengganu kerana rizab petroleum dan gas lebih banyak ditemui di tengah laut perairan negeri ini pada masa hadapan.Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, perkembangan itu akan memerlukan prasarana maritim yang lengkap dan dapat memenuhi saiz pasarannya kelak."Industri sebegini tidak mampu dibangunkan hanya secara inisiatif pihak swasta bersendirian. Ia perlu cetusan modal yang besar dari kerajaan melalui projek-projek perintis seperti dilakukan di Lumut, Perak dan Johor," katanya.Beliau menyuarakan pandangan bernas itu dalam Program Bicara Darul Iman yang bertajuk 'Ekonomi Bumiputera Agenda Nasional' di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini,semalam.Turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Tun Daim Zainuddin, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai kanan kerajaan negeri dan orang awam.Amzad berkata, beliau memfokuskan kepada keperluan membangunkan segera industri maritim itu berikutan potensi rizab minyak dan gas yang semakin banyak di tengah laut Terengganu. Katanya, Terengganu sudah terlalu lama menjadi pemerhati dalam industri petroleum dan tidak aktif dalam perbekalan dan perkhidmatan dalam industri itu. Oleh yang demikian, Kerajaan Pusat sepatutnya memberi peluang kepada negeri ini untuk menjadi pemangkin kepada industri berkenaan."Dalam respon Tun Daim, beliau bersetuju dengan saya, kenyataan ekonomi yang boleh melonjak ekonomi Terengganu adalah perbekalan dan perkhidmatan dalam industri Petroleum."Malah beliau secara berseloroh menyebut, cara paling mudah adalah Perdana Menteri lantik dari Terengganu," katanya.Haji Ahmad Amzad bersetuju cadangan tersebut kerana berhasrat mencadangkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar pemusatan semua aktiviti pentadbiran industri petroleum tidak lagi di Kuala Lumpur."Saya nak cadangkan kepada Perdana Menteri supaya pemusatan semua aktiviti pentadbiran industri Petroleum jangan lagi di Kuala Lumpur. "Pusatkan di negeri pengeluar , Terengganu. Urusan tender, mesyuarat utama, 'exhibition oil and gas' yang utama dan besar-besar, khidmat nasihat dan perbekalan, semua berkampung di Terenggganu. Ini kerana ia boleh mengalih bebanan yang besar kesesakan di Lembah Klang," jelasnya.Katanya, syarikat petroleum yang berkaitan sepatutnya didaftar di Terengganu dan membayar cukai koperat melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Terengganu."Selama ini mesyuarat, pentadbiran di Kuala Lumpur tetapi kutip hasil dari bahan petroleum mentah hingga kerja-kerja 'upstream' yang bernilai puluhan billion setahun di perairan Terengganu begitu juga 'downstream', tetapi 'corporate account, semua di Kuala Lumpur. "Kemudian masing-masing bersungut “oh, Terengganu sumbang cukai sikit jer kepada Persekutuan!" ujar beliau lagi.
14 Apr 19
137
Tun Daim Beri Bayangan Jajaran ECRL Di Terengganu Kekal
Tun Daim Zainuddin.KUALA TERENGGANU, 14 April - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan melalui negeri Terengganu dijangka akan dikekalkan.Pengerusi Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin memberi bayangan terhadap perkara itu dengan mengatakan bahawa segalanya akan mengikut seperti perancangan awal.Jelasnya, stesen ECRL yang berfungsi untuk kargo dan penumpang itu akan dimuktamadkan sepenuhnya pada sidang media oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad esok.“Saya tahu banyak di pantai timur, termasuk Terengganu, berminat supaya projek ini diteruskan dan laporan bahawa ECRL akan diteruskan disambut baik dengan kegembiraan di pantai timur.“Saya juga baca laporan yang mengatakan saya tinggalkan Terengganu dalam projek ini, ECRL bermaksud East Cost Rail Link, kalau Terengganu tak dimasuk bukan east cost,” jelasnya. Ahmad Samsuri turut berucap dalam program itu.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Darul Iman yang bertajuk Ekonomi Bumiputera Agenda Nasional di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini.Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azhar.Hadir sama ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen Terengganu, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu serta pegawai-pegawai jabatan negeri.Tun Daim turut berkata, projek ECRL adalah projek untuk meningkatkan dan mengembangkan taraf ekonomi bumiputera terutamanya di pantai timur.Jelasnya, peluang usahawan bumiputera di pantai timur untuk membuktikan keupayaan dan bersaing dalam industri tersebut akan meningkat.“Industri sampingan seperti 'homestay', makanan, pengangkutan dan runcit pasti akan berkembang dengan adanya ECRL, di mana usahawan, baik besar ataupun kecil akan terdedah kepada lebih banyak peluang,” katanya. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad turut mengambil bahagian dalam sesi soal jawab.Menjawab persoalan mengenai kos tambang ECRL, Tun Daim berkata, tanggungjawab itu pastinya perlu dipikul oleh kerajaan dalam mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh rakyat.“Dulu kita buat kajian, kos satu perjalanan menelan belanja sebanyak RM500 (ke Kuala Lumpur), tapi projek untuk rakyat, selalunya projek pengangkutan untuk rakyat akan diberi subsidi,” tambah beliau.Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat lalu mengumumkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Company Ltd memeterai perjanjian tambahan yang membuka jalan bagi menyambung semula projek ECRL.
14 Apr 19
489
MB Terkejut Sambutan Karnival Kewangan Terengganu
Dr Ahmad Samsuri (kanan) menandatangani plak Pelancaran Minggu Amal Untuk Alam sebuah bank di sebuah hotel di Kuala Nerus semalam. Turut menyaksikan gimik pelancaran itu, Syukor Khamis (tengah), ikon Kampong Boy Terengganu yang popular dengan kerbaunya.KUALA NERUS, 5 April - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terkejut dengan sambutan rakyat Terengganu dari semua lapisan masyarakat terhadap Karnival Kewangan Terengganu di sebuah hotel di sini semalam.Ini kerana katanya, urusan kewangan merupakan aspek yang serius bersangkut dengan sistem perbankan dan perkembangan ekonomi serta perniagaan."Saya datang terkejut tengok, dengan semua lapisan masyarakat Terengganu datang melawat karnival ini termasuk pelajar sekolah rendah."Mereka mahu mengetahui bagaimana sistem urusan kewangan dan ekonomi berfungsi di negara ini. Mereka adalah pelanggan yang akan diberi pendedahan bagaimana mereka boleh melibatkan diri dalam sistem tersebut," ujarnya.Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri) begitu serius mendengar taklimat kewangan dari seorang kakitangan sebuah bank di Karnival Kewangan Terengganu Kali Kelima di Kuala Nerus semalam.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan satu portal pelaburan kewangan dan melawat booth-booth agensi perbankan dari seluruh negara di karnival berkenaan.Turut hadir dalam sidang media itu, Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya.Karnival itu berlangsung selama tiga hari mulai semalam hingga 6 April ini.Ketika mengulas tentang karnival berkenaan, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, karnival kewangan itu adalah satu karnival yang sangat penting kepada rakyat negeri Terengganu.Ini kerana katanya, fahaman masyarakat perlu diperbetulkan bahawa urusan bank bukan hanya untuk golongan peniaga dan orang kaya semata-mata tetapi sebaliknya ia adalah untuk semua rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini."Sebelum ini, orang yang ada duit sahaja pergi ke bank atau dapat khidmat bank tetapi sebenarnya bank adalah merupakan satu institusi yang dekat dengan seluruh rakyat dalam negara kita."Tambah lagi dalam keadaan sekarang, punca kuasa bank itu ada dalam poket masing-masing. Jadi tentulah peranan sistem kewangan yang ada di dalam negara kita ini adalah penting dan dekat dengan kehidupan kita sehari-hari," jelasnya.Dalam masa yang sama katanya, negara berdepan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0 di mana semua aktiviti kehidupan dan pengurusan kewangan perlu dijuruskan ke arah menyahut cabaran tersebut."Tentulah cabaran yang kita hadapi di masa hadapan adalah satu cabaran yang lebih besar."Bank perlu bertemu dengan pelanggannya iaitu rakyat dalam sesebuah negeri itu termasuk yang datang pada hari ini untuk mendapat maklumat tersebut," jelasnya lagi.
04 Apr 19
126