lightning-solid
Berita :

Artikel "Ekonomi" Terkini

Empty Image
Bobby' s Kitchen Restoran Eksklusif Pada Harga Berpatutan
Oleh : Adli MohamadKUALA TERENGGANU, 24 Mei-   Bobby's Kitchen sebuah restoran yang kelihatan mewah dan eksklusif dengan harga yang  berpatutan kini menjadi pilihan warga tempatan untuk menjamu selera.Pemiliknya, Abdul Hakim Abdul Halim, 28, berkata dia amat mementingkan kualiti dan kepuasan pelanggan serta dapat menikmati suasana yang penuh santai jika berkunjung ke restorannya."Ia menjadi pilihan untuk membawa keluarga bersantai di samping kami menyediakan pakej makanan berkonsepkan timur dan barat."Tidak ketinggalan masakan kampung, Thailand dan ada juga makanan barat.Para pengunjung dihiburkan dengam hiburan santai oleh 'buskers' dengan seleksi lagu puisi dan lagu ketuhanan serta lagu yang tidak melampau," ujarnya.Abdul HakimBeliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di restoran miliknya, di Bukit Besar berhampiran Dewan Badminton, semalam.Menurutnya lagi, Bobby's Kitchen juga mempunyai cawangan di Paka, Dungun." Restoran mula beroperasi jika hari biasa pada waktu 5.30 petang sehingga 12.30 malam, di Bulan Ramadan, ia bermula pada jam 6 petang berakhir 2 pagi kerana memberi peluang untuk berbuka dengan pakej hidangan istimewa pada Bulan Ramadan dan juga memberi peluang untuk bersahur, "jelasnya.Beliau yang mula berniaga di restoran berkenaan bermula tahun 2017  turut memberi jaminan, bahawa makanan yang ditempah akan segera disiapkan dengan layanan penuh mesra dan para pengunjung tidak akan menunggu lama untuk menerima layanan." Ia bagi menjamin kualiti Bobby's Kitchen terjamin dan sentiasa menjadi pilhan ramai," jelasnya.
23 May 19
1077
Empty Image
Ayam Payang Dalam Kenangan Tarik Perhatian Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Setiap kali Ramadan menjengah, pasti ada satu perasaan unik yang sukar digambarkan berbanding bulan sebelumnya, di samping kemeriahan berpuasa dan solat sunat tarawih, kewujudan bazar Ramadan juga mewarnai suasana.Namakan saja apa jenis makanan yang anda idamkan, baik tradisional ataupun barat, semuanya sedia dijual dengan ratusan deretan peniaga di bazar Ramadan, sehingga anda jadi rambang mata memilihnya, hanya sediakan duit sahaja tetapi jangan sampai membazir.Antara hidangan lazat yang menjadi buah mulut orang ramai ialah ayam payang (tempayan). Malah menu istimewa itu mempunyai peminatnya sendiri dan mendapat permintaan yang tinggi.Pemiliknya, Mohd Shaharudin Shafie, 26,  berkata, ayam yang dibakar di dalam tempayan mendapat sambutan penduduk setempat kerana aroma dan kelainan rasanya berbanding ayam lain.Mengenai keistimewaan ayamnya, Mohd Shaharudin sempat berkongsi rahsia bahawa ayamnya akan diperap dengan ramuan rempah ratus khas  selama lapan jam sebagaimana yang dipelajari di Thailand dan di Malaysia sendiri tujuh  tahun lalu sebelum dipanggang di dalam tempayan besar."Ia dimasak menggunakan bara arang sehingga menghasilkan isi yang lebih lembut berbanding ayam yang digoreng malah tempayan baharu yang digunakan itu mampu memuatkan 25 ekor ayam dalam satu-satu masa dan dapat dimasak dengan lebih cepat iaitu kira-kira satu jam berbanding sebelum ini tiga jam.“Rata-rata pelanggan memberi komen yang positif dengan rasa ayam yang berjus, lembut dan terasa rempah sehingga ke tulangnya dan setiap hari kami memperuntukkan 150 hingga 250 ekor ayam yang dijual pada harga RM24 seekor serta setiap pembelian percuma dengan sebotol air jus buah,” katanya.Mohd Shaharudin.Jelasnya lagi, kawalan api melalui kayu arang yang sempurna sepanjang proses memanggang penting bagi memastikan ayam tidak hangus hingga mengubah rasa, warna dan kualiti.Jika sebelum ini mereka berniaga di tujuh lokasi berbeza setiap tahun, tetapi untuk tahun ini hanya fokus di Bazar Ramadan Batu Burok dengan menyewa enam lot tapak dan pada  tahun ini mereka menambah tiga tempayan lebih besar menjadikan kesemuanya 15 tempayan digunakan.“Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang ingin merasai ayam payang selepas Ramadan, kini kami dalam proses membuka sebuah kedai di Kuala Ibai selepas raya nanti dan insya-Allah tidak ada masalah lagi jika pelanggan nak membelinya serta tidak perlu menunggu tahun depan,” ujarnya lagi.Perniagaan mereka bukan semata-mata untuk tujuan kewangan, tetapi juga menyimpan simbolik dan kenangan tersendiri demi sahabat tercinta, Allahyarham Mohd Lukman Riduan yang telah pulang ke rahmatullah dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.“Arwah adalah antara orang yang mencetus perniagaan ini termasuk memberi dorongan dan idea dalam perniagaan ayam payang. Bila arwah pergi, kami mengambil keputusan untuk menukar nama perniagaan kami kepada Ayam Payang Dalam Kenangan sebagai tanda ingatan kami yang tidak pernah pudar kepadanya.“Malah sebahagian hasil keuntungan daripada perniagaan ini akan kami salurkan kepada keluarga arwah dan juga rumah anak yatim terpilih,” katanya ketika ditemui di Tapak Bazar Ramadan Batu Buruk, di sini baru-baru ini.Mohd Shaharudin berkata, beliau bersyukur kerana perusahaan Ayam Payang Dalam Kenangan Bazar Ramadan Batu Buruk itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung dan memberi pulangan lumayan kepada mereka.
20 May 19
1116
Empty Image
West Wharf Berpotensi Catat Prestasi Lebih Baik
Ahmad Amzad bersama pengurusan Sukma Samudra sewaktu tinjauan.Oleh: Syed KamalKEMAMAN, 15 Mei - Pelabuhan Sukma Samudra atau lebih dikenali sebagai West Wharf (Dermaga Barat) Pelabuhan Kemaman dilihat berpotensi mencatat prestasi lebih baik pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelum ini.Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, untuk suku pertama tahun 2019 Sukma Samudra mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam hasil dan keuntungan berbanding tempoh yang sama, tahun lalu. Beliau turut memuji pihak pengurusan Sukma Samudra yang dilihat sangat komited dalam perkhidmatan itu. “Melihat kepada komitmen yang diberikan oleh pengurusan dalam meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan, saya yakin kita berada pada landasan yang betul untuk membuat catatan prestasi yang lebih baik,” katanya.Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan tapak ke Sukma Samudra bagi meninjau sendiri kemajuan kerja-kerja pembaikan dermaga pelabuhan bersama Pengurus Besar Sukma Samudra, Ashari Mohamad serta pengurusan kanan dermaga itu, semalam.Selaku Pengerusi Sukma Samudra Sdn Bhd merangkap Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad, Amzad sempat meninjau ketibaan Kapal Accomodation Vessel Setia Station1 yang bakal beroperasi berdasarkan pelaksanaan kontrak ExxonMobil bernilai lebih RM500 juta yang dianugerahkan kepada Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad.Beliau turut meninjau kerja-kerja baik pulih kapal KD Gempita milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Limbungan Terapung EPIC Marine selain beramah mesra dengan anggota TLDM yang ditempatkan untuk mengawasi kemajuan proses pembaikan.Sukma Samudra Sdn Bhd menguruskan dermaga barat Pelabuhan Kemaman manakala Dermaga Timur diuruskan oleh Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd. Kedua duanya adalah anak anak syarikat EPIC Berhad.
15 May 19
1106
Empty Image
185 Penerima Dana TUGAS
Nurkhuzaini bersama wakil penerima dana TUGAS.KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Seramai 185 daripada  kira-kira 580 pemohon Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) menerima pembiayaan dana berjumlah RM619,939 sejak diperkenalkan Januari lalu.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berusaha menyelesaikan permohonan berkenaan secepat mungkin supaya pemohon dapat memajukan perniagaan masing-masing.“Saya rasa amat terharu menyampaikan dana TUGAS ini kerana saya juga berasal daripada keluarga penjaja dan memahami keperluan mereka.“Walaupun jumlah yang diterima tidaklah begitu banyak, di sisi mereka ia satu nilai yang besar dan dapat membantu mensejahterakan mereka dalam bidang yang diceburi,” katanya ketika ditemui pemberita.Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Tabung Usahawan Sejahtera Terengganu (TUGAS) di Dewan Konvensyen YPU, di sini, semalam.Nurkhuzaini bersama Hilmi (kiri) dan Anuar menyerahkan replika cek kepada wakil penerima SP3T.Turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YPU, Hilmi Harun; Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Anuar Awang serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah YPU.Nurkhuzaini turut memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM15 juta dana TUGAS bagi membantu usahawan-usahawan Terengganu.“Kita berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya peruntukan yang diberikan tahun ini kepada yang layak tanpa mengehadkan kuantiti penerimanya.“Saya rasa masih terdapat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi antara medium permohonan TUGAS kurang mempromosikannya kepada penduduk di kawasan masing-masing dan berharap kempen diadakan untuk mempelawa lebih ramai rakyat yang memerlukan membuat permohonan,” katanya.Daripada keseluruhan penerima, Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T)(17 penerima), Tabung Siti Khadijah (TSK) (10 penerima), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT)(3 penerima), Dana Usahawan & Industri Mikro Terengganu (DUIT)(2 penerima) serta Dana Prihatin Terengganu –OKU(D-Hati)(2 penerima).Dua skim baharu turut diperkenalkan iaitu Skim Bantuan Usahawan Mualaf (10 penerima) dan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan (141 penerima).Untuk makluman, sejak dilancarkan pada Januari 2002 sehingga April 2019, sejumlah lebih kurang RM23 juta pembiayaan telah dikeluarkan melibatkan seramai 2,326 usahawan.
14 May 19
156
Empty Image
Terengganu Sedia Pinjaman Jangka Pendek Bantu Peniaga Bazar Ramadan
YPU wujudkan skim pinjaman untuk bantu peniaga bazar.KUALA TERENGGANU, 15 Mei – Kerajaan negeri menyediakan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan 2019 bagi membantu para peniaga meningkatkan modal dan memenuhi keperluan mereka sepanjang sebulan berniaga.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, skim berkenaan bukannya peruntukan khusus yang termasuk dalam dana Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS).“Pelaksanaan skim ini merupakan idea yang terbentuk setelah mendapat permohonan daripada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Terengganu bagi meringankan beban modal para peniaga bazar Ramadan."Oleh itu, kita mewujudkan satu pinjaman jangka masa pendek dengan tempoh pembayaran pada bulan Syawal dengan kadar RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap ahli di bawah jaminan persatuan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Tabung Usahawan Sejahtera Terengganu (TUGAS) di Dewan Konvensyen YPU, di sini, semalam.Dalam majlis tersebut, seramai 185 usahawan menerima pembiayaan dana TUGAS melalui skim masing-masing dengan peruntukan sebanyak RM619,929.Nurkhuzaini berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 141 merupakan penerima Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM160,500.“Kita faham peniaga perlu persiapan lebih untuk hadapi Ramadan kerana itu, pembiayaan ini diwujudkan sementara dan kita perlukan jaminan bayaran balik disebabkan ia dipinjamkan daripada peruntukan lain.“Untuk tahun hadapan, kita akan melihat respon daripada peniaga. Berdasarkan respon tidak langsung, jika dilaksanakan ia mungkin bakal ‘pecah panggung’ berdasarkan keperluan peniaga yang memerlukan modal lebih sepanjang Ramadan," katanya.Menurutnya, setakat ini masih ada lagi peniaga yang tidak berkesempatan untuk memohon kerana masa dan peruntukan yang terhad.
14 May 19
152
Empty Image
Ayam Gepuk Makan Sapa Larat Nangis
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Bila bercerita soal makanan di bulan Ramadan, anda pastinya teruja untuk mencuba makanan yang sedang 'viral' terutama yang mempunyai rasa yang unik.Kali ini kami kongsikan, menu untuk mereka yang gemar kepedasan dengan citarasa Indonesia dan Malaysia yang terletak di Bazar Ramadan Syahbandar.Pengusahanya, Zulkalmul Hakem Mat Zin, 30, berkata idea untuk membawanya masuk ke Terengganu timbul apabila melihat sambutannya ketika berkunjung ke sebuah kedai yang terkenal dengan sajian ini di Kuala Lumpur."Sejak mencubanya di salah sebuah kedai yang menjual menu ini di Kuala Lumpur, saya terfikir mengapa saya tidak bawa masakan ini ke Terengganu yang rata-rata penduduknya suka makan pedas."Dan dari situ saya mula belajar  bagaimana memasaknya dari seorang kenalan di Indonesia dan mengolahnya dengan gabungan resepi dua negara," ujarnya.Ketika ditanya rahsia keenakan ayam gepuknya, beliau yang juga pemilik Restoran Singgang Budu itu berkata, ia terpulang pada cara pemprosesan pemerapan ayam dengan rempah ratus yang bermula sehari sebelum dan pagi keesokannya barulah ia direbus sebelum digoreng panas di bazar dan yang pasti sambal ayam gepuk adalah menu penting dalam penyediaan makanan ini.“Kelainan sambal ini terletak pada tahap kepedasannya. Pengunjung boleh memilih sendiri tahap kepedasan yang diinginkan sama ada tahap biasa, sederhana atau paling pedas.“Bagi yang pertama kali hendak cuba ayam gepuk ini, saya sarankan supaya pelanggan mula dengan tahap lima terlebih dulu. Bagaimanapun, jika mahu pedas lagi boleh tambah kemudian,” katanya.Mana tidaknya, lebih 20 kilogram cili padi digunakan setiap hari dan cili digiling dengan begitu teliti bagi memastikan ia hancur dan sebati bersama bahan lain seperti bawang putih, kacang, garam dan gula.Lebih istimewa, bahan-bahan tersebut digiling secara tradisional dengan menggunakan batu giling yang sering digunakan pada masa dahulu.Dengan dibantu 14 pekerja, bapa kepada dua orang anak ini mampu menjual 300 hingga 400 ekor ayam sehari dengan pembelian mengikut set lengkap antara RM8.90 hingga RM10.90 mengikut pilihan citarasa dan mampu menjana pendapatan lumayan  mencecah RM6,000 sehari.Menurutnya, harga makanannya juga berpatutan dan rasa yang enak bak kata orang ramai dengan cukup segala rasa yang diinginkan."Malah, pelanggan digalakkan datang awal untuk menikmati keenakan rasa hidangan ini. Kalau lambat, memang cepat habis."Pasti ramai yang sudah mencubanya dan rata-rata pelanggan mengakui rasa pedasnya memang ummph! hingga berpeluh satu badan," kata Zulkalmul lagi.
14 May 19
820
Empty Image
Rungutan Peniaga Bazar Ramadan Dibawa Ke Meja Rundingan
Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Rungutan peniaga tentang harga sewa tapak Ramadan akan dibawa ke meja rundingan sebelum kerajaan negeri melaksanakan formula baharu.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman menegaskan, masalah yang berpunca daripada sistem pengurusan akan diselesaikan agar tidak berulang pada masa hadapan.Jelasnya, pihak kerajaan akan berbincang bersama wakil peniaga bagi mencari formula terbaik untuk mengatasi masalah itu seterusnya menjayakan hasrat kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat.“Tahun ini kita baru terlibat dengan pengurusan, jadi saya melihat kita perlukan lagi penambahbaikan kerana ia melibatkan banyak pihak. “Masalah berlaku apabila ‘open tender’ orang hanya memikirkan keuntungan, bukan kebajikan kepada peniaga yang menyewa tapak berkenaan.“Insya-Allah dengan input daripada persatuan penjaja, saya dan pihak keusahawanan akan bawa (isu ini) ke tengah, kita akan duduk semeja sama ada dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan keusahawanan,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengagihan Apron kepada peniaga bazar ramadan di Taman Shah Bandar, di sini semalam.Nurkhuzaini yang hadir mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di bazar berkenaan.Beliau turut memberi keyakinan formula baharu yang digunakan nanti akan menyelesaikan isu tersebut dan tidak hanya menguntungkan satu pihak.“Untuk tahun ini saya rasa kita dah terlambat, jadi saya mewakili kerajaan negeri memohon maaf kepada semua peniaga kerana ada sedikit salah faham dalam masalah ini.“Insya-Allah tahun depan kita akan laksanakan dengan sistem baru yang akan diterima pakai oleh semua pihak,” tambah beliau.Dalam program itu, Nurkhuzaini sempat menyantuni peniaga dan pengunjung di bazar berkenaan dan mengagihkan lebih 70 kurma kepada peniaga di situ.
13 May 19
642
Empty Image
`Rugi Kalau Dok Cuba,' Akok Pandan Cicit Pok Chang
Muhammad Zhafran (kiri) bersama adiknya Muaz menunjukkan akok pandan asli yang menjadi tarikan pengunjung di Bazar Ramadan Batu BurokKUALA TERENGGANU, 13 Mei - Ramadan adalah bulan rezeki kepada peniaga yang bijak dan rajin berusaha untuk meraih pendapatan berlipat kali ganda.Buktinya, dua anak muda yang merupakan adik beradik mengusahakan perniagaan kuih akok pandan asli sejak dua tahun lalu mampu memperoleh pendapatan RM400 hingga RM450 sehari hasil jualan lebih 500 biji dalam masa dua hingga tiga jam di Bazar Ramadan Batu Burok.Muhammad Zhafran Zainuddin, 24, yang dibantu adiknya Muaz Zainuddin, 18, berkata, keistimewaan  kuih tradisional yang terkenal di kalangan masyarakat tempatan itu apabila ia dibakar terus di lokasi dan dijual dalam keadaan masih panas mengeluarkan aroma yang memikat rasa pelanggan.Katanya lagi, ramuan asal untuk menghasilkan kuih Akok Pandan Cicit Pok Chang (sempena nama moyang mereka) itu dikongsi kenalannya dari Kelantan dengan hanya menggunakan bahan-bahan seperti tepung, telur, gula pasir dan santan tetapi diolah semula oleh ibunya, Adibah Abd Rashid, 50, yang sememangnya meminati pembuatan kuih-muih tradisional."Alhamdulillah, walaupun berdepan kesulitan pada awalnya, namun berkat kesabaran dan usaha tanpa henti, hampir sebulan juga untuk betul-betul mahir membuat kuih akok berkenaan terutama dari segi rasa dengan sentiasa meminta komen dan bertanya pelanggan mengenai rasa sebelum mak berjaya menghasilkan kuih akok pandan yang setanding dengan penjual di Kelantan.“Setiap hari kami mampu menjual 500 kuih akok pandan bermula 3 hingga 5.30 petang .Kebiasaannya orang ramai datang selepas waktu bekerja dan mereka sanggup beratur panjang asalkan dapat merasai kuih ini sebagai juadah berbuka puasa," katanya ketika ditemui, di tapak jualan itu, hari ini.Menurut Zhafran, kelebihan akok yang kurang manis menjadi satu tarikan tambahan kepada peminat kuih tradisional turun-temurun yang popular di negeri Pantai Timur.“Ia berbeza dengan akok tradisional Terengganu yang lebih manis dan dan bagi mereka yang tidak suka rasa telur akan memilih akok pandan kerana rasanya yang lemak manis dan lebih wangi walaupun masih menggunakan bahan yang sama.“Harganya pula tidak terlalu mahal dan boleh dinikmati semua pelanggan, ia dijual dengan harga RM2 untuk tiga biji dan RM5 untuk lapan biji,”ujarnya lagiKini Muhammad Zhafran dan adiknya, Muaz boleh tersenyum puas apabila perniagaan kuih akok pandan asli semakin mendapat tempat di kalangan penggemarnya sekali gus mengubah kehidupan mereka sekeluarga.
12 May 19
1159
Empty Image
Fizi’s Babershop Tawarkan Khidmat Percuma Untuk OKU
Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 12 Mei -  Kedai gunting rambut milik seorang pemuda di Kampung Tasik Mengkuang, Kerandang, Jabi, Fizi’s Babershop menawarkan khidmat percuma kepada pelanggan orang kurang upaya (OKU) yang berminat mendapatkan perkhidmatan di kedainya. Peniaga berkenaan, Mohd Hafizi Wan Mat, 27 berkata, selain mencari rezeki yang halal untuk menyara diri dan keluarga, dia memanfaatkan kemahirannya itu untuk memmbuat amalan sebagai bekalan akhirat kelak."Siapa pun kita, kerja apa yang kita lakukan, selitkanlah untuk mereka yang kurang berupaya agar mereka terasa dihargai,"katanya.Hafizi tidak menjangkakan kerja yang mula dilakukan sejak dua tahun lalu sebagai sampingan kini menjadi pekerjaan tetap dan makin maju.Perniagaannya beroperasi bermula jam 1.30 petang sehingga 6 petang dan pada sebelah malam bermula 8.15 malam sehingga 12.30 pagi setiap hari kecuali Rabu dan Jumaat dibuka hanya pada sebelah malam sahaja. Namun, sepanjang Ramadan terdapat perubahan jadual operasi.Dalam pada itu, ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim dia berasa sungguh bertuah dan dihargai dengan kesudian seorang pemimpin negeri yang sanggup mendapatkan perkhidmatan di kedainya itu.“Saya sungguh berbangga seorang Exco Terengganu sudi mendapatkan khidmat daripada saya dan mempromosikan bisnes anak-anak muda seperti saya ini. Sangat menghargai. Orang ramai dijemput datang berkunjung, insyaAllah harga berpatutan,’’ katanya lagi.Menurut Dr Azman pula, pelbagai kerja boleh diceburi selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam sama ada dalam sektor pertanian, perniagaan, perkhidmatan dan pelbagai lagi yang boleh menjana pendapatan halal dan berkat.Katanya, masyarakat kini perlu mengubah pandangan negatif  terhadap anak muda kerana terdapat ramai golongan itu yang mampu berusaha untuk meletakkan diri masing-masing di tempat yang terbaik."Siapa kata anak muda kita pemalas? Fizi’s Barber Shop bekerja sehingga tengah malam mencari rezeki halal,"Bekerja dan bersainglah dengan sihat dalam berusaha meningkatkan mutu kerja masing-masing samada di mana-mana peringkat sekalipun," katanya selepas mendapatkan khidmat gunting rambut di kedai itu, malam tadi.Di samping itu, beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan dengan memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak agar tidak putus asa dalam mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga.
11 May 19
176
Empty Image
Duyong Marina Resort Terengganu Rai Tahfiz, Anak Yatim, Penduduk Asnaf Berbuka Puasa
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Ramadan bukan sahaja bulan ibadah sebaliknya menjadi sebahagian agenda beberapa syarikat korporat untuk berkongsi kemeriahan dan meneruskan tanggungjawab sosial (CSR) mereka.Duyong Marina & Resort (DMR), salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri juga tidak ketinggalan membuat amalan sama dengan meraikan 159 anak-anak tahfiz, anak yatim dan penduduk asnaf kampung Pulau Duyong di resort berkenaan semalam.Pemangku Pengurus Besar, Sham Fazli Yusof berkata, program itu merupakan acara tahunan yang membuktikan keprihatinan pihaknya kepada golongan tersebut terutama ketika Ramadan.Menurutnya, tahun ini adalah tahun keempat DMR mengadakan majlis berbuka puasa bersama mereka yang kurang bernasib baik."Mereka ini adalah penduduk miskin yang tinggal sekitar kawasan hotel ini dan kami akan jemput mereka setiap tahun untuk berbuka puasa dengan kakitangan hotel kami termasuk anak-anak tahfiz dan anak yatim."Tiada apa yang lebih menggembirakan kita melainkan apabila membuatkan mereka ini bergembira di bulan yang penuh keberkatan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa di Duyong Marina & Resort, di sini petang semalam.Tambahnya lagi, majlis berbuka puasa itu merupakan antara program CSR yang dirancang sempena bulan Ramadhan ini dan berharap usaha itu sekurang-kurangnya dapat berkongsi keceriaan  sekali gus menikmati Ramadan dengan penuh bermakna.Dalam pada itu, Sham Fadzli berkata, Duyong Marina pada tahun ini menawarkan bufet Ramadan dengan pelbagai menu istimewa.“Tawaran yang kami beri ini amat berpatutan dari segi harga dan juadah yang disediakan supaya semua golongan berpeluang untuk menikmati suasana berbuka puasa di hotel seperti golongan yang berkemampuan."Bagi orang dewasa harga yang ditetapkan pada RM59 seorang manakala kanak-kanak RM42 seorang," katanya.Terletak di Pulau Duyong, menghadap Laut China Selatan, DMR merupakan salah satu simbol komitmen kerajaan negeri dalam sektor pelancongan.
10 May 19
524