Jalur Gemilang
Berita :
Kakitangan MARDI Maut Disengat Lebah Ketika Ambil Madu
Kakitangan MARDI Maut Disengat Lebah Ketika Ambil Madu
Ridhwan Balian
1 hari yang lepas
264


KEMAMAN, 25 Oktober – Hasrat seorang kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengambil madu daripada sarang lebah berakhir tragedi apabila lelaki itu meninggal dunia selepas disengat sekumpulan lebah di Ayer Putih, di sini, semalam.

Mangsa, Hafizul Mat Nor, 40, yang bertugas sebagai pembantu am, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman pada jam 6.42 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.50 pagi ketika mangsa bersama seorang rakan sekerjanya berusia 44 tahun berada di MARDI Cawangan Kemaman, Kilometer 18, Jalan Ayer Putih.

Menurutnya, rakan mangsa telah menasihatinya supaya tidak mengambil madu berkenaan kerana sarang lebah itu terletak di atas pokok kering setinggi kira-kira tiga meter.

“Bagaimanapun, mangsa berkeras meneruskan hasratnya dan meminta rakannya menunggu kira-kira 50 meter dari lokasi sebelum memanjat pokok berkenaan.

“Ketika berada di atas pokok, mangsa menjerit meminta rakannya melarikan diri selepas diserang sekumpulan lebah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian turun dari pokok sebelum terjun ke dalam lopak air berhampiran bagi mengelakkan dirinya daripada terus disengat.

Mangsa selepas itu memaklumkan kepada rakannya bahawa kaki dan tangannya berasa sakit akibat sengatan lebah sebelum keluar dari lopak air dan terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kekejangan.

Katanya, rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan dua lagi rakan sekerja sebelum menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke Hospital Kemaman bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.42 petang ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan