Berita :
Isu Masjid Penarik: Peruntukan RM1.82 Juta Sudah Diluluskan
Isu Masjid Penarik: Peruntukan RM1.82 Juta Sudah Diluluskan
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
1 hari yang lepas
135

Setiu, 4 Julai - Menjawab kepada persoalan dan kegusaran yang berlegar dalam kalangan netizen sejak dua tiga hari kebelakangan ini, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, tampil memperjelaskan status projek baik pulih dan naik taraf Masjid Penarik yang kini telah pun diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM1.82 juta.

 Langkah tersebut diambil bagi mengelakkan sebarang spekulasi berpanjangan serta memberikan gambaran jelas kepada orang ramai, khususnya ahli kariah dan jemaah setempat mengenai perkembangan terkini usaha berkenaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan terperinci yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati bahawa struktur bangunan masjid berkenaan telah mengalami kerosakan. Keadaan tersebut menyebabkan bangunan masjid tidak lagi selamat untuk digunakan kerana berisiko membahayakan keselamatan para jemaah yang bersolat serta menghadiri pelbagai aktiviti di dalamnya. 

Sedar akan implikasi keselamatan tersebut, tindakan segera telah diambil dan sebagai alternatif, Surau Kampung Baru Penarik kini dijadikan sebagai lokasi sementara bagi pelaksanaan solat Jumaat demi memastikan ibadah masyarakat setempat dapat diteruskan dengan lancar.

Isu kerosakan ini sebenarnya telah mendapat perhatian serius sejak awal lagi apabila beliau sendiri pernah mengadakan lawatan turun padang ke masjid tersebut pada tahun 2023 untuk meninjau kerosakan, sebelum membangkitkannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah Setiu. 

Menjelaskan mengenai status terkini gerak kerja, beliau memaklumkan bahawa iklan tender bagi projek ini telah mula dibuka pada 30 Mac yang lalu dan kini sedang melalui proses penilaian serta pematuhan prosedur yang ditetapkan. 

Mengikut anggaran rasmi daripada pihak JKR, kerja-kerja fizikal baik pulih di tapak dijangka akan bermula sepenuhnya pada bulan Ogos.

 "Saya bersyukur atas kelulusan projek ini dan berharap agar segala urusan dipermudahkan supaya Masjid Penarik dapat kembali berfungsi dengan sempurna sebagai pusat ibadah dan aktiviti masyarakat dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa", ujar beliau.

Beliau berharap penjelasan ini dapat merungkai segala tanda tanya orang ramai dan memohon doa daripada semua pihak agar projek ini dapat berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan