lightning-solid
Berita :
Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah Angkat Agenda Strategik Penyatuan Dunia Islam
Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah Angkat Agenda Strategik Penyatuan Dunia Islam
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
48

KUALA TERENGGANU, 4 Mac – Penganjuran Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 oleh Kerajaan Negeri Terengganu dilihat sebagai satu isu penting dan strategik dalam usaha memperkukuh penyatuan dunia Islam yang kini berdepan pelbagai cabaran global.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Penerangan dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program yang bakal berlangsung pada 2 hingga 4 April 2026 di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak itu bukan sekadar himpunan tahunan, sebaliknya menjadi platform perbincangan berimpak tinggi melibatkan ulama, cendekiawan, tokoh masyarakat dan delegasi antarabangsa.

Katanya, dalam suasana dunia Islam yang berdepan konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan cabaran pemikiran moden, agenda perpaduan ummah perlu digerakkan secara tersusun dan berterusan.

"Penganjuran kali ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam memposisikan Terengganu sebagai hab wacana pemikiran Islam dan penyatuan ummah di peringkat nusantara dan global.

"Ijtima’ ini dijangka menghimpunkan para ulama, cendekiawan, tokoh pimpinan masyarakat, serta delegasi antarabangsa dari pelbagai negara untuk berkongsi gagasan demi kesejahteraan sejagat," jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, penganjuran berskala antarabangsa ini juga mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai hab wacana pemikiran Islam di rantau ini, sekali gus memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan agenda dakwah dan pembangunan ummah secara menyeluruh.

"Pelbagai pengisian utama akan dilaksanakan termasuk syarahan perdana, forum antarabangsa, dialog kepimpinan serta Sidang Meja Bulat (RTD) yang akan membincangkan isu-isu strategik.

"Seperti penyatuan ummah, cabaran geopolitik dunia Islam, peranan generasi muda dalam dakwah kontemporari serta pengukuhan kerjasama antara negara-negara Alam Melayu," ujarnya.

Justeru itu, beliau mengajak orang ramai untuk hadir beramai-ramai memeriahkan program ini.

"Mari kita buktikan bahawa Terengganu kekal menjadi titik pertemuan yang harmoni bagi agenda perpaduan," tambah beliau lagi.



Tag :

Artikel Berkaitan