lightning-solid
Berita :
Home Guard Lambang Kesatuan Rakyat Gapai Kemerdekaan
Home Guard Lambang Kesatuan Rakyat Gapai Kemerdekaan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
31 Aug 25
586

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Kehadiran segerombolan Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu atau lebih dikenali sebagai 'Home Guard' ternyata mencuri tumpuan dalam Perarakan dan Perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Terengganu, hari ini.

Berkemeja putih dan berseluar coklat dengan lilitan lengan tertulis 'HG' yang ditampilkan kontinjen Pejabat Tanah dan Daerah Marang itu mengimbau kembali ingatan pengunjung yang hadir kepada penubuhan 'benteng pertahanan rakyat' itu sebelum merdeka.

Ditubuhkan oleh British pada tahun 1950, Home Guard merupakan pasukan sukarelawan yang berperanan mengawal keselamatan kawasan berisiko terutama perkampungan, penempatan semula dan kampung baru dari ancaman komunis ketika darurat.

Pasukan ini, meskipun sebuah unit keselamatan sukarela, namun dari segi pengurusan dan pengendalian pasukannya amat sistematik.

Sebagaimana kemasnya lilitan di lengan para Home Guard, begitu kemasnya amanah dan semangat yang disisipkan dalam setiap tugasan yang dilakukan.

Pada tahun 1950, terdapat 30,000 anggota Home Guard terdiri daripda 25,400 Melayu, 3,500 Cina, 800 India dan 300 orang dari lain-lain kaum.

Keanggotaan Home Guard mencapai 250,000 orang pada tahun 1953 melibatkan pelbagai kaum.

Sehingga 1958, seramai 221 komunis tumpas dan 110 daripadanya cedera di tangan pasukan ini. 123 komunis turut menyerah diri kepada Home Guard.

Ia dibubarkan pada 1 Julai 1959 setelah berkurangnya ancaman komunis yang membawa kepada pembubaran pengisytiharan darurat di Tanah Melayu pada tahun 1960.

Namun, Home Guard kembali diwujudkan bagi membantu agensi keselamatan menangani penyusupan dan pendaratan pihak Indonesia ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1963 sehingga 1965, sebelum kembali dibubarkan.

Setelah peristiwa 13 Mei 1969, pihak kerajaan menyedari keperluan pasukan sukarelawan yang tetap untuk membantu menangani masalah dan ancaman keselamatan.

Hasilnya pada 1972, Ikatan Relawan Rakyat (RELA) ditubuhkan.


Tag :

Artikel Berkaitan