Berita :
Harga Minyak Naik, Kerajaan Disyor Perhebat Bantuan Dan Kawalan
Harga Minyak Naik, Kerajaan Disyor Perhebat Bantuan Dan Kawalan
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 21 April – Kerajaan disyor memperhebat bantuan, kawalan serta langkah sokongan yang lebih menyeluruh susulan kenaikan harga minyak yang semakin dirasai rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, berkata kenaikan harga minyak merupakan cabaran global, namun kesannya masih boleh ditangani sekiranya semua pihak bertindak secara bersama dan tersusun.

"Kerajaan, peniaga dan rakyat perlu bergerak seiring dalam usaha mengawal keadaan, saling membantu serta menyesuaikan diri agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah mempergiat kempen kesedaran seperti “Beli Barangan Tempatan” selain menggalakkan rakyat mengamalkan perbelanjaan berhemah dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Katanya, pendidikan pengguna juga wajar diperkasa supaya masyarakat lebih bijak membuat perbandingan harga dan mengelakkan pembaziran.

“Selain itu, inisiatif perkongsian kenderaan atau carpool komuniti boleh dipraktikkan bagi mengurangkan kos pengangkutan harian,” katanya.

Dalam aspek penguatkuasaan, beliau berkata kerajaan disaran memperketat pemantauan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

Menurutnya, operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) secara berkala perlu dipertingkatkan, di samping memperluas senarai harga siling barangan asas dan memperkasa saluran aduan rakyat.

Pada masa sama, Mohd Hafiz berkata peniaga kecil tidak seharusnya dibiarkan menanggung tekanan akibat peningkatan kos operasi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan dicadangkan menyediakan insentif seperti subsidi logistik dan bantuan khas termasuk pembiayaan mikro bagi membantu golongan berkenaan terus bertahan.

Beliau turut menekankan kepentingan menggalakkan penggunaan pembekal tempatan bagi mengurangkan kos rantaian bekalan.

Bagi menjamin keselamatan makanan, beliau berkata kerajaan perlu terus memperkukuh sektor pertanian dan agro-makanan melalui peluasan projek serta sokongan berterusan kepada nelayan dan penternak.

Katanya, program '1 Kampung 1 Produk Makanan' boleh dijadikan antara pendekatan untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

Selain itu, Mohd Hafiz berkata peranan komuniti dan institusi masjid juga penting dalam membantu golongan yang terkesan dengan tekanan kos semasa.

Menurutnya, program dapur rakyat, pasar berkat, jualan harga murah serta tabung kebajikan komuniti boleh diperluas bagi menambah baik bantuan kepada golongan setempat tanpa syarat.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat besar juga digesa memainkan tanggungjawab sosial dengan tidak memindahkan sepenuhnya beban kos kepada pengguna.

Katanya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bentuk bantuan barangan asas serta kawalan margin keuntungan secara beretika perlu diberi perhatian agar cabaran semasa dapat ditangani secara bersama.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan