lightning-solid
Berita :
Graduan TVET Tonggak Kemajuan Negara Berkemahiran Tinggi
Graduan TVET Tonggak Kemajuan Negara Berkemahiran Tinggi
Amirul Mohd
06 Nov 25
38

KUALA TERENGGANU, 6 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi menyeru para graduan Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) agar terus melangkah ke hadapan sebagai tenaga mahir yang menjadi tunjang pembangunan negeri dan negara.

Menurut beliau, Malaysia kini sedang bergerak pantas ke arah ekonomi berasaskan teknologi dan industri berkemahiran tinggi seperti minyak dan gas, automotif, elektrikal serta teknologi digital. 

“Justeru, graduan TVET perlu bersedia menjadi tenaga utama yang memastikan agenda pembangunan negara terus maju dan seimbang.

“Majlis hari ini membuktikan bahawa usaha gigih, kecekalan dan semangat anda telah memberi hasil. Anda bukan sekadar graduan, tetapi profesional muda yang bakal menerajui sektor berkemahiran tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian.

“Kita mahu anak tempatan bukan hanya menjadi tenaga kerja bawahan, tetapi pemimpin dan pencipta peluang baharu. Graduan Terengganu Skills harus berani membina masa depan menjadi inovator dan usahawan muda,” tegasnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen TESDEC Kali Ke-6 yang berlangsung meriah hari ini, meraikan ratusan graduan daripada pelbagai bidang kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).

image.png 4.17 MB

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa, tenaga pengajar dan seluruh kakitangan TESDEC atas usaha melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang berdaya saing.

“Setiap langkah graduan di pentas ini adalah kisah perjuangan, disertai doa dan pengorbanan ibu bapa. Jika ada insan pertama yang perlu anda peluk hari ini, peluklah mereka,” katanya.

Dr. Tengku Fakhruddin turut menegaskan bahawa TESDEC kini semakin diyakini industri hasil kerjasama erat dengan pelbagai syarikat dan agensi berkaitan, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi latihan berasaskan industri.

Menutup ucapan, beliau mengajak semua graduan menjunjung nama baik TESDEC dan terus mengangkat martabat pendidikan TVET sebagai laluan utama membina masa depan negara.

“Buktikan bahawa graduan Terengganu Skills adalah kelas pertama, bukan pilihan kedua. Anda adalah tonggak masa depan Terengganu dan Malaysia,” ujar beliau penuh semangat.






Tag :

Artikel Berkaitan