Berita :
Garis Panduan Syariah Perkasa Tadbir Urus, Bukan Sekat Industri
Garis Panduan Syariah Perkasa Tadbir Urus, Bukan Sekat Industri
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
86

KUALA TERENGGANU, 22 April – Kerajaan negeri menegaskan garis panduan patuh syariah yang sedang dimuktamadkan bukan bertujuan menyekat industri, sebaliknya bagi memperkukuh tadbir urus dan memastikan pembangunan negeri kekal berada pada landasan yang betul.

ADUN Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, garis panduan itu merupakan penambahbaikan daripada versi terdahulu yang dibangunkan secara menyeluruh menerusi libat urus bersama pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.

Menurutnya, dokumen itu akan menjadi rujukan kepada pemain industri termasuk sektor pelancongan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penggiat seni budaya supaya setiap aktiviti dilaksanakan selari dengan nilai agama.

“Kehidupan manusia tidak terlepas daripada peraturan dan undang-undang kerana ia adalah sebahagian daripada alam semesta yang diciptakan oleh Allah.

“Bezanya manusia adalah makhluk yang ditaklifkan untuk menjaga alam dengan peraturan agama,” katanya ketika menjawab soalan di Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.

Beliau berkata, peraturan yang dirangka itu adalah kesinambungan dan penambahbaikan kepada garis panduan yang telah diperkenalkan pada penggal lalu.

Menjawab kebimbangan bahawa pendekatan itu boleh menjejaskan sektor pelancongan dan pelaburan luar, Muhammad Khalil menolak tanggapan tersebut sambil menegaskan kekuatan Terengganu terletak pada identitinya yang tersendiri.

Katanya, tarikan negeri itu bukan sahaja bergantung kepada keindahan alam semula jadi seperti pulau dan sungai, tetapi turut disokong oleh kekayaan budaya serta pegangan agama masyarakat yang kukuh.

“Jika faktor ini menjadi penghalang, mustahil Terengganu mencatat peningkatan jumlah pelancong saban tahun. Ini membuktikan pelawat tertarik dengan keunikan yang dimiliki negeri ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menepis tanggapan bahawa garis panduan tersebut terlalu ketat hingga menyekat kreativiti industri seni dan hiburan.

Sebaliknya, katanya, garis panduan itu hanya berperanan sebagai panduan supaya aktiviti yang dijalankan tidak terkeluar daripada nilai dan norma yang ditetapkan agama.

Dari segi pelaksanaan, beliau menegaskan garis panduan itu tidak akan kekal sebagai dokumen semata-mata, sebaliknya akan disokong oleh mekanisme penguatkuasaan sedia ada.

“Peraturan yang telah digazetkan akan terus dikuatkuasakan, manakala perkara di peringkat garis panduan akan diperkasakan dan dibawa ke sidang DUN untuk dijadikan undang-undang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif negatif pihak luar, sebaliknya menilai sendiri usaha kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Dalam era tanpa sempadan, masyarakat mampu melihat sendiri usaha yang dilaksanakan demi kebaikan negeri dan rakyat,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan