Berita :
Fokus Kukuh PN, Muhyiddin Bukan Calon PM – Dr Sam
Fokus Kukuh PN, Muhyiddin Bukan Calon PM – Dr Sam
Husaif Mamat
10 jam yang lepas
147

KUALA TERENGGANU, 5 Mac – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa keutamaan beliau ketika ini adalah memperkukuhkan gabungan tersebut, bukannya menumpukan perdebatan mengenai siapa calon Perdana Menteri.

Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian sebagai respon kepada pertanyaan wartawan berhubung kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut bahawa 'Dr. Sam merupakan Pengerusi PN dan bukan calon Perdana Menteri'. 

Menurut Dr. Ahmad Samsuri, persoalan mengenai siapa calon Perdana Menteri bukan isu utama ketika ini, sebaliknya fokus PN adalah memantapkan muafakat serta memperkukuh kekuatan gabungan di seluruh negara.

“Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan PN dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa Muhyiddin sendiri bukan lagi calon Perdana Menteri bagi gabungan tersebut.

“Yang pasti, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bukan lagi calon PM,” katanya ringkas.

Kenyataan itu dilihat sebagai usaha meredakan spekulasi yang timbul mengenai siapa tokoh yang bakal diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri oleh Perikatan Nasional menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau menambah, persiapan menghadapi pilihan raya memerlukan gabungan yang lebih mantap dan tersusun, justeru usaha memperkukuhkan PN perlu menjadi keutamaan berbanding polemik mengenai jawatan.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan