Jalur Gemilang
Berita :
Filem Baga Angkat Seni Batik Tradisional, Kampung Seberang Takir Jadi Lokasi Penggambaran
Filem Baga Angkat Seni Batik Tradisional, Kampung Seberang Takir Jadi Lokasi Penggambaran
Adli Mohamad
13 jam yang lepas
394

KUALA NERUS, 15 November  – Seni pembuatan batik tradisional Terengganu mendapat perhatian menerusi filem Baga: Esok Untuk Siapa apabila Kampung Seberang Takir dipilih sebagai antara lokasi penggambaran bagi mengetengahkan kehidupan masyarakat dan warisan tempatan ke layar perak.

Pemilihan lokasi perusahaan batik Wan Azhar di kampung berkenaan bukan sahaja memperkenalkan suasana pembuatan batik tradisional kepada penonton, malah memberi ruang kepada warisan seni yang masih dipertahankan sejak puluhan tahun lalu itu untuk dikenali menerusi medium perfileman.

Pewaris perusahaan Batik Wan Azhar, Wan Mohd Hasnol Wan Azhar, berkata dia berasa gembira apabila pihak produksi memilih lokasi perusahaan keluarganya untuk menjalankan penggambaran.

Ini kerana menurutnya, ia secara tidak langsung membantu memperkenalkan seni pembuatan batik tradisional Terengganu kepada masyarakat lebih meluas.

“ Saya suka juga apabila ada orang filem yang mahu membawa kisah pembuatan batik ini ke layar perak. Sekurang-kurangnya orang ramai dapat melihat sendiri seni dan cara pembuatan batik tradisional yang masih kita kekalkan sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui wartawan UPDI, baru-baru ini.

Menurutnya, warisan batik Terengganu mempunyai keistimewaan tersendiri yang perlu diketengahkan kerana bukan sekadar menghasilkan kain bercorak, sebaliknya turut mewakili identiti budaya dan kemahiran masyarakat tempatan yang diwarisi sejak turun-temurun.

Hasnol juga berpandangan, pendedahan pembuatan batik menerusi filem itu juga berpotensi menarik minat generasi muda untuk mengenali warisan berkenaan dengan lebih dekat, selain menjadikan perusahaan batik tradisional sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung yang datang ke negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pengarah Baga: Esok Untuk Siapa, Ariff Zulkarnain, dalam satu temu bual bersama Gempak yang disiarkan pada 31 Oktober lalu berkata, pemilihan unsur tempatan menjadi antara pendekatan yang mahu diketengahkannya menerusi filem tersebut.

“Saya memilih Baga untuk filem pertama saya sebab sebelum ini saya pengarah siri TV. Jadi, untuk filem pertama, saya nak menghasilkan sebuah filem yang ada unsur-unsur lokal,” katanya.

Ariff turut menjelaskan bahawa latar belakangnya yang berasal dari Terengganu menjadi antara faktor beliau mahu mengangkat identiti negeri itu menerusi karya berkenaan.

“Memandangkan saya berasal dari Terengganu, saya rasa suara peribadi saya adalah dari Terengganu,” tambahnya lagi.

Untuk rekod,Filem Baga: Esok Untuk Siapa yang mula ditayangkan di pawagam pada 5 November lalu dibintangi Amir Ahnaf, Amirah Razak dan Wan Hanafi Su, dengan mengetengahkan kisah kehidupan masyarakat kampung di Pantai Timur yang berdepan pelbagai cabaran sosial dan kehidupan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan