Jalur Gemilang
Berita :
BTR FC Juara Piala YBZ Tiga Tahun Berturut-Turut
BTR FC Juara Piala YBZ Tiga Tahun Berturut-Turut
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
110

Oleh : Yaumil Asilah Yazid

KUALA NERUS, 15 November – Bukit Tok Ris FC (BTR FC) terus mengukuhkan dominasi apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala YBZ 2026 selepas menewaskan Seberang Bukit Tumbuh FC (SBT FC) dengan keputusan 6-1 dalam aksi final di Padang Bola Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), baru-baru ini.

Kejayaan itu melengkapkan hatrik kejuaraan BTR FC selepas turut menjuarai edisi 2024 dan 2025 sekali gus mempertahankan gelaran selama tiga tahun berturut-turut.

BTR FC membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi Mohd Faizal Nizam Ali sebelum SBT FC menyamakan kedudukan dua minit kemudian. 

BTR FC kembali mendahului 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, BTR FC terus menguasai permainan. Muhammad Haikal Mohd Zuki meledakkan dua gol, Abdullah Suleiman menambah satu jaringan, manakala Muhammad Faizal Fabli Saadon melengkapkan kemenangan 6-1 pada masa kecederaan.

Dengan kemenangan itu, BTR FC membawa pulang RM2,500 berserta medal dan piala pusingan, manakala SBT FC selaku naib juara menerima RM1,000 berserta medal. 

Tempat ketiga dikongsi Batu Enam FC dan Pak Katak FC.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, LSr. Haji Zaharudin Zahid berkata, kejohanan seumpama itu bukan sahaja mencungkil bakat sukan malah menjadi wadah menyatukan anak muda, memupuk semangat berpasukan dan mengeratkan ukhuwah dalam komuniti.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada semua pasukan yang mengambil bahagian atas semangat kesukanan yang ditunjukkan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan