KUALA TERENGGANU, 9 November – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa Felda akan berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal mematuhi tuntutan serta penyelesaian yang ditetapkan sebelum tarikh akhir 29 November ini berkaitan pengoperasian Ladang FGV Setiu 1 dan ladang-ladang lain di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata Felda telah diberikan tempoh 40 hari untuk memberikan maklum balas namun sehingga kini tiada sebarang jawapan yang diterima seperti yang dikehendaki oleh kerajaan negeri.
“Tarikh 29 November tidak akan berubah. Mereka telah dimaklumkan sejelas-jelasnya tentang apa yang perlu dibuat.
“Kalau tidak ada apa-apa sehingga pagi 29 November, tindakan undang-undang akan dimulakan,” katanya dalam Facebook rasminya hari ini.
Jelasnya, tindakan tersebut akan melibatkan pengeluaran Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) terhadap mana-mana pihak yang didapati menceroboh atau menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.
Kata beliau, Ladang FGV Setiu 1 berkeluasan 1,742 hektar merupakan sebahagian daripada kira-kira 15,000 hektar tanah kerajaan negeri yang diusahakan Felda sejak 1985 dan telah melalui proses tanam semula.

Menurut Dr. Azman, kerajaan negeri masih membuka ruang penyelesaian sekiranya Felda tampil dengan maklum balas sewajarnya dalam tempoh yang ditetapkan.
“Jalan masih terbuka. Tetapi kita jelas dan tegas dalam isu ini kerana ia melibatkan hak negeri dan kepentingan rakyat,” ujarnya.
Untuk rekod, Felda didapati telah mengusahakan dan menikmati hasil serta keuntungan besar daripada tanah seluas 14,791 hektar milik kerajaan negeri selama lebih 40 tahun tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah dan perkongsian keuntungan yang dipersetujui bersama kepada kerajaan Terengganu.
Dr. Azman menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak milik tanah negeri yang telah dimajukan tanpa dokumen hak milik sah sejak tahun 1985.
Beliau berkata tanah tersebut pada asalnya dimajukan sebagai ladang sawit oleh Felda sebelum diserahkan kepada FGV untuk diusahakan, namun sepanjang tempoh tersebut kerajaan negeri tidak pernah menerima pulangan sewajarnya.
“Dalam tempoh lebih 40 tahun itu, Felda telah mengusahakan dan menikmati hasil serta keuntungan yang besar daripada tanah tersebut, tetapi sepanjang tempoh itu kerajaan negeri sebagai tuan tanah tidak menerima hak yang sewajarnya seperti bayaran premium, cukai tanah dan perkongsian keuntungan,” jelasnya.