KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris, menegaskan wakil Bersatu dalam kerajaan negeri kekal menyokong pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Kita menyambut baik kenyataan Menteri Besar Terengganu dan kami kekal sokong kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Samsuri bahawa exco daripada Bersatu kekal dalam barisan kerajaan negeri Terengganu.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Samsuri sebagai berkata kedudukan exco Bersatu dalam kerajaan negeri 'masih sama'.
“Itu saja,” katanya ringkas selepas menghadiri Mesyuarat Exco Terengganu hari ini.
Sementara itu, Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu turut mengulas ringkas mengenai isu dan konflik dalaman parti itu.
“Bersatu seperti biasa,” katanya.
Perkembangan itu hadir selepas PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Pada Pilihan Raya Negeri Terengganu Ogos 2023, Bersatu memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu Hulu Besut, Permaisuri, Seberang Takir, Telemong dan Kijal.
Tag :