KUALA TERENGGANU, 23 April – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-Orang Melayu (Pindaan) 2026 selepas melalui tiga bacaan.
Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, bagi meminda subseksyen 9(iii) enakmen sedia ada dengan memasukkan SPNB Idaman Sdn. Bhd. dan TDM Berhad sebagai entiti yang dibenarkan menerima pindah milik pegangan Tanah Simpan Melayu.
Menurut beliau, pindaan berkenaan merupakan langkah strategik untuk memperkasa pembangunan tanah serta meningkatkan penglibatan agensi berkaitan dalam penyediaan kemudahan, khususnya perumahan untuk masyarakat Melayu di negeri ini.
“Pindaan ini tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan tambahan kepada Kerajaan Negeri,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut dalam Persidangan DUN Terengganu, hari ini.
Rang enakmen itu kemudian mendapat sokongan daripada ADUN Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh, sebelum diluluskan sebulat suara oleh Ahli Dewan selepas tiada sebarang perbahasan dilakukan.
Kelulusan itu sekali gus menyaksikan Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-Orang Melayu (Pindaan) 2026 sah menjadi undang-undang negeri, selain membuka ruang baharu dalam aspek pengurusan dan pembangunan Tanah Simpan Melayu di Terengganu.
Tag :