Berita :
Dua Isu Kritikal Seberang Takir Perlu Tindakan Segera
Dua Isu Kritikal Seberang Takir Perlu Tindakan Segera
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
275

KUALA TERENGGANU, 22 April – Dua isu kritikal melibatkan risiko banjir dan kebajikan nelayan di Seberang Takir perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Khazan Che Mat berkata, isu pengambilan balik tanah di kawasan bulatan Kampung Telaga Daeng wajar disegerakan kerana ia melibatkan sebahagian jalan utama yang masih berada di bawah pemilikan persendirian.

Menurut beliau, kelewatan menyelesaikan perkara itu menyebabkan sistem perparitan di kawasan berkenaan tidak dapat dibangunkan semula selepas longkang sedia ada ditutup oleh pemilik tanah, sekali gus meningkatkan risiko limpahan air dan banjir.

“Difahamkan rundingan telah dibuat, cuma menunggu bayaran sahaja. Jadi mohon disegerakan kerana ia juga akan membolehkan longkang yang ditutup oleh pemilik tanah berkenaan dapat dibina semula dan mengelakkan masalah limpahan air serta banjir di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan isu timbunan pasir di pangkalan nelayan Tok Jembal yang disifatkan semakin serius sehingga menjejaskan kelancaran aktiviti harian nelayan.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja mengganggu pergerakan bot, malah berpotensi menjejaskan sumber pendapatan nelayan sekiranya tidak ditangani segera.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan pantas bagi menyelesaikan kedua-dua isu berkenaan yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat serta ekonomi setempat.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan