BESUT, 12 September – Cangkul dan sabit yang suatu ketika dahulu sinonim dengan kehidupan petani kini bertukar menjadi prop kreatif apabila anak-anak turut dibawa ibu bapa menghayati nostalgia kehidupan desa menerusi program Brisk Walk D'Baruh.
Lebih menarik, bukan sahaja peserta dewasa tampil dengan pakaian bertemakan kehidupan tradisional di sawah, malah anak-anak turut sama menyarung pakaian mengikut tema sambil membawa prop yang menggambarkan kehidupan masyarakat desa.
Program berkenaan dianjurkan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan sempena Merdeka Fest 69 DUN Kota Putera, di samping membawa kembali kenangan kehidupan masyarakat terdahulu yang cukup dekat dengan sawah dan pertanian.
Brisk Walk D'Baruh turut menjadi program penutup bagi keseluruhan pengisian Merdeka Fest 69 DUN Kota Putera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penglibatan kanak-kanak menjadi antara perkara menarik pada penganjuran julung kali program berkenaan.

“Saya tengok ibu ayah ini pun bila datang, selain daripada mereka berpakaian mengikut tema, anak-anak mereka pun ramai yang buat prop cangkul dan prop sabit untuk dibawa ke program itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengulas mengenai program Brisk Walk D'Baruh di Kampung Pinang, Kota Putera, hari ini.
Selain tampil dengan pelbagai gaya kreatif, peserta turut menyusuri laluan sejauh empat kilometer melalui tiga hentian yang mengetengahkan makanan dan hasil tempatan.
“Hentian pertama menyajikan kuih-muih tradisional, diikuti Kopi O'D'Baruh di hentian kedua, manakala buah-buahan tempatan menjadi tarikan di hentian ketiga,” ujarnya.

“Pada peringkat awal, kita hanya menjangkakan sekitar 150 peserta. Tetapi apabila pendaftaran dalam talian dibuka, dalam tempoh empat jam sahaja telah mencecah 400 orang," katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, penganjuran Brisk Walk D'Baruh yang menggabungkan aktiviti riadah, suasana sawah padi dan elemen warisan tempatan merupakan sebahagian daripada usaha membentuk identiti tersendiri DUN Kota Putera.
Pendekatan itu, katanya, selari dengan hasrat menjadikan Kota Putera sebagai kawasan yang terus bergerak maju tanpa melupakan kehidupan masyarakat desa yang menjadi sebahagian daripada akar dan identiti penduduk setempat.
Tambah beliau, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mengamalkan gaya hidup sihat dan menyemarakkan sambutan kemerdekaan.
"Malah turut membawa nostalgia kepada golongan ibu bapa dan datuk nenek yang suatu ketika dahulu menjadikan pertanian sebagai antara sumber pendapatan utama.
