lightning-solid
Berita :
Bantuan YB Mudahkan Urusan Harian OKU Dan Keluarga
Bantuan YB Mudahkan Urusan Harian OKU Dan Keluarga
Abdul Fattah Kamarudin
11 jam yang lepas
41

MARANG, 21 Ogos – Di sebalik musibah kemalangan motosikal terbabas, terselit hikmah yang membawa perubahan besar buat kehidupan Zait Salleh, insan kurang upaya (OKU) dari Wakaf Tapai.

Pada Mei lalu, Zait yang merupakan Setiausaha JPKKP Wakaf Tapai Kanan berdepan detik mencemaskan apabila tayar kiri motosikal roda tiganya tercabut ketika digunakan, menyebabkan beliau terjatuh dan mengalami lebam pada bahagian muka.


Melihat keadaan Zait yang merupakan seorang insan kurang upaya (OKU) serta kebergantungannya kepada motosikal tersebut untuk urusan harian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong mengambil inisiatif membantu membaik pulih motosikal berkenaan.

Zait yang merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, motosikal tersebut amat penting dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga.

“Nak ucap terima kasih sebab bantu baik pulih motor ini. Ada kebaikan di sebalik musibah yang berlaku.


“Dengan motor inilah saya guna untuk pergi ke surau dan hantar pesanan jahitan baju isteri kepada pelanggan,” katanya ketika menerima penyerahan motosikal tersebut di kediamannya.

Isterinya pula mengambil upah menjahit dari rumah bagi membantu menambah pendapatan keluarga, manakala motosikal berkenaan digunakan Zait untuk menghantar dan mengambil tempahan jahitan pelanggan.

Sementara itu, Sulaiman turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Yayasan Kebajikan Negara Zon Timur, Zahimi Mohamad yang hadir bersama bagi membantu keluarga berkenaan menerusi sumbangan peralatan menjahit kepada isteri Zait.

“Saya nak ucap terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Negara kerana sudi bersama-sama membantu insan yang memerlukan, " ujarnya. 

Menurut Sulaiman, bantuan yang diberikan bukan sekadar menyelesaikan masalah motosikal, malah diharap dapat membantu Zait dan isterinya meneruskan rutin harian serta pekerjaan dari rumah dengan lebih mudah.



Anaknya, Muhd Zaim Nazif Zait, 16, pula berkata motosikal tersebut mempunyai nilai sentimental buat keluarganya kerana sejak kecil lagi kenderaan berkenaan digunakan bapanya untuk menghantarnya ke sekolah.

“Dengan motor inilah ayah hantar saya ke sekolah ketika belajar di sekolah rendah, dari darjah satu sampai darjah enam, " katanya. 


Tag :

Artikel Berkaitan